Saturday, March 19, 2011

SAWI PAHIT


SAWI PAHIT (Brassica juncea L) atau Kai Choy adalah sejenis sayuran daun dari keluarga CRUCIFERAE yang popular di tanam di Malaysia. Sawi merupakan sayuran daun paling luas di tanam di Malaysia dengan keluasan 8,230 hektar dengan penghasilan sebanyak 120,160 metrik tan pada 2010. Kawasan paling luas menanam sawi adalah seperti Negeri Johor seluas 2,280 dengan hasil sebanyak 23,565 metrik tan diikuti dengan Negeri Pahang (1,075 hektar dan 9,207 metrik tan) dan ketiga Negeri Sarawak seluas 932 hektar. Terdapat banyak jenis sawi ditanam seperti Sawi pahit, Sawi Jepun, Sawi Hijau, Sawi Kerinting, Sawi Kailan dan banyak lagi. SAWI PAHIT juga dipanggil sebagai Indian Mustard ; Chinese mustard (English), Moutarde indienne ; moutrtarde de chinese (Peranchis), Sawi ; Sesawi (Indonesia), Sawi Pahit ; Kai Choy (Malaysia), mustasa (Filipina), khat naa (Laos) dan phakkat khio ; phakkat kheiopli (Thailand). Artikel kali ini saya berkongsi maklumat mengenai tanaman sawi pahit berdasarkan pembacaan buku teknikal dan pengalaman penulis sebagai pegawai pengembangan yang sering melawat dan memberi ceramah mengenai teknologi sayuran.


Sayuran sawi pahit di tanam diseluroh dunia dan tidak diketahui asal usul tanaman ini. Bagaimana pun berdasarkan nama bontanikal tumbuhan ini banyak di dapati di Negara China dan India. Jenis sawi pahit banyak ditanam di kawasan Asia dan khususnya Asia Tenggara. Sawi Pahit digunakan sebagai sayuran segar untuk dimasak dengan sop, di goreng atau di maukkan dalam mee goreng sebagai penyedap rasa. Terdapat juga sawi pahit yang di proses untuk jeruk di negara Korea dan China. Kandungan sawi pahit setiap 100 gram adalah air (92 g), Protin (2.4 g), Karbohiderat (4 g), Lemak (0.4 g), Ca (160 mg), Fe (2.7 mg), Vitamin A (1.8 mg) dan Vitamin C (73 mg). Aktiviti memasak dan menjeruk sawi pahit akan menghilangkan Vitamin a dan Vitamin C. Setiap 1,000 biji sawi beratnya 2 gram.


Sawi Pahit merupakan tanaman renek yang tumbuh menegak dengan ketinggian 30 -120 cm mempunyai daun berwarna hijau. Akar dari jenis akar serabut yang pendek. Sawi pahit tumbuh dengan bunga berwarna hijau kemudian kekuningan jenis 'corymbiform raceme'. Biji sawi terbentuk sebanyak 10-20 biji setiap tangkai berukuran 1-1.5 mm garispusat. Biji sawi ini apabila cukup kering mampu bercambah dalam 3-5 hari. Sawi pahit mempunyai rasa agak pahit apabila di masak kerana kandungan bahan kimianya. Beberapa spesis sawi pahit yang ditanam diseluroh dunia adalah seperti "Broad Leaf Mustard", "Dissected Leaf mustard", "Head Leaf mustard", "Strumiferous Leaf mustard" "Tillering Mustard" , "Stem mustard", "Shoot mustard" dan juga "Root mustard".


Tanaman sawi pahit di Malaysia adalah untuk penghasilan daun segar untuk pasaran domestik dan ekspot terutama ke Singapura. yang ditanam menggunakan Biji Benih. Biji benih terpilih biasanya didakwa sebagai hybrid ditabur terus atas batas atau sisemai dahulu. Lazimnya sawi di tanam di atas batas yang disediakan dahulu dikawasan tanah yang subur, mempunyai saliran yang baik dan sumber air bersih yang mencukupi. Di Johor kebanyakan penanam sawi pahit menanam di bawah struktur pelindung hujan sepanjang tahun. Jika di tabur terus diatas batas lazimnya biji benih dicampur dengan pasir atau tanah halus dan campuran racun kulat seperti Thiram. Penyiraman dijalankan 2 kali sehari iaitu pagi dan petang. Bubuh sungkupan untuk peringkat awal penanaman. Buat penjarangan jika guna tabur terus dangan jarak 10-20 cm x 25-30 cm.


Kawalan rumpai dijalankan dengan menyembur racun pra-cambah sebelum menanam dan kawalan mencabut rumput diatas batas akan mengganggu akar sawi. Penyiraman dijalankan 2 kali sehari sehingga sawi sedia untuk dituai. Siatem pengairan renjis atai 'mist spraying' adalah sesuai selain dari kaedah penyiraman sacara manual. Kadar keperluan air sebanyak 25 mm sepokok setiap 4 hari. Pembajaan dengan baja organik (10 mt/ha) sebelum menanam. Baja NPK 15:15:15 diberikan dengan kadar 90-120 kg/ha bersama dengan pemberian baja foliar atau baja daun bagi meningkatkan kualitinya.


Antara masaalah tanaman sawi pahit adalah seperti serangan Penyakit Reput Akar (Erwinia caratovora), Penyakit Kulapok Downy (Peronospora parasitica) dan juga Clubroot dan serangan virus mozaik. Penyakit bintik daun (Altenaria brassicae) juga menyerang sawi pahit dan kawalan selalunya mengguakan racun kulat seperti Dithane, Maneb dan Zineb mengikut kadar. Penyakit Lecuh Anak Benih sering berlaku pada musim hujan. Penggunaan varieti yang cepat dituai dan kawalan secara IPM (Penggunaan Bacillus thuringiensis) membantu mengurangkan risiko serangan penyakit. Antara perosak sawi pahit seperti serangan Ulat Makan Daun (Plutella xylostella) , Aphids (Aphid spp), Ulat Webworm (Hellula undalis), Kumbang Makan Daun (Phylloreta striolata) yang boleh dikawal dengan racun serangga. Terdapat juga serangan siput babi halus dan cengkerik dikawasan penanaman di bawah struktur pelindung hujan di kawasan Johor Bahru. Siput dikawal dengan menggunakan racun jenis Siputox.


Tanaman sawi pahit di kawasan Johor Bahru dan Muar saya dapati dituai dalam masa 28 - 34 hari selepas ditanam. Kaedah menuai sawi pahit segar dengan mencabut pokok yang telah matang dan dibuang akarnya. Sawi di bersihkan dengan membasuh dan digredkan sebelum dimasukkan bakul. Ada kaedah yang mengikat sawi pahit sebanyak 10 kg satu ikatt dan di lapik dengan kertas surat khabar lembab. Sawi perlu dihantar kepasar segera kerana ianya mudah layu. Pemerhatian saya di kebun Soo Tiok di Sengkang Batu 18 mendapati sawi pahit menghasilkan kira-kira 8-12 metrik tan sehektar. Paling banyak beliau pernah dapat 14 mt/ha dengan menggunakan lebih baja organik dan tambahan baja daun (Grofas - foliar fertilizer). Penanaman sawi pahit atai Kai Choy di Malaysia adalah satu industri yang besar dengan nilai tahunan melebihi RM 25 juta setahun.


SAWI PAHIT...KAI CHOY NAMANYA.....
DI NEGERI JOHOR....LUAS KAWASANNYA....
PASARAN SEGAR...DOMESTIK DAN EKSPOT...
KALAU BERHASIL....UNTUNG TAK TERSEBUT...


By,
M Anem
Putrajaya
Malaysia
Ahad 11.57 pagi

No comments: