Tuesday, May 21, 2013

PEGAGA - TEKNOLOGI PENANAMAN

Pegaga (Nama Saintifik: Centella asiatica (L) merupakan sejenis tanaman herba yang berkhasiat dan amat mudah untuk ditanam dikawasan keliling rumah atau secara komersil. Pegaga amat terkenal diserata dunia dengan beberapa gelaran seperti Pennywort (Inggeris), Pegaga (Melayu), Pegagan (Filipina), Buabok (Thai), Ching Chow Sui (Cina), Mandookaoarni (Sanskrit), Gotu cola (India) adalah tumbuhan daripada Famili Umbelliferae. Sebagai pengenalan, saya dapati setelah membuat banyak rujukkan merupakan tanaman yang berasal atau natif dari kawasan Asia dan juga Afrika Timur iaitu India, Sri Lanka dan Madagascar. Tumbuhan ini adalah jeniS yang meliar di kawasan lembap yang berdekatan dengan air di persisiran sungai dan tali air. Kebanyakan spesies Pegaga boleh tumbuh di kawasan terbuka. Namun begitu, terdapat juga saya tahu yang ada spesies Pegaga yang memerlukan lindungan yang sederhana. Pegaga biasanya tumbuh menjalar di atas tanah dan mengeluarkan akar pada setiap ruas batang. Daunnya berbentuk otak atau ginjal dengan bahagian tepi daun bersifat licin atau bergerigi mengikut jenis. Bunganya dalam jambak 3–4 kuntum dengan kelopak berwarna putih atau merah jambu. Buahnya berbentuk pipih berukuran di sekitar 3 mm dan kelihatan seperti biji cili. Artikel subuh Selasa ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi tanaman pegaga berdasarkan pengalaman dan tinjauan dibeberapa lokasi penanaman dan membuat rujukkan teknikal.

Daripada beberapa rujukkan mendapati, terdapat 3 jenis pegaga yang popular ditanam  iaitu Centella asiatica, Merremia emarginata dan Hydrocotyle spp. Spesies C. asiatica lebih dikenali kerana dapat mengubati berbagai-bagai jenis penyakit. Daripada tinjauan di beberapa lokasi , diantara kultivar yang popular di negara ini ialah pegaga Nyonya, pegaga Kampung dan pegaga Salad. Di Malaysia, pegaga amat popular di kalangan tiga kaum utama negara ini iaitu Melayu, Cina dan India. Bagi kaum Melayu, ia di makan secara segar sebagai ulam, bagi kaum Cina digunakan sebagai minuman penyejuk badan, manakala bagi kaum India, digunakan sebagai tonik kecerdasan minda. Di Madagascar pegaga di keringkan, di kisar dan digunakan untuk merawat penyakit kusta, asma, siplis, bronkitis dan luka-luka kulit. Pada masa kini pegaga banyak digunakan sebagai ramuan dalam penyediaan ubat-ubatan dan kosmetik di negara-negara Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun. 

Penanaman Pegaga amat mudah dilaksanakan asalkan kita mempunyai ilmu pengetahuan yang betul, tepat dan sesuai. Lazimnya saya dapati yang pegaga boleh hidup dikebanyakan jenis tanah asalkan tanah itu tidak terlalu berpasir atau terlalu liat. Tanah yang gembur adalah lebih baik untuk memudahkan kerja-kerja memungut hasil. Tanaman ini boleh di tanam di kawasan rata, beralun atau berombak dengan kecerunan tidak melebihi 12 darjah. Kemasaman tanah di sekitar pH 4.5–6.0 dengan CEC tanah 20–40 meq. Pada amnya pegaga memerlukan jumlah hujan yang banyak disekitar 2,000–3,000 mm setahun. Sehubungan itu, pegaga tidak sesuai ditanam di kawasan yang musim keringnya melebihi 2 bulan. Penanaman di kawasan seperti ini memerlukan kemudahan pengairan. Namun begitu, pada musim hujan lebat, tanaman ini mudah diserang penyakit reput akar. Penyediaan bahan tanaman dan penanaman di ladang Bahan tanaman biasanya didapatkan daripada batang-batang tua yang mempunyai akar, tangkai dan daun, walaupun pegaga mempunyai biji. Bahan tanaman bagi Pegaga Nyonya disediakan secara memecahkan perdu tanaman yang mengandungi 8–10 anak pokok. Ia boleh terus di tanam di ladang tanpa memerlukan batas semaian. Sebelum penanaman, batasbatas tanaman disediakan sama ada secara manual atau menggunakan bajak putar (rotor ridger).Lebar permukaan atas batas disyorkan antara 1.0–1.2 m. Panjang batas bolehlah dibuat mengikut keperluan dan keluasan ladang. Jarak tanaman yang sesuai ialah 20 cm x 20 cm yang memberikan kepadatan 125,000 pokok sehektar. Seeloknya penanaman dilakukan pada musim hujan untuk mangambil faedah bekalan air hujan untuk pertumbuhan tanaman.

Pengurusan tanaman bagi pegaga, seperti mana tanaman lain, memerlukan air yang mencukupi untuk pertumbuhan dan hasil yang baik. Oleh kerana Pegaga mempunyai akar yang cetek, pengairan amat kritikal dalam masa 2 minggu pertama selepas di tanam ke ladang. Ia perlu disiram setiap hari sekiranya tiada hujan. Siraman boleh dikurangkan kepada 2–3 hari sekali selepas 2 minggu. Sistem pengairan renjis berputar mikro adalah sesuai untuk tanaman pegaga. Di dalam pengawalan rumpai, kawasan tanaman disyor disembur dengan racun pracambah daripada jenis yang sesuai untuk mencegah biji benih rumpai daripada bercambah selepas penanaman dilakukan. Kaedah ini boleh menghalang rumpai tumbuh selama 2–3 minggu dan rumpai yang tumbuh selepas itu perlu dicabut secara manual. Sebanyak 3–4 pusingan merumput secara manual biasanya mencukupi sebelum tanaman pegaga menutupi keseluruhan batas. Sungkupan plastik atau jerami/lalang boleh juga digunakan dan ia dapat mengawal rumpai dengan berkesan di peringkat awal tanaman. Namun begitu, sistem pengairan sesuai perlu digunakan apabila sungkupan digunakan. Umpamanya, sistem pengairan sprinkler tidak sesuai apabila tanaman disungkup dengan sungkupan plastik. Pembajaan pegaga boleh di lakukan dengan menggunakan baja organik atau kombinasi baja organik dan tak organik. Pembajaan boleh dilakukan dengan menggunakan baja najis ayam yang telah reput 100% atau bersama baja berasaskan organik yang di perkayakan (Complehumus 8-8-8-3) atau baja NPK (15:15:15). Baja biasanya diberi 2–5 hari sebelum menanam sebagai baja asas dan diikuti 3-4 minggu san 7 minggu selepas menanam. Pembajaan untuk tanaman ratun boleh dilakukan dengan menggunakan kadar yang sama.

Pada amnya tanaman pegaga kurang mengalami serangan musuh perosak dan penyakit yang serius sehingga kini. Walau bagaimanapun sekiranya keadaan kawasan terlalu lembap dan panas memungkinkan berlaku serangan penyakit seperti penyakit layu bakteria yang di sebabkan oleh Ralstonia solanacearum dan penyakit reput akar oleh Sclerotia spPokok yang diserang penyakit layu bakteria perlu dikawal dengan cara mencabut serta memusnahkan pokok-pokok itu untuk mengelakkan perebakan. Penyakit reput akar boleh dikawal dengan menggunakan semburan racun kulat yang mengandungi benomyl. Serangga perosak yang biasa menyerang pegaga ialah lelompat daun (planthopper) dan lalat putih (white flies). Serangga-serangga ini boleh dikawal dengan menggunakan racun serangga seperti dariapda jenis yang mengandungi imidapcloprid. 

Penuaian hasil pegaga lazimnya dibuat pada musim utama bagi kultivar Nyonya boleh dilakukan pada umur 80–90 hari selepas di tanam di ladang dan penuaian seterusnya daripada tanaman ratun ialah 50–60 hari selepas tuaian sebelumnya. Keseluruhan pokok dicabut sebagai hasil. Tuaian hanya dilakukan untuk 60–70% daripada keseluruhan populasi tanaman. Baki 30–40% yang tidak dituai dibiarkan tumbuh sebagai bahan tanaman untuk tanman ratun bagi musim seterusnya. Kebiasaannya keseluruhan batas akan dipenuhi kembali dengan pertumbuhan baru 3–4 minggu selepas dituai. Sebanyak 6 kali penuaian (hasil utama dan 5 kali ratun) boleh dilakukan dalam tempoh setahun dari tarikh penanaman dilakukan. Pengeluaran hasil basah pegaga boleh mencapai sehingga 25.6 t/ha, bergantung kepada keadaan cuaca. Hsil akan terjesas sekiranya keadaan cuaca terlalu kering dan tidak mendapat bekalan air yang mencukupi. Purata potensi hasil basah pegaga kultivar Nyonya bagi hasil utama dan hasil dari lima kali ratun adalah 20.0 t/ha. Pengendalian lepas tuai bagi tanaman pegaga yang telah dituai akan dibawa ke pusat pengumpulan di mana ianya akan dibersihkan dengan air bersih (air paip). Bagi hasil tuaian untuk kegunaan segar sama ada untuk membuat jus minuman atau dijual di pasar, ianya akan digred untuk memastikan hanya yang segar dan berkualiti sahaja dipilih untuk dipasarkan. Pegaga yang dituai untuk menghasilkan produk seperti teh herba atau untuk ekstraksi bahan aktif, setelah dibersihkan ia akan dikeringkan di dalam rumah pengeringan pada suhu 40 darjah selsius untuk mengekalkan kualiti dan mengelakkan kerosakan.

PILIH HERBA....TANAM PEGAGA....
BENIH DIPOTONG...JENIS ASIATICA...
CEPAT BERHASIL...PERLU DIJAGA...
KHASIAT PASTI... ULAM JENIS HERBA...

By,
M Anem
Jalan Istana
Bandar Melaka
Bukit Beruang, Melaka,
Malaysia
(11 Rejab 1434H)

No comments: