Wednesday, November 9, 2011

RAHSIA MADU LEBAH

MADU LEBAH ASLI merupakan satu produk makanan yang telah dikenali semenjak beribu-ribu tahun dahulu yang dihasilkan oleh Lebah (Apis spp.) iaitu hasil pengumpulan nektar yang dikutip dari bunga-bungaan. MADU TIRUAN atau Madu Palsu pula adalah larutan yang menyerupai madu yang di buat tanpa pertolongan lebah atau menggunakan gula sebagai nektar. Pada pandangan kasar atau umumnya madu tiruan mempunyai warna sama dengan madu asli. Orang ramai atau orang awam sukar untuk membezakan diantara madu asli dan madu tiruan. Syarikat yang telah memproses dan mengeluarkan keterangan produk madu tiruannya seperti madu asli sukar untuk dikesan kerana mereka beroperasi dalam kepakaran yang khusus dalam menghasilkan madu jika tidak ada program pemantauan dari pihak berkuasa. Artikel kali ini saya akan bincang mengenai produk madu Asli dan Produk Madu Tiruan untuk bacaan umum.



Industri pengeluaran madu lebah asli telah beribu tahun diusahakan terutama dinegara-negara yang aktif seperti Australia, China dan beberapa negara yang beriklim sederhana. Bagaimana pun selari dengan industri itu madu tiruan atau madu palsu juga telah dikeluarkan oleh pihak tertentu. Teknologi untuk membuat madu tiruan adalah agak mudah iaitu dengan cara mencampurkan komponen glukosa dengan gula pasir, buah, flavour serta bahan-bahan pewarna dan bahan-bahan lain didalam makmal. Kajian menunjukkan madu tiruan ini agak mudah untuk dikenali dengan membuat pemeriksaan di makmal dengan menjalankan analisia kimia. Kajian menunjukkan kandungan HMF (5 hydroxyl-methyl furfural) dengan jumlah maksimum 3mg/100gram serta aktiviti enzim diastase pada kadar minima 5 serta kandungan Kalium (K) dan Natrium (Na) dalam madu asli sekitar 4.0 sedangkan kandungannya dalam madu tiruan atau madu palsu cuma 0.005-0.1 iaitu jauh sangat rendah.


Cara untuk menguji kadar keaslian madu memang tidak mudah di samping kos untuk buat analisa makmal juga agak mahal. Keperluan peralatan yang canggih untuk mengesan sama ada ujud atau tidaknya campuran dengan gula lainnya di dalam madu menjadikan ianya sukar dikesan. Walaupun khasiat madu asli sebenar sudah diketahui umum manfaatnya bagi kesehatan manusia tetapi mereka yang tidak bertanggungjawab dan ingin mencari keuntungan segera akan terus bergiat aktif. Kita pernah dengar beberapa serbuan dan tangkapan mengenai pembuat madu tiruan di sekitar Lembah Kelang beberapa tahun dulu. Hanya dari laporan pengguna dan orang awam sahaja yang pihak berkuasa dapat bertindak. Di negara jiran ada pengusaha yang membuat madu tiruan dengan melakukan campuran dengan gula tebu atau gula merah (disebut juga gula aren). Rasa manis yang ada pada madu asli dan madu campuran ini susah untuk orang ramai dapat membezakannya dengan cara merasanya dengan lidah.


Pakar dalam bidang makanan khususnya mereka yang biasa dengan madu asli sahaja yang mampu membezakan antara madu asli dengan madu yang palsu. Salah satu cara menguji yang paling mudah dan praktikal adalah dengan menggunakan pH meter. Alat ini akan mengukur kandungan asid dalam bahan ujian yang mana alat ini mudah didapati dari kedai menjual peralatan sains. Madu Tiruan atau madu palsu biasanya memiliki pH 2.4 - pH3.3 atau pun pada bacaan di bawah angka pH3.3 sedangkan madu asli mempunyai pH 3.4- pH4.5. Ini bermakna madu tiruan adalah mengandungi kadar keasidan lebih tinggi berbanding dengan madu asli. Ujian ini sangat mudah dijalankan dimana-mana dan bacaan mengenai tahap keasidan ini juga agak mudah difahami. Tetapi cara ini perlukan maklumat lain untuk mengesahkannya.


Madu Asli yang dihasilkan di negara kita Malaysia ada dua kategori iaitu Madu hasil lebah yang diternak yang dihasilkan oleh Lebah Keran (Apis cerana) dan Lebah Impot (Apis melifera) dan Madu Asli dari Hutan oleh Lebah Tualang (Apis dorsata). Saya terlibat dengan mengajar petani menternak lebah keran dan Lebah Impot di Johor dan Melaka terutama dikawasan ternakan berasaskan kebun kelapa, kawasan hutan bakau dan kawasan nenas serta dusun campuran melibatkan ramai pengusaha baru. Sumber madu ternakan lebah adalah dari nektar tumbuhan yang terdapat disekeliling haif dimana lebah diternak terutama pada musim banyak bunga (cuaca panas berpanjangan). Pengurusan koloni lebah perlu dibuat dengan baik pada musim tengkujuh dimana lebah tidak aktif dan nektar tidak banyak dihasilkan pada musim tersebut. Kualiti madu lebah asli sangat berkait dengan sumber nektar dari segi warna madu, rasa madu, kemanisan, kepekatan dan penerimaan oleh pengguna.


Pemerhatian saya mendapatu bahawa Madu Asli dari kutipan di hutan atau dikenali sebagai Madu Lebah Tualang adalah lebih baik kerana sumber nektar bunganya dihisap dari berbagai jenis pokok yang terdapat dalam hutan oleh Lebah Tualang yang lebuh bersaiz besar dan mampu terbang jauh. Dakwaan dan kajian kumpulan pakar sains mendapati bahawa madu hutan ini lebih baik kerana lebih banyak mengandungi nutrien yang terdiri dari mineral dan vitamin. Madu Lebah Tualang adalah jenis terbaik setakat ini kerana madu jenis ini tidak akan membeku walaupun diletakkan di dalam peti sejuk (freezer) selama berbulan-bulan karena kadar airnya di bawah 20%.

Kajian saya mendapati bahawa kedua-dua jenis madu ternak dan madu hutan mempunyai kelemahan tersendiri kecuali madu impot yang dijual dipasaraya yang telah menjalani proses pengilangan mengikut piawaian antarabangsa. Jika madu asli dikutip pada musim hujan maka kualiti madu akan banyak mengandungi air hujan atau sangat cair mengakibatkan kemasaman atau keasidan madu meningkat kerana kandungan asir hujan yang bersifat asidik. Madu yang mengandungi air dan cair ini mudah teroksidan yang akan menyebabkan berlaku proses penapaian (fermentation) dan akhirnya madu akan manjadi masam dan berbuih. Apabila madu ini berbuih kita akan dapati semut pun tidak mahu menghampiri kerana rasanya yang masam-masam manis. Bila madu jenis ini dimasukkan ke dalam freezer akan mudah beku walaupun ianya dari madu asli.
Bersambung pada artikel akan datang...

MADU LEBAH...CARI YANG ASLI....
MADU TIRUAN..JANGAN DIBELI...
MENTERNAK LEBAH...CARI TEKNOLOGI...
MENGUJI MADU...PASTIKAN TERPERINCI..

Related Article:
1. Madu Lebah (Klik disini)
2. Bee Keeping Equipments (Click Here)
3. Lebah Madu (Klik disini)
4. Nektar (Klik disini)
5. Pollen - Debunga (Klik disini)

By,
M Anem
Pontian, Johor,
Malaysia
(14 Zulhijjah 1432H)

No comments: