Sunday, May 19, 2013

POKOK BERINGIN - KEGUNAANYA

Pokok Beringin (Ficus benyamina Linn) merupakan sejenis pokok saka yang memiliki ketinggian sekitar 20 - 25 meter dari aras tanah. Pokok ini sering kita jumpa ditepi jalan, dikawasan taman bunga, dipinggir kampung dan hutan dinegara kita. Beberapa nama synomim pokok beringin seperti Ficus microcarpa, Ficus nitida dan juga Ficus retusa. Pokok ini adalah dari keluarga Moraceae dan ia mempunyai batang yang tumbuh menegak, berbentuk bulat dengan permukaan kulit kayu yang kasar. Pada bahagian bawah pokok atau batang beringin selalunya akan keluar akar gantung atau dinamakan sebagai akar udara (Lihat foto diatas). Pohon beringin juga disebut sebagai pokok ‘Waringin’ pada masyarakat Jawa di Indonesia, Weeping Fig (English) dan Chinese Banyan (China). Pokok beringin saya dapati memang mempunyai bentuk daun tunggal dengan tangkai daun yang pendek dan mempunyai susunan bersilang berhadapan (Alternate arrangement). Daunnya berbentuk oval atau ovate dengan hujung daun yang tajam (accuminate) serta permukaan lai daun atas agak berkilat. Bunganya beringin adalah tunggal dengan saiz kecil yang lazimnya akan keluar dari ketiak daun. Buah beringin adalah kecil berbentuk bulat dengan ukuran 0.5 - 1.0 cm yang berwarna hijau ketika muda dan menjadi warna merah apabila matang. setiap buah mempunyai satu biji ditengahnya yang keras, berbentuk bulat dan seakan putih warnanya.  Artikel malam Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok beringin dan kegunaannya.

Pohon beringin mempunyai batang dan akar yang amat kuat serta kukuh dengan kanopi yang besar (Lihat foto sebelah). Pokok Beringin tidak tumbuh menegak ke atas seperti pokok besar lain tetapi cara pertumbuhanya adalah melebar, mengembang dan sering kita jumpa ia kembali menjuntai kebawah. Banyak rujukkan menyatakan pokok beringin adalah natif di Malaysia dan Indonesia. Pokok yang rendang ini memberikan teduhan kepada kita dan ada yang mendakwa pokok ini selalu menjernihkan mata air yang ada di kawasan sekitarnya. Kini pokok beringin telah ditanam untuk beberapa tujuan seperti untuk Landskap, Pokok Teduhan, Bonsai dan juga untuk penghasilan kayu balak. Beberapa laporan menyatakan yang pokok beringin memiliki kemampuan sebagai tanaman pemuliharaan (conservation tree) dimana jika ada mata air ia membersihkannnya terutama jika ia tumbuh dilereng bukit secara semulajadi. Akar pokok ini adalah dari jenis akar yang dalam dimana akar lateral mampu mencengkam tanah dengan baik dan kurangkan kesan hakisan tebing tanah. Terdapat beberapa jenis beringin yang memang diketahui sebagai rumah atau habitat sesuai bagi beberapa jenis burung, reptilia, serangga dan mamalia yang makan buahnya.  Siapa yang tanam pokok beringin secara tidak langsung meningkatkan pemuliharaan (conservation) terhadap ekologi fauna yang menjadikan beringin sebagai tempat kehidupan banyak hidupan. 

Beringin merupakan tumbuhan dimana ia mempunyai daya tahan hidup serta mudah menyesesuaikan dengan keadaan alam persekitaran dimana ia tumbuh.  Selain itu jika ia berada pada kawasan hutan maka kita boleh kata yang ia boleh dijadikan satu indikator yang pengurusan hutan tersebut dijaga dengan baik. Beringin juga merupakan tanaman hutan yang memiliki umur yang sangat panjang sehingga direkodkan hingga ratusan tahun. Banyak pokok beringin yang tumbuh dihutan terus subur walau pun umurnya beratus-ratus tahun jika kawasan keliling tidak diganggu. Pokok ini juga jarang-jarang diserang penyakit yang serius. Pohon beringin selalu dikaitkan dengan kepercayaan lama yang mengkaitkan dengan alam  mistik di kawasan nusantara termasuk di Malaysia. Ini kerana ramai orang yang akan menganggap pookok ini besar dan juga ada yang anggap ia sebagai pokok suci. Sesetengah pokok beringin dijadikan tempat pemujaan atau ada kuil atau tempat untuk menjalankan perkara-perkara khurafat bagi orang Islam.  

Pembiakan pokok beringin boleh menggunakan biji benih dari buah beringin yang matang dan disemai atau pun kini dengan kaedah keratan batang. Potong 10 -15 cm dahan pucuk beringin dengan pisau tajam dan buang daunnya separuh dan masukkan dalam bekas berisi air atau cucuk diatas tanah pasir bercampur tanah yang lembap (Lihat foto sebelah). Keratan yang dimasukan kedalam bekas mengandungi air perlu ditukar air setiap minggu dan letakkan ditepi tingkap dimana akar akan keluar selepas 2 minggu. Anakbenih yang sesuai saiznya boleh ditanam dikawasan keliling rumah dan kebun dilokasi sesuai. Penjagaan pokok beringin untuk landskap tidak sukar kerana tumbuhan ini agak mudah membesar apabila sistem pengakarannya aktif. Ramai juga peminat pokok bonsai yang menggunakan tumbuhan ini untuk dijadikan 'Pokok Bonsai'. Pokok bonsai yang disediakan dengan teliti memberikan nilai estetik yang tinggi dan boleh dijadikan pokok bernilai tinggi (Lihat foto pokok bonsai dibawah sekali)

Pokok Beringin sebenarnya mempunyai banyak khasiat dan menafaat yang jarang kita dibincangkan. Merujuk kepada beberapa buku dan website, saya dapati pokok beringin mempunyai menafaat berpotensi meningkatkan tahap kesihatan terutamanya dalam menyembuhkan penyakit. Akar udara yang terletak pada bahagian batang pohon beringin mengandungi bahan Asid Amino, Phenol, gula dan Asid Citrik. Akar ini juga mempunyai rasa yang sedikit pahit (bitter taste). Dalam laporan tersebut juga menyatakan bahagian akar dan daun merupakan bahagian dari tanaman yang berkhasiat untuk mengatasi beberapa penyakit. Akar udara dapat dimanfaatkan untuk mengatasi Selsema, Demam tinggi, Radang Tekak (tonsilitis), masaalah sakit tulang (Rheutism) dan sakit akibat luka. Daunnya berkhasiat menyembuhkan influenza, radang saluran pernafasan (bronchitis), batuk , malaria, radang usus akut (acute enteritis) dan masaalah kejang panas terutama pada anak kecil. Caranya dengan kita menyediakan sekitar 100 gram daun beringin segar kemudian dicuci bersih dan direbus bersama 5 liter air selama 25 rninit. Berikan air rebusan yang masih hangat ini untuk digunakan sebagai air mandian kanak-kanak yang sakit. 

Terdapat laporan yang menunjukkan cara untuk mengubati masaalah bronchitis dalam beberapa buku rujukkan. Apa yang dicadangkan adalah dengan merebus sebanyak 75 gram daun beringin yang masih segar dengan 18 gram kulit limau mandarin bersama dengan 3 gelas air bersih. Apabila air yang direbus tinggal hanya 1 gelas saja tutup api. Setelah air rebusan menjadi sejuk, maka kita tapis dan amalkan meminumnya sebanyak 3 kali sehari iaitu pada waktu pagi , siang dan malam. Kita boleh amalkan untuk selama 10 hari. Dalam kes untuk mengatasi radang usus atu disentri, kita boleh amalkan dengan mengambil sebanyak 500 gram daun beringin segar dan direbus dengan 3 gelas air sampai air tinggal sekitar 1 gelas sahaja. Setelah air rebusan sejuk, kita tapis dan perlu diminum dengan kekerapan sebanyak 2 kali sehari pagi dan petang iaitu dengan kuantiti 1/2 gelas setiap kali minum. Bagaimana pun jika ada masaalah lanjutan perlulah berjumpa dengan doktor diklinik. WallahuAlam 

Pokok Bonsai 'Beringin' yang menarik.
POKOK BERINGIN...ADA KHASIATNYA...
DAUN DAN AKAR...BOLEH DIGUNA...
DIBUAT POKOK BONSAI...CANTIK JUGA...
DAPAT PETUA..BERANI MENCUBANYA...

By,
M Anem
Agronomist
Putrajaya
Malaysia
(11 JamadilAkhir 1434H)

No comments: