TOMATO (Solanum lycopersicum) adalah sejenis tumbuhan kategori sayur buah dari keluarga Solanaceae merupakan sejenis tanaman yang di tanam dan di makan oleh manusia diseluruh dunia. Tomato dipercayai berasal dari Amerika Selatan dan disebarkan keseluroh dunia oleh orang-orang Sepanyol. Tomato diklasifikasikan sebagai kategori SAYUR BUAH di Malaysia tetapi juga lebih popular juga sebagai SAYURAN dalam penggunaannya. Kajian saya pada tahun 2011 dari FAO Statistic menunjukkan, pengeluaran buah tomato dunia adalah sebanyak 159.02 juta metrik tan dari kawasan penanaman dituai tomato seluas 4.734 juta hektar. Negara China merupakan pengeluar utama tomato didunia pada tahun 2012 iaitu sebanyak 48.57 juta metrik tan diikuti dengan India (16.8 juta mt), USA (12.6 juta mt), Turki (11.0 juta mt) dan Mesir (8.1 juta mt). Pengeluaran tomato di Malaysia adalah untuk kegunaan domestik dan hanya sedikit yang diekspot. Kawasan penanaman tomato di Tanah Tinggi banyak di Cameroon Highland dan Kundasang sementara penanaman tomato tanah rendah didapati di Kelantan, Johor dan juga Pahang. Artikel kali ini saya akan menulis dalam "Anim Agro Technology" satu teknologi atau maklumat mengenai tanaman tomato berdasarkan kepada pengalaman penulis yang berkecimpong dalam sektor pertanian selama 33 tahun.
Penanaman tomato memang sejenis tanaman yang banyak diserang perosak sama ada kulat, serangga, bakteria atau virus. Diantara perosak serangga yang menyerang tomato adalah seperti Ulat Pengorek Buah, Lalat Buah dan Hama Merah. Jenis Penyakit yang menyerang tomato di Malaysia pula yang telah saya kenalpasti adalah seperti Penyakit Hawar Phytopthora, Penyakit Antraknos Buah, Penyakit Hawa Altenaria, Penyakit Reput Pangkal, Penyakit Layu Fusarium, Penyakit Layu Mozek, Penyakit Layu Bakteria dan Penyakit Reput Hujung Buah. Penanaman tomato dikawasan terbuka mudah diserang dengan serangga perosak dan patogen penyebab penyakit berbanding dengan penanaman tomato didalam rumah kaca (Greenhouse) dengan sistem fertigasi.
Serangga Ulat Pengorek Buah (Chloridea obsoleta F) merupakan serangga yang mana larvanya akan menyerang buah, daun, tunas dan bunga ketika pokok di peringkat berbunga dan buah. Buah yang diserang akan berlubang dan busuk serta kesan serangan saya dapat melihat dimana pucuk muda dan bunga dimakan ulat. Kawalan serangga ini adalah dengan menyembur keseluruhan pokok dengan bahan BT (Bacillus thuringiensis), permethrin atau acephate selang 14 hari sekali jika perlu. Kutip buah yang rosak sebab diserang dan musnahkan dengan kaedah yang betul. Perosak Serangga ke 2 adalah Lalat Buah (Bactocera sp) yang menyerang buah ketika pokok sedang berbuah. Buah yang diserang akan berlubang dan menjadi reput. Buah-buah tersebut akan gugur atau busuk sebelum matang. Kutip buah-buah yang diserang dan musnahkan secara menanam atau membakar. Gunakan racun penarik (attractant) seperti methyleugenol. Serangga perosak tomato ke 3 yang saya jumpa di negara kita kadang-kadang adalah Hama Merah (Thtranychus truncatus). Serangga ini akan menyerang daun dan bunga. Daun yang diserang berkerekot dan terdapat tompok-tompok kuning. Pertumbuhan pokok terbantut dan bunga tidak terbentuk. Jika perlu, semburan dengan racun serangga seperti dicofol atau propagite.
Penyakit Hawar Phytopthora |
Penyakit tanaman tomato yang lazim dijumpai diladang adalah Penyakit Hawar Phytophthora disebabkan oleh sejenis kulat (Phytophthora infestans) dimana ia akan menyerang daun dan buah. Cara penyakit ini merebak adalah melalui tanah dan air. Daun diserang menjadi bertompok-tompok perang kehitaman dan berair dimana selalunya dibahagian hujung dan di tepi daun tua. Kemudian terdapat tompok-tompok putih di belakang daun yang mana pada akhirnya pokok akan mati. Serangan pada buah muda yang masih hijau, simptomnya bila terdapat bintik lecuh berwarna kelabu yang membesar kepada saiz dan bentuk yang tidak menentu. Lama kelamaan bahagian diserang menjadi kering, berkedut dan mempunyai sempadan yang nyata. Cara kawalan dengan membuat semburan racun kulat seperti maneb, mancozeb, captafol atau cuprus oxide. Bakar bahagian tanaman yang berpenyakit sehingga musnah. Pastikan kawasan tanaman mempunyai sistem saliran baik dan perlu sentiasa menjaga kebersihan kawasan tanaman.
Penyakit kedua adalah Antraknos Buah Tomato yang mana ia disebabkan oleh kulat Colletotrichum sp. menyerang buah. Cara penyakit merebak melalui biji benih dan angin. Jangkitan awal akan kelihatan seperti ada lekukan yang kemudian membesar menjadi tompok-tompok perang kehitaman (Lihat foto sebelah). Serangan menyebabkan buah akan menjadi reput. Sebaiknya selalu gunakan biji benih yang sihat, bajak reput relai ke dalam tanah semasa penyediaan tanah. Jika terdapat serangan, musnahkan buah-buah yang telah berpenyakit, buat semburan buah dengan racun kulat seperti mancozeb jika perlu. Penyakit tomato yang ke tiga adalah Penyakit Hawa Aleternaria dimana ia lazimnya akan cepat merebak melalui angin. Kulat penyebab penyakit ini adalah Alternaria solani yang akan menyerang batang, daun dan buah. Terdapat bintik-bintik perang pada batang dan daun tua. Bintik-bintik kemudiannya membesar menjadi tompok yang berpusat hitam. Tisu daun di keliling tompok selalunya akan bertukar menjadi kuning. Buah yang diserang mempunyai bintik lekuk dan dipenuhi dengan spora-spora hitam. Serangan selalunya bermula di bahagian hujung tangkai buah. Sembur dengan racun kulat seperti copper oxychloride, mancozeb atau chlorothalonil jika perlu. Bakar bahagian yang berpenyakit.
Penyakit tomato yang ke 4 adalah Penyakit Reput Pangkal dimana ia akan merebak melalui tanah (Lihat foto sebelah). Kulat yang diketahui menyebabkan penyakit ini adalah jenis Sclerotium rolfsii atau Rhizoctonia sp. dimana ia akan menyerang pangkal pokok. Daun-daun yang diserang akan kelihatan layu. Terdapat juga maisilia putih (white mycelium) yang dilihat pada pangkal pokok. Akhirnya pangkal dan akar menjadi hitam dan reput. Pastikan kawasan tanaman bersaliran baik dan musnahkan pokok yang diserang. Penyakit Layu Fusarium disebabkan oleh jenis kulat Fusarium sp. dimana ia menyerang akar. Tersebar melalui tanah dan air. Daun-daun menjadi kuning, kemudian kering bermula dari bahagian bawah pokok. Pokok menjadi bantut dan layu. Pastikan kawasan tanaman bersaliran baik. Sembur dengan racun kulat seperti benomyl atau carbendazim jika perlu dan cabur / bakar pokok yang berpenyakit. Seterusnya adalah Penyakit Layu Bakteria yang disebabkan oleh bakteria dinamakan Pseudormonas solanacearum menyerang batang dan akar. Merebak melalui air, tanah dan sentuhan akar. Daun kelihatan layu dan menjadi kuning. Empulur berwarna perang kehitaman dan berair. Jika akar atau batang dipotong dan direndam dalam air, ia mengeluarkan cecair jaluran putih. Gilirkan tanaman yang berlainan dari keluarga Solanaceae. Tentukan saliran air baik di kawasan kebun. Cabut dan bakar pokok yang berpenyakit.
Penyakit Virus Mozek |
Akhir sekali adalah Penyakit dinamakan Penyakit Virus Mozek yang menyerang pokok tomato (Sila lihat foto sebelah). Saya dapati ia disebarkan atau dibawa oleh Kutu daun sebagai pembawa penyakit. Virus berkenaan menyerang seluruh pokok. Daun yang diserang akan menjadi berbintik-bintik serta berkerekot. Serangan yang teruk menyebabkan pokok menjadi bantut, buah menjadi kecil dan berubah rupa. Jaga kebersihan kawasan tanaman. Kawal kutu daun dengan menyembur racun serangga seperti malathion dan musnahkan pokok yang berpenyakit. Penyakit Reput Hujung Buah disebabkan oleh kekurangan zat kalsium. Terdapat tompok kecil berwarna perang atau kehitaman dan berkeadaan basah di bahagian hujung buah. Tompok kemudiannya membesar menjadi lekuk dan berwarna hitam. Pastikan pembajaan dan pengapuran membekalkan kalsium yang mencukupi. Dalam tanaman tomato penting dijalankan Kawalan Rumpai. Kaedah kawalan dengan mencabut rumpai yang tumbuh di atas batas. Bagi rumpai yang dijumpai diantara batas boleh dikawal dengan menggunakan racun rumpai sebelum peringkat berbuah. Ketika menyembur, gunakan penyembur bertudung bagi mengelakkan tempias semburan dari terkena tanaman. Penggunaan sungkupan plastik di permukaan batas juga dapat menyekatkan pertumbuhan rumpai. Wasallam!
TANAM TOMATO... APA PEROSAKNYA...
LALAT BUAH... MEMANG KEGEMARANNYA...
PENYAKIT LAYU... SANGAT MERBAHAYA...
PERLU DIKAWAL.. KURANG KERUGIANNYA...
By,
M Anem
Senior Agronomist
Putrajaya,
Malaysia
(9 Rejab 1434H)
No comments:
Post a Comment