Sunday, February 3, 2013

SUHU DAN BUAH TROPIKA


SUHU (Temperature) merupakan satu keperluan didalam pertumbuhan pokok buah-buahan khususnya untuk merangsang pengeluaran bunga, daun dan buah. Suhu dikawasan tropika mempengaruhi industri tanaman buah-buahan terutama beberapa jenis buah yang diusahakan bertaraf komersil seperti betik, pisang, mangga, nenas dan beberapa jenis lagi. Kawasan tanah rendah dan tanah tinggi disesuatu negara mempunyai kadar suhu yang berbeza yang mana ia hanya sesuai untuk beberapa jenis buah tertentu sahaja. Keadaan disekeliling kawasan dusun juga menentukan jenis buah-buahan yang sesuai ditanam mengikut musim atau kalendar buah-buahan. Merujuk kepada buku terbitan CABI (2011) yang saya baca, suhu banyak bergantung juga kepada proses evapotranspirasi, pergerakan tiupan angin dan juga kelembapan. Pada tahap suhu bacaan tertentu, ianya akan mengalakkan pertumbuhan beberapa jenis kulat, serangga atau patogen perosak tanaman buah-buahan. Keadaan seperti ini akan menyebabkan berlakunya kemungkinan serangan perosak yang menyebabkan menurunnya kualiti hasil ladang buah-buahan atau mampu musbahkan pokok. Sesetengah buah tropika seperti nenas, pisang, jambu batu, betik dan nona adalah natif atau berasal dari kawasan panas lembap tropika (tanah pamah atau tanah rendah). Setengah buah lain seperti markisa, avocado, cherimoya dan lichi pula berasal dari kawasan tanah sejuk sub-tropika. Artikel malam ini saya menulis mengenai tahap ketahanan beberapa jenis buah-buahan tropika dalam "Anim Agro Technology" daripada kajian oleh Watson and Moncur, 1985 didalam buku tersebut untuk dijadikan rujukkan.  


                                  Disediakan oleh:
                                   petaksemai.blogspot.com


Suhu beberapa jenis buah berbeza ketahanannya kepada suhu sejuk dimana buah Pisang (Musa spp) masih bertahan kepada suhu 8 celcius tetapi paling baik jika suhu melebihi dari 16 celcius seperti di Malaysia (Lihat Jadual diatas). Perkara ini sama dengan buah Sukun (Artocarpus artilis) yang perlukan suhu melebihi 16 Celsius untu tumbuh dengan baik tetapi ia merupakan pokok paling tidak tahan dengan suhu sejuk dibawah 14 celcius. Belimbing (Averrhoa carambola) adalah buah yang banyak ditanam di Malaysia tetapi ia masih boleh 'survive' pada suhu 6 - 8 celsius (mungkin tidak berbuah seperti jenis yang kita tanam). Pokok Cempedak (Artocarpus chempeden) juga merupakan jenis tumbuhan yang tidak tahan dengan suhu rendah dan paling sesuai jika suhu keliling melebihi 16 celsius. Bagi buah Acerolla yang kita tidak berapa kenal dan banyak tumbuh di Amerika Selatan (Lihat foto sebelah) ia juga sesuai tumbuh pada suhu lebih 14 celsius.



                                   Disediakan oleh:
                                   petaksemai.blogspot.com


Jadual diatas menunjukkan buah durian sesuai tumbuh dikawasan yang suhunya lebih dari 18 celsius dan pokok ini akan terencat pada suhu 14 - 16 celsius. Maknanya pokok Durian (Durio zibethinus) kurang sesuai dibanyak negara kawasan sub-tropika. Buah durian juga dikongsi dengan Buah Duku (Lansium domesticum) dan langsat yang memerlukan suhu paling sesuai pada lebih 18 celsius. Bagaimana pun kajian tersebut menyatakan pokok Jambu batu (Psidium guajava) boleh bertahan sehingga suhu serendah 4 - 8 celsius. Keseseuaian tanaman nangka bagaimana pun paling baik pada suhu melebihi 14 celcius.    


                                   Disediakan oleh:
                                   petaksemai.blogspot.com


Tanaman longan (Dimocarpus longan) dan Laichi (Litchi sinensis) merupakan tanaman buah yang berasal dari kawasan sejuk sub-tropika dan bertahan sehingga suhu sejuk 4 - 6 celsius. Tanaman ini kini banyak ditanam di China dan Thailand (Utara) yang menghasilkan kuantiti hasil tinggi. Bagaimana pun laporan tersebut menyatakan suhu melebihi 16 celsius adalah palin baik untuk laichi. Semasa melawat Vietnam pada tahun 2010, saya dapati tanaman buah laici ditebing Sungai Mekong amat subur sekali walau pun mempunyai kelembapan yang tinggi. Mangga (Mangifera indica) bagaimana pun merupakan tanaman yang paling lebar jurang ketahanan pada suhu daripada serendah 6 -8 celsius kepada semaksima lebih dari 12 celsius untuk pertumbuhan optima. Mangga banyak ditanam di India dan Australia serta beberapa negara Amerika Selatan yang lain dan berprestasi sangat baik. Tanaman Betik (Carica papaya)  juga merupakan jenis tanaman buah tropika yang tidak tahan pada suhu rendah dibawah 8 Celsius.


                                   Disediakan oleh:
                                   petaksemai.blogspot.com


Tanaman Nenas (Ananas cosmossus)  merupakan tanaman yang agak tahan dengan suhu agak sejuk walau pun ianya didapati akan memberikan prestasi cemerlang jika ditanam pada kawasan suhu melebihi 10 celsius (Rujuk jadual diatas). Tanaman Rambutan (Nephellium lappaceum) dan Ciku (Achras zapota) hampir serupa iaitu akan tumbuh dan berprestasi baik jika dikomersilkan pada suhu melebihi 14 celsius. Pokok Durian Belanda (Annona muricata) juga merupakan sejanis pokok buah-buahan yang perlukan suhu panas melebihi 16 celsius untu k prestasi pertumbuhan yang optima tetapi tidak boleh adapt dengan suhu dibawah 6-10 celsius. Tanaman durian belanda diMalaysia yang saya tahu kebanyakannya dijalankan secara kecil-kecilan di Malaysia dan jarang sekali ditanam monokrop secara luas. 

Ini bermakna jika kita melihat semua jadual diatas, banyak tanaman buah-buahan tropika sebenarnya sangat sesuai ditanam di Malaysia. Kita mempunyai hujan yang banyak, cahaya matahari yang bersinar sepanjang tahun dan tanah yang subur serta infrastruktur yang sangat baik. Suhu di negara kita juga sesuai untuk menanam banyak jenis buah-buahan yang bermusim dan tidak bermusim. Data yang dipaparkan ini sedikit sebanyak memberitahu kita yang beberapa jenis buah-buahan memerlukan keadaan suhu dalam julat tertentu untuk berprestasi tinggi. Apa pun saya fikir teknologi dan pengurusan memainkan peranan penting didalam memajukan industri buah-buahan dalam negara.

BUAH TROPIKA... BANYAK JENISNYA...
SUHU TERENDAH... ADA KESANNYA...
PERLU DIKETAHUI...KELUAR BUNGA...
SESUAIKAN VARIETI... PILIH DIMANA...

By,
M Anem
Precint 11,
Putrajaya,
WP Persekutuan,
Malaysia.
(24 Januari 2013)

No comments: