Sunday, September 22, 2013

BUNGA KEEMBONG

Pokok Bunga Keembong (Impatiens balsamina) atau dipanggil juga sebagai Garden balsam merupakan sejenis pokok renek yang menyebar biji benih dengan cara kaedah meletupkan buahnya daripada keluarga Balsaminaceae. Saya kenal bunga keembong ini kerana ia ditanam dikeliling rumah dikampong di Gersik, Muar, Johor dibanyak rumah dahulu. Kecantikkan bunga keembong ini adalah dari warna bunganya yang sangat terang (merah, putih, meroon, pink, ungu dan kombinasi beberapa warna) dicelah daun yang berwarna hijau. Saya tidak pasti bagaimana nama bunga ini diberikan tetapi membuat hipotesis yang buahnya berbentuk 'kembong' sebelum ia meletup, lalu kerana banyak yang meletup lalu dipanggil 'keem' dan ia melam'bong' untuk melontarkan biji. Tumbuhan yang mudah ditanam dan mudah dibiakkan melalui biji ini menjadi hiasan yang cantik terutama ditanam dikawasan kampong tradisional. Pada saya warna bunga keembong ungu, merah dan putih amat menarik jika ditanam didalam susunan berbaris mengikut rekabentuk. Saya dapati tidak banyak pihak berkuasa tempatan yang menanam tumbuhan ini walau pun cantik kerana jangkahayat yang pendek dan perlukan penjagaan rapi. Selain daripada ia digunakan sebagai tanaman hiasan, khasiat pokok bunga keembong masih belum banyak diperkatakan. Artikel malam jumaat ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok binga keembong berdasarkan pembacaan, pengalaman, pemerhatian dan temubual dengan responden.

Cantiknya keembong merah.
Pokok bunga keembong adalah dari jenis renek berbatang lembut yang mampu tumbuh setinggi 20 - 70 cm bergantung kepada spesis dan kesuburan tanah. Batangnya merupakan batang yang tebal berwarna hijau yang agak lembut. Daun pokok keembong berbentuk panjang tirus dengan bergerigi ditepi laidaun dan berukuran 3-9 cm panjang dan 1-3 cm lebar. Susunan daun pada batang dan ranting adalah spiral dan juga berselang seli. Ada mengatakan bentuk daun seperti bentuk lembing yang tajam dengan tangkai yang pendek. Bunga Keembong mempunyai banyak kelopak (Biasanya ada 5 kelopak dan ada spesis yang berlapis-lapis) yang kebanyakannya mempunyai warna merah, ungu, putih dan pink berukuran 3-5 cm garispusat terbit daripada ketiak daun dalam jambak. Bunga yang cantik dan terang ini menarik banyak janis serangga seperti semut, lebah madu, rama-rama dan kumbang untuk mendapatkan nektar dan debunganya. Setelah mekar, bunga ini akan layu dan akan menghasilkan buah bunga keembong. Kudup buah muda berbentuk kapsul seperti kon bulat yang berwarna hijau dan akan menjadi hijau cerah atau kehitaman apabila cukup matang. 

Buah keembong yang matang lazimnya mengandungi banyak biji benih kecil berbentuk bulat yang berwarna hitam (Lihat foto sebelah). Biji ini kemudian akan di'campak keluar' melalui kulit buah yang bergulung secara mekanikal (pecah) dan bijinya akan jatuh ketanah dan mudah tumbuh jika benih tersebut mendapat persekitaran sesuai. Buah yang matang ini akan mudah pecah apabila disentuh dengan tangan dan biji nya akan terkeluar. Akarnya dari jenis akar serabut yang sesuai tumbuh dikawasan yang subur dan sedikit lembap. Ia mudah tumbuh dalam semua jenis tanah dengan tambahan baja organik seperti tahi ayam. Pemerhatian saya mendapati belum ada petani atau usahawan menanam pokok bunga keembong secara monokrop untuk penghasilan komersil. Terdapat beberapa spesis pokok keembong yang dianggap sebagai 'Rumpai' oleh petani dan penggemar tanaman ornamental.

Pokok Keembong dikategorikan sebagai jenis tanaman hiasan yang turut mempunyai khasiat ubatannya tersendiri. Walau pun saya dapati tidak banyak bahan rujukan mengenai khasiat pokok keembong, beberapa penulis ada membuat catitan.  Bahagian pokok yang digunakan untuk tujuan perubatan secara tradisional adalah daun, bunga, biji dan batang. Seluruh bahagian pokok ini kecuali akarnya dikatakan boleh direbus dan dijadikan ubat bagi merawat busung, demam kuning, hepatitis dan kembung air. Daun pokok keembung dikatakan boleh direbus dan digunakan untuk mencuci dan melebatkan rambut (Lihat foto daun disebelah). Ia juga boleh ditumbuk halus dan kemudiannya ditampal pada luka, penyakit kulit, sakit di atas, sekeliling atau dalam kuku, kulit lekang, bernanah dan kulit bengkak. Boleh juga ditampal pada kepala apabila sakit kepala.  Batang pokok keembung boleh ditumbuk sampai hancur, airnya kemudiannya diperah dan disapu pada lebam, ketuat, kutil, kurap dan ulser yang busuk. Cecair yang diperah daripada batang ini juga boleh disapu pada kulit yang luka supaya tidak bengkak ataupun lebam. Cecair yang diperah ini turut boleh disapu sebagai losyen untuk merawat bengkak mata. Bagaimana pun kajian lanjut secara klinikal dan saintifik perlu dijalankan kepada pokok bunga keembong untuk kegunaannya dimasa akan datang. Wasallam!

Keembong ungu yang menawan.
BUNGA KEEMBONG...CANTIK NYA...
DARI BIJI... MUDAH TUMBUHNYA...
DIKELILING RUMAH...SUSUNANNYA...
PELBAGAI WARNA... CERIA JADINYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Parti Bengkok,
Ledang/Muar, Johor,
Malaysia.
(12 Dzulhijjah 1434H)
 

No comments: