Sunday, February 3, 2013

KELAPA - VARIETI DI MALAYSIA


KELAPA (Cocos nucifera) merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Arecaceae (dulu dinamakan keluarga Palmae) yang tumbuh di Malaysia dan dianggap sebagai tanaman penting. Ia juga merupakan satu jenis tanaman atau aktiviti pertanian yang dilaksanakan oleh ramai petani tradisional di Malaysia semenjak berkurun dahulu. Sejarah tanaman kelapa bermula kebanyakannya untuk kegunaan sendiri dimana kawasan utama penanaman adalah dikawasan persisir pantai dan sebagai tanaman keliling rumah. Pada masa ini terdapat seluas 110,000 hektar kawasan tanaman kelapa di Malaysia (Perangkaan Jabatan Pertanian 2011) dengan pengeluaran sebanyak 527,422 metrik tan kelapa. Keluasan ini adalah berkurangan jika dibandingkan dengan keluasan tanaman kelapa pada tahun 2005 seluas 121,011 hektar, tahun 2007 (119,701 ha) dan menurun lagi kepada tahun 2009 (100,362 hektar). Penurunan luas kawasan penanaman kelapa kerana ramai petani tradisional telah menukarkan tanaman kelapa kepada tanaman kelapa sawit yang lebih mudah diuruskan dan menguntungkan. Beberapa estet swasta yang dahulu menanam kelapa seperti di Perak, Melaka dan Johor juga telah menukar tanaman kelapa kepada tanaman kelapa sawit. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa varieti tanaman kelapa di Malaysia berdasarkan laporan daripada sumber rasmi dan pengalaman penulis sendiri.

Terdapat sebanyak 12 jenis varieti kelapa yang ada dan telah dikenalpasti ditanam di Malaysia. Varieti kelapa tersebut masih ada ditanam atau pun sebahagian lagi mungkin sukar untuk kita mencari baka kerana tidak tidak ditanam lagi. Saya berpeluang melihat dan kenal beberapa varieti kelapa popular semasa membuat lawatan kebeberapa stesyen pertanian dan di kebun petani. Kelapa yang dibincangkan dalam artikel ini adalah jenis yang ditanam untuk tujuan penghasilan buah kelapa (nuts) dimana tidak dimasukkan jenis kelapa untuk pokok hiasan (ornamental tree). Varieti-varieti kelapa yang terdapat di Malaysia ialah Kelapa Tinggi Malaya (Malayan Tall), Kelapa Rendah Merah Malaya (Malayan Red Dwarf, MRD), Kelapa Rendah Kuning Malaya (Malayan Yellow Dwarf, MYD), Kelapa Rendah Hijau Malaya (Malayan Green Dwarf, MGD), Kelapa MAWA (Malayan Dwarf X West Afrcan Tall), Kelapa MATAG (MYD/MRD X Tagnanan Tall)Kelapa Tinggi Afrika Barat,  Kelapa Tinggi Tagnanan, Kelapa Tinggi Rennel, Kelapa Wangi (Aromatic Dwarf)Kelapa MAREN (MYD. MRD X Rennel Tall) dan Kelapa MAMA (MYD/ MRD X Malayan Tall). Kita akan membincangkan varieti kelapa berdasarkan maklumat dari buku, pengalaman penulis dan rujukkan dari beberapa lamanweb.

Diantara 12 jenis kelapa tersebut hanya beberapa jenis sahaja yang popular ditanam di Malaysia dan di komersilkan. Varieti Kelapa Tinggi Malaya merupakan paling popular semenjak dulu kala kerana ia tumbuhan semulajadi dan natif di negara kita. Kelapa ini tumbuh banyak dipersisir pantai, kawasan pulau-pulau dan di tanam dikeliling kampong tradsional semenjak dahulu lagi. Kelapa ini juga yang dijadikan tanaman pemulihan kawasan kelapa dibawah Rancangan Pemulihan Semula Kawasan Kelapa (RPSKK) sekitar tahun 1970'an hingga 1980'an oleh kerajaan melalui Jabatan Pertanian. Projek ini berjaya memulihkan beribu-ribu hektar tanaman kelapa tradisional dengan tanaman kelapa secara bersistem yang kita nampak sekarang di sekitar kawasan pesisir pantai di Johor, Perak dan Selangor serta negeri-negeri lain diseluruh negara. Kelapa ini mempunyai potensi hasil sederhana dan mudah ditanam serta tahan lama dengan pengurusan yang baik.


Pada masa ini kelapa varieti MATAG merupakan varieti yang paling popular di Malaysia sehingga bekalan benih tidak mencukupi. Kelapa Matag merupakan jenis kelapa Hibrid diantara Varieti Malayan Yellow Dwarf (MYD) atau Malayan Red Dwarf (MRD) dengan varieti Tagnanan (Debunga jantan). Permintaan varieti Matag begitu tinggi sehingga didakwa mampu meningkatkan produktiviti kelapa 3-4 kali ganda daripada kelapa varieti Malayan Tall sedia ada dengan pengurusan yang baik. Harga benih kelapa Matag dahulu semasa diperkenalkan pertengahan 1990'an secara agressif oleh Jabatan Pertanian cuma RM 6.50 sepokok. Kini harga sepokok benih kelapa Matag telah pun mencecah RM 22.00 - RM 25.00 sepokok dipasaran terbuka. Memang agak sukar untuk mendapatkan bekalan kelapa ini kerana hanya beberapa sumber sahaja yang boleh membekalkan kelapa Hibrid Matag. Pembekal tersebut adalah United Plantation Estate di Perak dan Stesyen Pengeluaran Benih Kelapa Jabatan Pertanian (Teluk Baru dan Pagoh). Kerja untuk menghasilkan kelapa Matag ini juga sukar dimana ia perlukan kemahiran tinggi serta bahan induk debunga (Tagnanan) dan Pokok Penerima (MYD/ MRD) yang matang untuk jalani peroses pendebungaan. Kejayaan setiap kali cuma sekitar 30 - 50% sahaja yang menjadi kelapa Matag tulin dimana selebihnya tidak mengikuti spesifikasi yang dikehendakki. 
BERSAMBUNG!


VARIETI KELAPA ... ADA 12 SEMUANYA...
KELAPA TINGGI MALAYA... NO 1 DUDUKNYA...
KELAPA MATAG... TINGGI PERMINTAANNYA...
KELAPA PANDAN... MACAM PANDAN BAUNYA...

By,
M Anem
Hotel Timothel
Mersing, Johor,
Malaysia
(18 RabiulAwal 1434H)

No comments: