Friday, September 6, 2013

KACANG PANJANG MERAH

KACANG PANJANG (Vigna unguiculata var sesquipedalis) dari keluarga Fabaceae yang mudah kita jumpa dipasaran. Bagaimana pun baru-baru ini penulis telah mendapat informasi mengenai sejenis varieti kacang panjang berwarna merah yang boleh saya kongsi bersama dengan pembaca semua. Lazimnya kita memang biasa melihat dan makan kacang panjang yang berwarna hijau. Kini telah ada dipasaran sejenis kacang panjang yang berwarna merah pula. Walau pun varieti ini dahulu telah diperkenalkan di Malaysia tetapi tidak ramai pengguna yang suka untuk membelinya. Kajian penulis mendapati varieti ini berasal dari Selatan China ini dikenali juga sebagai Changjiang dou, Cheung kung tau, Chinese Red Noodle Bean atau Asparagus bean. Kacang panjang merah ini adalah mempunyai nama saintifik yang sama dengan kacang panjang hijau iaitu Vigna unguiculata subsp. sesquipedalis yang tergolong dalam famili Fabaceae. Kacang panjang merah juga adalah sejenis tanaman memanjat sama seperti kacang panjang hijau cuma berwarna merah. Namun warna merah pada kacang ini lazimnya akan hilang setelah dimasak dimasak apa lagi kalau terlalu dimasak 'over cooked'. Sebaiknya kita makan kacang panjang merah ini sebagai ulam sahaja untuk mendapatkan khasiat permakanan yang optima. Berapa ramai diantara kita yang pernah makan, membeli atau menanam kacang panjang merah ini dirumah?.  Artikel subuh Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis kacang panjang berwarna merah untuk dijadikan bahan bacaan daripada beberapa sumber rujukkan teknikal dan dari pengalaman penulis sendiri.

Kacang panjang boleh memanjat sehingga dua dan tiga meter tinggi dan sebaiknya ia perlu ditanam menggunakan sistem junjung atau para (Trellis system). Belum ramai petani di Malaysia yang menanam kacang panjang merah ini secara meluas disatu-satu kawasan kebun kerana ia bukan mudah untuk dijual dengan jumlah kuantiti yang banyak dipasaran Malaysia. Kebanyakan petani menanam sedikit sahaja bersama kacang panjang hijau biasa. Penanaman kacang berwarna hijau perlu dijarakkan bagi kita menggelakkan berlakunya 'cross pollination' antara kedua varieti ini kerana ada kemungkinan akan dapat kacang belang merah dengan hijau. Pengurusan amalan agronomi kacang panjang merah sama dengan kacang panjang hijau dari segi jarak tanaman, jangkamasa tanaman, sistem pengairan, kadar benih, pembajaan dan pengurusan perosak, penuaian dan penyakit. Benih kacang merah ini boleh diperolehi daripada penjual benih sayuran yang berwibawa dengan kadar percambahan agak tinggi. Adalah lebih baik dibuat kajian pasaran dahulu sebelum menanam kacang jenis ini secara meluas kerana ia mungkin menghadapi masaalah pasaran jika kacang merah ini ditanam terlalu banyak dan keluar serentak.

Penyediaan kawasan untuk penanaman kacang panjang merah bermula dengan pemilihan kawasan dimana ia memang disahkan amat sesuai ditanam di kawasan yang bersaliran baik, tanah tidak terlalu berair dan pH tanah antara 5.5 dan 6.5 daripada pelbagai jenis tanah. Sediakan batas berukuran satu meter lebar dan panjang mengikut keluasan kawasan. Seperti amalan agronomi diperingkat awal penyediaan kawasan, kita perlu gaul dan gemburkan tanah bersama kompos dan baja organik (tahi ayam). Lazimnya jarak penanaman yang disyorkan ialah antara 50 dan 60 centimeter (cm) antara pokok dan antara baris. Sediakan sistem junjung dengan memasang kayu junjung berukuran sepanjang 5.0 - 6.5 kaki (tinggi) atau sistem para trellis. Ia perlu disediakan kerana kacang panjang merah adalah jenis tanaman memanjat. Sebaiknya batas tanaman perlu ditutup dengan plastik silver shine sebagai sungkupan untuk kawalan rumpai dan kekalkan kelembapan tanah.

Penanaman kacang panjang merah lazimnya menggunakan biji benih sama ada ia disemai dahulu dalam semaian atau tanam terus (Lihat foto biji kacang panjang merah disebelah)Biji benih akan pula bercambah pada hari kedua selepas ditanam, dan boleh mula dipindahkan pada hari ke lapan hingga kesepuluh. Bagi kaedah tanam terus, dua atau tiga biji benih akan ditanam dalam satu lubang. Pada hari kelapan, jika terdapat lebih daripada satu anak pokok yang tumbuh kerja penjarangan perlu dilakukan. Tinggalkan satu sahaja anak pokok yang paling sihat dalam setiap lubang tanaman. Pengairan perlu diberi dua kali sehari pagi dan petang kecuali hari hujan. Sebaiknya, sumber air yang digunakan adalah air yang bersih tanpa klorin. Cara pengairan bergantung pada pengusaha sama ada secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis atau titis. Pembajaan kali pertama akan diberikan pada minggu kedua selepas menanam dengan kadar 50 gram (g) per pokok. Baja kali kedua, pada minggu keempat sebanyak 50 hingga 80g setiap pokok. Baja kali ketiga, pada minggu ketujuhsebanyak 80 hingga 100g per pokok. Baja yang digunakan mestilah baja organik sama ada baja yang dibeli atau baja buatan sendiri. Jika baja dari kilang, ikut kadar yang telah disyorkan. Ini kerana ada sesetengah baja dalam bentuk larutan pekat dan perlu dicairkan terlebih dahulu sebelum digunakan. Bagi yang membuat baja organik sendiri, baja boleh disembur seminggu sekali untuk pertumbuhan pokok yang baik.

Aktiviti kawalan rumpai perlu dijalankan dari peringkat awal penanaman. Bagaimana pun saya dapati penggunaan plastik penutup bumi seperti plastik silvershine banyak telah membantu mengawal pertumbuhan rumpai. Seminggu sekali rumpai perlu dibuang. Ini kerana rumpai adalah musuh utama tanaman dalam persaingan untuk mendapatkan makanan, ruang dan cahaya matahari. Selain itu, rumpai boleh menjadi tempat pembiakan serangga perosak jika dibiarkan tanpa kawalan. Kerja merumpai boleh dilakukan di sekeliling pokok dan mesin rumput di luar batas tanaman. Kawalan perosak dan penyakit bagi kacang panjang merah seperti serangan oleh ulat pengorek buah adalah masalah utama. Sembur racun organik buatan sendiri atau yang dibeli bermula pada minggu kelima selepas menanam. Pada minggu tersebut bunga telah berkembang dan buah muda akan muncul. Lalat buah akan mula berkeliaran di kawasan penanaman untuk bertelur. Sembur racun seminggu sekali. Pemantauan yang teliti dan kerap sangat penting untuk mengawal serangan perosak dan penyakit. Ada juga masalah penyakit mati rosot yang disebabkan saliran kawasan yang teruk. Tanah yang berair tidak sesuai untuk tanaman kacang panjang merah. Ulat pelombong daun boleh diatasi dengan menyembur racun organik cili padi, lada hitam dan juga sabun pada daun yang terkena serangan. Penuaian hasil boleh mula dituai selepas 45 hingga 60 hari ditanam. Kacang panjang yang matang biasanya bersaiz antara 25 dan 45 sm panjang. Kutip hasil setiap dua atau tiga kali hari sekali. Pengeluaran hasil akan berterusan selama sebulan, bergantung pada kesuburan pokok.


Kacang ini sesuai dimasak atau dijadikan ulam sahaja. Dalam beberapa siri ujian UjiRasa yang dibuat, saya mendapati bahawa rasa Kacang Panjang Merah ini lebuh manis sedikit dan rangup seperti asparagus. Kajian makmal mendapati yang tanaman ini kaya dengan sumber protein, vitamin A dan C, thiamin, riboflavin, zat besi, fosforus, magnesium dan mangan. Warna merah juga dikaitkan dengan kandungan bahan anthocyanin yang sangat baik untuk kesihatan kita. Cuma yang penting adalah bagaimana cara ia dimakan atau dihidangkan. Kalau di makan mentah sebagai ulam-ulaman memeng kita akan dapat jumlah zat yang banyak berbanding dengan jika kita masak. Amalan pengambilan sayur kacang panjang sebagai makanan harian boleh membantu kita terhindar daripada beberapa jenis penyakit, Diantaranya seperti serangan jantung, masalah sembelit, kurang darah, anemia dan sakit pinggang. Ia juga memainkan peranan sebagai antibarah dan antioksidan (awet muda) dan ini merupakan petua yang mungkin telah terbukti berdasarkan kepada banyak testimoni yang diterbitkan. Selamat mengenali keistimewaan kacang panjang warna merah! Wasallam!

Sayur kacang panjang merah.
KACANG PANJANG...MERAH WARNANYA...
MUDAH DITANAM... PENGURUSAN SAMA...
DIBUAT ULAM... DIMASAK SAYUR JUGA...
MENANAM SENDIRI... MUDAH SAHAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kebun Sayur Lim,
Tapah, Perak,
Malaysia.
(27 Syawal 1434H)


No comments: