Sunday, March 20, 2011

SAWI HIJAU


SAWI HIJAU (Brassica rapa cv group Caisin) atau Pak Choi merupakan sejenis tumbuhan dalam kategori sawi dari keluarga Cruciferae. Tanaman ini merupakan salah satu daripada 5 jenis sayur daun yang luas di tanam di Malaysia setiap tahun. Beberapa jenis sawi lain yang di tanam di Malaysia seperti sawi pahit, sawi jepun, sawi bunga , sawi putih dan juga kailan. Seluas 8,230 hektar sawi di tanam di Malaysia pada tahun 2010 dengan sebanyak 23,565,000 kilogram bernilai lingkungan RM 24 juta. Kajian penulis mendapati Negeri Johor adalah negeri yang menanam paling luas sawi hijau iaitu seluas 2,280 hektar (27%) daripada pengeluaran sawi di Malaysia. Nama lain sawi hijau adalah seperti Caisin, Flowering white cabbage (English), Mock Pak Choi (USA), Caisin ; Sawi Hijau ; Sawi Kembang ; Sawi Kembang (Malaysia) dan Phakkwantung ; phakkat-kheokwangtung (Thailand). Sawi merupakan tanaman singkat masa dan ditanam secara komersil monokrop oleh petani yang bertaraf komersil juga. Artikel pagi ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" untuk memberikan teknologi tanaman sawi hijau berdasarkan pembacaan buku teknologi, pemerhatian di kebun komersial sawi dan hasil temubual dengan beberapa petani terutama di Johor yang mana saya bertugas hampir 15 tahun.

Tanaman sawi hijau seperti sawi lain ini dipercayai berasal dari kawasan Asia Tengah seperti China, Mongolia dan merebak sehingga kawasan Meditrenean tetapi kini ditanam diseluruh dunia. Tanaman sawi hijau di lakukan di Malaysia untuk mendapatkan daun sawi segar yang digunakan sebagai sayuran daun untuk di masak tumis, sup (Bening) atau sebagai ramuan untuk masakan mee dan sebagainya. Di Negera China, Korea dan Jepun, sawi ini akan dijerukkan untuk dijadikan 'kimchi' dan 'pickle' yang menjadi makanan tradisional kebangaan mereka bersama dengan kobis. Pengeluaran produk sawi hijau dan keluasan penanaman seluruh dunia belum ada rekod rasmi kerana kebanyakan negara menanam untuk kegunaan domestik kerana sawi ini mudah rosak (Perishable). Sawi Hijau adalah sayuran yang tumbuh menegak dengan ketinggian 25-60 cm yang mempunyai akar serabut yang pendek. Daun keluar dari dahan dan pangkal rumpun tanpa cabang tangkai panjang, rozet, berbentuk 'lanceolate' atau oblong. Jika ada buah ianya mengandungi biji benih dengan jumlah 10-20 biji kecil iaitu berukuran 1 mm garispusat. Kajian menunjukkan bahawa sawi hijau mengandungi air (95 g), Karbohiderat (1.2 gram), Lemak (0.2 gram), Vitamin A (2,800 IU), Vitamin B2 (0.07 mg), Vitamin C (58 mg), Niacin (0.5 mg), Ca (102 mg), Fe (2.0 mg), P (37 mg), K (180 mg), Na (100 mg), K (180 mg) dan 54 kJ tenaga bagi setiap 100 gram sawi hijau.


Penanaman Sawi Hijau atau Pak Choi di Malaysia lazimnya di tanam diatas batas menggunakan BIJI BENIH (Lihat foto sebelah). Biji benih ini adalah sangat halus dan perlu di semai dahulu atau di tabur terus diatas batas setelah di campur dengan racun kulat (Thiram atau Capstan) dan juga campukan dengan pasir halus. Apabila abakbenih tumbuh dalam 5-8 hari penjarangan dijalankan dengan jarak tanaman 10-15 cm x 10-15 cm. Anak benih dari semaian juga perlu di alih keladang setelah mempunyai 2-4 helai daun. Jalankan penyiraman air sebanyak 2-3 kali sebaik sahaja menyulam. Sawi Hijau perlukan air yang banyak sepanjang penanaman iaitu keperluan sebanyak 5-7 mm setiap pokok. Kini teknologi penanaman sawi hijau banyak dilakukan dibawah struktur pelindung hujan iaitu struktur bumbung dengan lapisan plastik kalis hujan. Perkara ini membolehkan penanaman sawi dapat dilakukan sepanjang tahun walau pun ia musim tengkujuh atau musim hujan. Lazimnya daun sawi yang hampir matang akan rosak kerana curahan air hujan berlebihan. 

Sawi Hijau adalah jenis sawi yang cepat untuk dituai iaitu lingkungan 27 hari sehingga 32 hari untuk dituai. Kajian saya mengenai penanam sayur sawi hijau seluas 30 ha di Sengkang, Muar, Johor mandapati kekerapan penanaman sawi hijau sebanyak 8-10 kali setahun. Paling penting kata En Soo Tiok (Ketua Projek Berkelompok Sayuran Batu 19, Sengkang, Muar) ialah baja perlu cukup, air perlu sentiasa disiram, cuaca panas yang panjang dan tiada serangan penyakit dan perosak. Beliau berpengalaman menanam sawi hijau lebih 25 tahun tahu akan trend harga di pasaran dan isu-isu kitaran musuh dan penyakit. Tanah gambut dalam yang di tanam sawi hijau mudah diuruskan berbanding dengan tanah mineral. Tan Soo Tiok yang merupakan Pengerusi Persatuan Penanam-Penanam Sayur Malaysia mengusahakan seluas lebih 50 ekar tanaman sawi, kailan dan beberapa jenis sayuran lain untuk pasaran segar.

Pembajaan tanaman sawi dimulakan pada peringkat sebelum menanam dengan memberikan baja organan yang digaul atas batas dengan kadar 7-10 metrik tan sehektar. Baja NPK 15:15:15 perlu diberikan pada minggu ke 2 dan ketiga begitu juga dengan baja foliar (Jika ada). Keperluan unsur Nitrojan lingkungan 60-110 kg/ha, unsur Posforan (40-60 kg/ha) dan unsur Kalium (80-100 kg/ha). Kawalan rumpai dibuat ditepi-tepi batas tanaman secara manual dan tidak digalakkan mencabut rumpai dalam batas kerana akan merosakkan akar sawi hijau yang baru keluar. Penggunaan baja daun atau foliar fertilizer di syorkan untuk mendapatkan hasil yang cepat dituai dan berkualiti. Tanaman sawi hijau juga di serang Penyakit Reput Batang (Erwinia corotovora) dan Penyakit Bintik Daun (Alternaria brassicicola) atau penyakit mozek virus. Penyakit Kulapok Mildew (Peronospora parasitica) juga menyerang sawi hijau dan boleh dikawal dengan menggunakan racun kulat seperti Dithane, Maneb dan Zineb. Pastikan menjalankan program pengapuran tanah untuk mengelakkan serangan penyakit dan pengambilan baja tanaman yang optimum. Serangga yang menyerang sawi hijau seperti Kupu2 Diomond Black/ Plutella (Plutella xylostella) yang dikawal dengan kaedah IPM gunakan bakteria Baccilus thurigiensis. Serangga lain seperti Ulat Makan Daun atau Ulat Potong daun (Hellula undalis atau Crocidolomia binotalis) dan kumbang. Kajian saya di Johor serangan siput babi kecil dan cengkerik adalah serioun terutama tanaman sawi di bawah struktur pelindung hujan (SPH).

Lazimya di negara lain sawi hijau dituai selepas 40 hari disemai tetapi di Malaysia cuma perlukan 28 - 32 hari sahaja untuk menuai sawi hijau. Cara menuai sawi hijau dengan mencabut keseluruhan pokok dan kemudian bahagian batang dan akar di potong dengan pisau tajam dan dibersihkan. Pemerhatian saya mendapati anggaran hasil sawi hijau lingkungan 8 - 15 metrik tan sehektar di kawasan terbuka dan 14 -20 mt sehektar di bawah struktur pelindung hujan. Sawi yang telah di cabut akan dikumpulkan dan dimasukkan dalam bakul sebelum ianya dibasuh dengan air mengalir. Kemudian sawi tersebut akan di masukkan dalam bakul plastik besar atau di bungkus dalam kertas tebal atau kertas suratkhabar seberat 10 kg setiap satu ikatan. Sawi Hijau perlu dihantar kepasar segera kerana ia adalah sayur daun yang cepat rosak. Harga jualan ladang sawi hijau mengikut trend harga dan musim antara RM 0.70 - RM 1.80 sekilogram. Musim hujan biasanya harga sawi akan naik tinggi kerana kekurangan bekalan. Harga runcit sawi hijau dipasar diantara RM 3.00 - RM 5.00 sekilogram terutama dikawasan jauh daripada kawasan bekalan. Sawi kini dijual setelah dibungkus dalam bekas khas dan dipamerkan di Pasaraya Besar seluruh negara. Sawi hijau adalah salah satu jenis sawi yang popular ditanam di Malaysia kerana permintaan yang sentiasa tinggi seperti juga sayur Bayam, Kangkung dan Kailan. Pakej Teknologi Tanaman Sawi Hijau Jabatan Pertanian sedia digunakan untuk memberikan panduan lengkap penanaman sawi hijau di Malaysia. Penyelidikan tanaman sawi perlu di teruskan untuk mendapatkan benih tanaman yang superior bagi tanaman ini pada masa akan datang. Kawasan khas penanaman sayur daun perlu di sediakan untuk petani mempastikan sawi hijau dibekalkan setiap masa. Wasallam!.

NAMA PAK CHOI... SAWI HIJAU SAMA....
CEPAT BERHASIL...SEBULAN SAHAJA...
HARGA 10 SEN/KG..ITU CABARANNYA..
SAYUR UTAMA ..DALAM MALAYSIA...


By,
M Anem
Senior Agronomist,
Ladang Sayuran Yongkah,
Machap, Kluang,
Johor, Malaysia.
(Kemaskini pada 20 Oktober 2014)

No comments: