Thursday, September 5, 2013

MAKAN DAGING KAMBING

DAGING KAMBING (Goat meats) merupakan satu daripada hasil ternakan Kambing (Capra aegagrus hircus) yang dijadikan makanan popular dikalangan banyak masyarakat dunia. Selain daripada daging kambing, produk lain terhasil daripada ternakan kambing adalah susu kambing, tahi atau najis kambing (dibuat baja), Kulit Kambing (dikeringkan untuk dibuat Kompang) dan Bulu Kambing. Ramai orang Malaysia yang takut makan daging kambing kerana katanya menjadi punca pening kepala selepas memakannya dan ramai yang tidak suka dengan bau hamis kambing yang kuat. Dakwanya bau kambing jantan (Dipanggil juga 'kambing bobok') amat kuat dan busuk yang menyebabkan mereka tidak suka untuk makan daging kambing. Anehnya mereka hanya menggemari daging kambing yang diimpot dari luar negara (iaitu diimpot dari Australia) dalam bentuk daging beku (Frozen) untuk kegunaan majlis keramaian yang dimasak sebagai Lauk Nasi Beryani Kambing, Kuzi Kambing, Kari Kambing dan Sate sebagainya. Saya juga semasa remaja dulu pernah terlibat dalam memelihara lebih dari 40 ekor kambing di kampong Muar Johor  dimana ianya dimakan sendiri tetapi sebahagian besarnya adalah untuk dijual juga. Daging kambing yang saya tahu sebenarnya mempunyai banyak cara untuk dijadikan sebagai makanan 'premier' di negara kita jika kita mempunyai teknologi untuk memproses dan memasaknya. Pada masa ini memang tidak dapat dinafikan ramai yang gemar menikmati daging kambing walau pun masih ramai juga beranggapan daging tersebut boleh menyebabkan pelbagai punca penyakit. Sebenarnya banyak sungguh manafaat dan khasiat serta kesan daripada makan daging kambing. Artikel petang Isnin ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kehebatan makan daging kambing sebagai makanan berkhasiat untuk dijadikan panduan kepada anda semua.

Adalah menjadi satu persoalan mengapa ramai kalangan rakyat Malaysia yang memilih menolak sajian daging kambing (Lihat foto sebelah). Mereka juga sering menyalahkan daging kambing sebagai penyebab kepada masalah kolestrol dan darah tinggi yang kemudian dikatakan membawa kepada penyakit jantung. Pada masa kini kajian dan laporan FAO menunjukkan, daging kambing menyediakan 63 peratus daripada bahan berasaskan daging yang dimakan diseluruh dunia. Daging kambing juga menjadi sumber protein utama di kebanyakan negara Arab dan Afrika Utara selain pemakanan penting di rantau Asia Tenggara terutama di kepulauan Caribbean dan kawasan tropika yang lain. Laporan juga menunjukkan dikalangan negara barat mendapati daging kambing semakin mendapat publisiti meluas sebagai sumber protein yang lebih menyihatkan berbanding daging lembu. Terdapat juga kajian mendapati daging haiwan kambing lebih sesuai dimakan oleh penghidap masalah berkaitan jantung. Pada saya cara sajian yang menyumbangkan kepada persepsi negatif rakyat Malaysia berbanding dengab sajian di tempat lain. Apa tidaknya kambing ini di masak kari, nasi beriyani, kuzi yang enak tetapi mempunyai kandungan kolesterol yang tinggi. Di negara arab daging kambing dipanggang sahaja.

Kajian yang dijalankan oleh ramai saintis berkenaan khasiat daging kambing matang berbanding lembu, kambing muda, bebiri, khinzir dan ayam mendapati bahawa, daging kambing adalah lebih pejal dimana ia juga mengandungi komposisi khasiat yang lebih baik. Sebagai kesimpulan, mereka juga mendapati iaitu daging kambing memang mengandungi paras kolestrol dan lemak tepu yang jauh lebih rendah berbanding daging lain yang menjadikan ia sebagai pilihan makanan alternatif daging merah terbaik. Kajian klinikal juga mengesahkan bahawa lemak tepu adalah lemak tidak sihat yang meningkatkan risiko pelbagai penyakit seperti kardiovaskular, sedangkan lemak tidak tepu bagus untuk membantu membaiki paras kolestrol, melegakan keradangan, menstabilkan rentak jantung dan banyak lagi kebaikan yang lain. Mereka mendapati bahawa lemak tepu menyebabkan paras kolestrol tidak baik meningkat dalam darah sedangkan lemak tidak tepu pula membantu mengurang keburukan itu dengan menaikkan paras kolestrol baik.

Keburukan utama kolestrol tidak baik dalam darah ialah kemampuannya untuk melekat di dinding salur arteri dan menyebabkan plak yang menjadikan ruang salur darah sempit atau tersekat, yang seterusnya menyebabkan serangan jantung atau strok. Lantas penemuan kajian itu mengukuhkan dakwaan bahawa daging kambing boleh membantu mengurangkan paras kolestrol dalam darah, mengurangkan risiko atherosklerosis dan penyakit jantung menjadikannya sesuai dimasukkan ke dalam diet jantung sihat. Sebagai galakan pemakanan daging kambing, saintis juga menggariskan dua peraturan asas menyediakan masakan berasaskan kambing. Caranya adalah dengan menggunakan suhu rendah kerana suhu yang terlalu panas akan menyebabkan daging kambing cepat liat. Peraturan kedua pula ialah memasak daging dalam kelembapan seperti peraman (marinade) basah sebelum dimasak ataupun masakan berkuah seperti kari atau stew. Bagaimana pun sate kambing pada saya merupakan sate yang enak dimakan (Lihat foto sebelah). Sate kambing juga jarang kita dapat di Malaysia tetapi banyak disajikan di Indonesia yang kuahnya kicap sahaja.

Ramai juga kumpulan penyelidik juga telah menekankan pentingnya nilai nutrisi kambing dalam aspek pengurusan kesihatan manusia sebagaimana yang dilaporkan menerusi artikel. Artikel yang saya rujuk tersebut ada menyatakan bahawa di Okinawa Jepun misalnya, ibu hamil dan yang baru bersalin digalakkan memakan daging kambing untuk menguatkan fizikal dan mengatasi masaalah keletihan. Artikel tersebut juga membincangkan betapa pentingnya susu kambing yang mempunyai komposisi yang lebih unik iaitu globular lemak lebih kecil dan mudah dihadam berbanding susu lembu. Susu kambing digunakan untuk merawat masalah alergi pada susu lembu, menjadikannya susu alternatif terbaik dan sangat penting kepada bayi, orang dewasa dan juga ibu yang menyusukan bayi.

Kandungan zat mineral susu kambing adalah lebih tinggi berbanding mamalia. Ini menjadikan susu kambing amat berguna untuk merawat penyakit anemia yang diakibatkan oleh kekurangan zat besi dan penyakit tulang rapuh selain dilaporkan berguna dalam rawatan kencing manis. Antara kebaikan susu kambing adalah khasiatnya untuk kesihatan kulit, khususnya untuk membantu merawat penderita masalah seperti psoriasis, ekzema atau jerawat. Pakar dermatologi biasanya menggalakkan pesakit menggunakan sabun pembersih berpelembab berasaskan susu kambing untuk membantu melegakan kulit kering dan gatal dan seterusnya menyembuhkan penyakit kulit. Terdapat banyak bukti saintifik berkaitan khasiat dan kebaikan daging serta susu kambing yang semakin diketahui ramai yang akan menyebabkan permintaan bekalan global akan melonjak naik dalam waktu terdekat.

Negara kita Malaysia boleh dilihat amat berpotensi untuk muncul sebagai negara pengeluar kambing. Ini bagi memenuhi permintaan itu berdasarkan kesesuaian keadaan iklim negara yang panas dan lembab sepanjang tahun. Penternakan kambing meskipun dimulai secara kecil-kecilan tetap mampu mencapai kejayaan yang tinggi memandangkan kambing matang dengan cepat dan membiak seawal usia lapan bulan. Lagipun, cara kambing makan tidak cerewet dimana ia boleh dibiarkan bebas meragut rumput dan tumbuhan renek belukar di kawasan kampung selain najisnya yang lebih kecil dan tidak sebusuk najis lembu. Walaupun satu ketika dulu, penternakan kambing di Malaysia lebih sinonim dengan kaum India yang memang gemarkan sajian kambing terutamanya masalla, trend itu mula berubah kebelakangan ini. Kini, semakin ramai pengusaha muda Melayu termasuk lepasan ijazah yang telah menjadikan kambing sebagai sumber rezeki khususnya bagi memenuhi permintaan untuk majlis akikah dan korban Hari Raya Aidiladha. Selamat menjamu selera daging kambing!

Daging kambing dalam beryani.
DAGING KAMBING... HEBAT KHASIATNYA...
KOLESTEROL BAIK... ADA DIDALAMNYA...
HILANGKAN HAMIS... ADA CARANYA...
DIMASAK DIPANGGANG...ADUH ENAKNYA...

By,
M Anem,
Senior Agrologist,
Room 301, Parkland Hotel,
Brinchang, Cameroon Highland,
Pahang, Malaysia.
(26 Ogos 2013)

No comments: