Tuesday, July 2, 2013

AMALAN PERKILANGAN BAIK - GMP (Part 1)

Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) diwujudkan bagi membantu industri untuk mencapai piawai pengeluaran makanan yang lebih tinggi bagi memenuhi kehendak-kehendak keselamatan makanan dan kehendak pengguna. Garispanduan ini menyediakan panduan tentang elemen-elemen utama GMP (Good Manufacturing Practice) kepada industri makanan bermula daripada penerimaan bahan mentah sehingga kepada pengedaran produk. Pelaksanaan garispanduan ini juga mewujudkan keseragaman dalam Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) bagi industri makanan. Objektif GMP adalah untuk (a) memaklumkan industri makanan tentang elemen-elemen GMP, (b) memberi panduan kepada industri makanan tentang asas amalan kebersihan dan keperluan sanitasi bagi memastikan juga penghasilan makanan yang selamat dan (c) membantu industri makanan untuk berupaya mencapai pensijilan GMP. Saya dapati Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) telah diwujudkan bertujuan untuk membantu industri untuk mencapai piawai pengeluaran makanan yang lebih tinggi bagi memenuhi kehendak-kehendak keselamatan makanan dan kehendak negara. Permohonan untuk mendapatkan sijil ini adalah terbuka kepada semua jenis pengusaha premis makanan samada pemprosesan, pembungkusan, penyimpanan dan pengedaran makanan. Artikel malam Isnin ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kepentingan Amalan Pengilangan Baik (GMP) didalam memajukan sektor industri makanan dan pertanian negara.

Diantara Skop Amalan Perkilangan Baik (GMP) adalah dimana garispanduan ini terpakai kepada semua jenis industri penting makanan di Malaysia termasuk bidang pemprosesan, bidang pembungkusan, penyimpanan, penstoran dan pengedaran. Garispanduan ini juga perlu dibaca bersama dengan kod amali yang spesifik sekiranya ada dan bersesuaian. Mengenai  definasi GMP, dalam garispanduan ini beberapa terminologi-terminologi berikut membawa maksud seperti berikut. Kod khas amalan seperti Kod Amalan Kebersihan Makanan, Kod Amalan bagi Udang Bersih yang Dimasak, Kod Amalan bagi Kelapa Sawit, Sawit jenis Olien dan Stearin dan rujukan lain daripada CODEX Allimentarius Malaysia (Lihat foto buku disebelah). Kedua adalah yang berkaitan dengan aktiviti seperti Pembersihan iaitu aktiviti pembuangan kekotoran, sisa baki makanan, habuk, gris atau lain-lain bahan pencemar yang menjejaskan kebersihan. Bahan Pencemar pula ditakrifkan sebagai sebarang agen biologi dan kimia, bendasing dan bahan lain yang dimasukkan secara tidak sengaja ke dalam makanan yang menjejaskan keselamatan makanan. 

Pencemaran pula dimaksudkan dengan kemasukan atau kehadiran bahan tercemar 
di dalam makanan atau persekitaran makanan. Penyahjangkitan pula terminologi bagi kita mengurangkan bilangan mikroorganisma di persekitaran kepada tahap yang tidak mengugat keselamatan makanan melalui penggunaan agen kimia dan/atau kaedah fizikal. Bagi takrif Pengendali Makanan pula adalah mereka atau sesiapa yang secara langsung mengendalikan makanan yang berbungkus atau tidak dibungkus, peralatan makanan dan pinggan mangkuk, atau permukaan yang bersentuhan dengan makanan oleh itu perlu mematuhi keperluan kebersihan makanan. Seterusnya Keselamatan Makanan adalah jaminan makanan tidak akan menyebabkan bahaya kepada pengguna apabila ia disediakan dan/atau dimakan mengikut kegunaannya.

Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) pula adalah kaedah atau langkah-langkah universal yang mengawal keadaan operasi sesebuah premis makanan bagi membolehkan proses 
penghasilan makanan yang selamat. Bagi takrif Premis adalah dimaksudkan dengan sebarang bangunan atau apa-apa struktur, kekal atau sebaliknya bersama-sama dengan tanah dan bangunan, atau struktur lain yang terletak dan sebarang perkongsian tanah yang digunakan bagi penyediaan, pengawetan, pembungkusan, penyimpanan, pembawaan, pengedaran dan penjualan sebarang jenis makanan. Bagi takrif Air Yang Selamat di minum (Potable Water) adalah  dimaksudkan dengan air yang selamat diminum dan seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan 394 Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983. Bagi maksud Sanitasi iaitu pengurangan bilangan mikroorganisma kepada paras yang akan menggelakkan bahaya pencemaran kepada produk makanan, tanpa memberi kesan yang negatif kepada makanan, melalui agen-agen kimia yang dan atau kaedah fizikal yang sesuai. Pelawat adalah individu termasuk semua kakitangan penyelenggaraan dalaman yang melawat seseorang atau sesuatu tempat. 

KRITERIA PERMOHONAN untuk GMP terutama untuk sektor industri makanan yang memohon Sijil GMP perlu memenuhi kriteria-kriteria seperti berikut. Pertama mereka mesti berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan ke 2 mereka mempunyai lesen atau kelulusan daripada kerajaan tempatan atau agensi kerajaan yang lain. Selain itu mereka juga mempunyai manual GMP dengan kandungan minuman seperti dalam GARIS PANDUAN SKIM PENSIJILAN GMP dan syarat terakhir adalah mereka mempastikan program GMP telah dilaksanakan sekurang-kurangnya dua (2) bulan sebelum permohanan dikemukakan. PROSEDUR PERMOHONAN dibuat dengan mengisi borang permohonan. Borang tersebut  boleh didapati percuma dan hendaklah dibuat dengan borang SGMP1-1/06 yang diperolehi daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, atau Jabatan Kesihatan Negeri-negeri. Borang tersebut mestilah dilengkapkan dan dikemukakan bersama-sama dua (2) unit salinan Manual GMP dan sertakan bayaran pemprosesan sebanyak RM 130.00 ke alamat berikut:

Pengarah
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan
Kementerian Kesihatan Malaysia
Aras 3, Blok E7, Kompleks E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya.

PROSEDUR PENSIJILAN dalam memohon GMP di Malaysia melibatkan 4 peringkat yang kita kena faham. Peringkat pertama adalah dinamakan Peringkat Semakan Borang Permohonan diikuti dengan ke2 iaitu Audit Pematuhan, kemudian dibuat Audit Pemantauan dan akhirnya adalah proses kelulusan oleh Jawatankuasa Pensijilan GMP. Segala maklumat boleh diperolehi daripada Garis Panduan Skim Pensijilan GMP. Tempoh sahlaku sijil GMP adalah tiga (3) tahun daripada tarikh sijil dikeluarkan dan pembaharuan perlu dikemukakan dengan borang serta bayaran untuk pembaharuan sijil. Semuga artikel ini memberikan sedikit pengetahuan berguna kepada anda semua. Artikel Amalan Perkilangan Baik Part 2 (Sila Klik disini). Wasallam!

NAMANYA GMP... BAIK KITA AMALKAN...
PROSES MAKANAN...GMP DAPATKAN...
BORANG DIISI... KEMUDIAN HANTARKAN...
PROSES SETERUSNYA... ITU SIASATAN..
SUDAH LULUS...SIJIL AKAN DIBERIKAN...
SAH LAKUNYA... 3 TAHUN KEMUDIAN...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Room 201, Imperial Hotel,
1, Jalan Syed Abd Hamid Sagaff,
Kluang, Johor,
Malaysia
(2 Rejab 1434H - Kemaskini 2 Julai 2013)

No comments: