Thursday, December 23, 2010

TERUNG PIPIT

TERUNG PIPIT (Solanum torvum Swartz) adalah sejenis terung dari keluarga SOLANACEAE yang digemari oleh masyarakat kampung semenjak dahulu. Saya ketika zaman kanak-kanak dulu memang ada makan terung ini kerana ada pokok terung pipit ditanam dikawasan rumah di Kampong kat Grisek, Muar, Johor. Kini kalau nak makan kena pergi pasar tani atau pasar borong kat KL untuk makannya. Artikel kali ini saya 'story' berkaitan terung pipit selepas saya tulis terung meranti pagi tadi. Harap-harap pembaca akan dapat tambah ilmu pengetahuan berkaitan tanaman terung!


Terung Pipit atau dikenali juga sebagai 'Terung Rembang' di Malaysia tidak banyak maaklumat diperolehi dari segi agronomi . Saya telah buat kajian dimana tidak ada maklumat keluasan direkodkan mengenai tanaman ini tetapi saya anggarkan lingkungan 8-10 hektar CHE pada tahun 2008. Kebanyakan terung pipit ditanam dikeliling rumah dan di tepi-tepi kebun dan sekeliling pondok petani. Terung ini di panggil sebagai Takokak; Tokak (Indonesia), Devil figs (English), takapasin ; taogotan (Filipina), makhua-phuang (Thailand) dan hoang (Vietnam). Ada yang menganggap terung pipit sebagai rumpai (unwanted pantropical weed) yang terdapat ditepi jalan dan hidup liar.


Terung ini berasal dari kawasan Asia Tenggara dan terdapat di kawasan tropika di benua lain. Pokok terung pipit tumbuh menegak dengan banyak cabang, renek dan mampu mencapai ketinggian sehingga 3 meter. Daunya berbentuk 'ovate', susunan bersilang (alternate), berwarna hijau, panjang tangkai daun 1.5-5 cm dan bersaiz 7-20 cm lebar dan 4-18 cm panjang. Bunga terung pipit berwarna piutih dengan 5 kelopak yang keluar dicelah ketiak daun. Buah Terung Pipit berbentuk Bulat, Berwarna hijau ketika muda dan berkilat hijau kekuningan apabila matang, bergarispusat 1-1.5 cm, dalam rumpun (5-10 buah/rumpun) dan mengandungi biji. Kadar biji dalam setiap buah sebanyak 300-400 bijibenih.


Nilai pemakanan terung pipit setiap 100 g adalah air (89 g), Protin (2 g), Lemak (0.1 g), Karbohiderat (7.9 g), Kalsium (50 mg), P (30 mg), Fe (2 mg), Vitamin A (750 IU), Vitamin B (0.8 mg), Vitamin C (80 mg) dan sebanyak 160 kiloJoule tenaga. Saya dapati kandungan diatas sesuai untuk terung ini dimakan sebagai ulam segar di masak untu sayuran tumis atau domasukan dalam masakan kari. Kajian perubatan tradisional menyatakan terung pipit dijadikan sebagai bahan penghalus tumit kaki (Malaysia), menghilangkan sakit pening kepala (China) dan bijinya dijadikan ubat sakit gigi, ekstrak diguna sebagai penawar bisa gigitan ular atau serangga (India), buah dimakan sebagai ubat sakit perut (Brunei), anak benih terung pipit diguna sebagai pokok penanti untuk cantuman (Jepun) dan sebagainya. Saya makan terung ini untuk sedap makan je... akhirnya ...perut kenyang.


Penanaman terung pipit biasanya menggunakan bijibenih yang perlu disemai. Buah yang telah cukup matang dikutip dan dikeluarkan biji dan dijemur dahulu. Semai biji dalam bekas dan ianya akan bercambau 6-10 hari kemudian. Alihkan anak benih kedalam pasu atau bekas atau tanah yang terdapat dikebun atau dikeliling rumah. Petani kebun sayur biasanya ramas buah terung pipit matang dan baling sahaja di kawasan pondok dan dibiarkan tumbuh sendiri. Secara semulajadi pembiakan terung pipit adalah oleh burung yang makan buah masak dan diberakkan ditempat lain dan akan tumbuh jika sesuai. Jika ditanam diatas tanah secara sistematik jarak tanaman disyorkan adalah 1.5 m x 2 m.


Amalan agronomi memadai dengan memberikan baja organan dengan kadar 100 -150 gram sepokok dan baja tambahan NPK 15:15:15 sebanyak 20-30 g sepokok untuk pembesaran dan baja NPK 12:12:17:2 sebanyak 20-30 g sepokok untuk pengeluaran buah. Kawalan rumpai dijalan secara manual dengan mencabut rumput dengan tangan dan elakkan guna racun rumpai. Tidak terdapat serangan perosak dan penyakit untuk terung pipit yang serious. Bagaimana pun terdapat serangan minor Bintik Daun (Leucinodes orbonalis) dan serangan Cacing Nematod (Meloidogyne spp). Amalan giliran tanaman dapat mengurangkan serangan masaalah diatas.


Tanaman terung pipit belum ada yang diusahakan secara besar-besaran atau komersil. Ada laporan mengatakan anggaran hasil terung pipit mampu mencapai sehungga 15,000-25,000 sehektar jika dikomersialkan berdasarkan kepada petak pemerhatian iaitu hasil 15 kg/10m2. Anggaran jualan selonggok RM 1.00 - RM 2.00 (anggaran 200-300 g) bermakna harga sekilogram lingkungan RM 10.00/kg. Kajian, galakan penanaman, penemuan teknologi dan promosi perlu dibuat jika kita nak ligat terung pipit menjadi satu komoditi yang 'exist' pada zaman ini.



TANAM TERUNG .... TERUNG PIPIT....
DIBERAK BURUNG....DI ATAS BUKIT....
PUAS MAKAN...WALAU TANAM SEDIKIT...
MAKAN SEBAGAI ULAM... BADAN TAK SAKIT...



By,
M Anem
Kuantan
(Rujukkan : Buku Vegetable - by PROSEA)

No comments: