Sunday, November 13, 2011

BACANG

BACANG (Mangifera foetida) adalah sejenis pokok buah jenis mangga keluarga Anacardiaceae dari Genus Mangifera yang terdapat di Malaysia. Buah Bacang merupakan buah yang eksotik yang ditanam dikawasan kampong secara dusun bercampur dengan pokok buah-buahan lain seperti durian, langsat, duku, kelapa, mangga, rambai dan sebagainya. Tumbuhan ini dipercayai berasal dari Malaysia dan negara jiran lain seperti Indonesia. Negara lain yang ada pokok bacang adalah Thailand, Myanmar, Singapura, Kemboja dan Vietnam. Buah Bacang (Mangifera foetida) seperti juga Buah Kuini (Mangifera odorata) mempunyai beberapa persamaan terutama dari segi bentuk, rasa, aroma dan struktur isinya tetapi hanya mereka yang kenal sahaja dapat membezakannya. Saya lebih suka makan buah kuini daripada buah bacang kerana kandungan serat dalam bacang lebih keras berbanding dengan kuini. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tajuk teknologi buah bacang sambil menonton perlawanan Bolasepak Sukan SEA antara Indonesia dan Thailand sebagai bahan rujukan anda.


Pokok Bacang adalah jenis pokok buah saka yang tumbuh menegak dengan ketinggian 15-25 meter serta mampu tumbuh sehingga 30 meter dan bentuk pokoknya adalan bercabang dan rendang. Batangnya merupakan jenis kayu keras yang mempunyai ukurlilit batang 70-150 cm mempunyai kulit tebal berwarna coklat dan mempunyai alur dibahagian pangkal pokok. Kelainan pada pokok bacang adalah kerana semua bahagian pokok dari batang, daun, dahan dan buahnya akan mengeluarkan cecair yang apabila terkena kulit akan rasa gatal-gatal terutama dikawasan sensitif. Lendir yang keluar ini mula-mula jernih kemudian akan jadi kemerahan apabila teroksidan dengan udara.


Daun pokok bacang adalah agak keras atau kaku seperti bahagian kulit batang dan berwarna hijau gelap lonjong tirus dengan 2-8 cm lebar dan 9-15 cm panjang. Daun yang tebal dan keras ini seakan berkilat dibahagian atas. Daun bacang yang tua akan gugur sendiri apabila cukup masa. Bunga bacang didapati banyak dikeluarkan dalam tangkai panjang seperti piramid sehingga 30-40 cm dan bunga keluar dari tangkai tersebut. Bunga yang berwarna putih kemerahan ini mempunyai 5 kelopak yang berukuran 4-5 mm lazimnya disebungakan oleh serangga seperti langgau, semut, kerengga dan juga angin. Pengeluaran bunga dari hujung tangkai daun dengan banyak pada bulan Mac- April setiap tahun di Malaysia iaitu selepas musim panas dan agak kemarau. 


Buah Bacang adalah berbentuk bulat lonjong dengan kulit tebal dan ada bintik-bintik lentisel berwarna coklat. Selalunya keseluruhan buah muda berwarna hijau dan buah matang berwarna hijau kekuningan dan kadang-kadang ada kesan lendir coklat gelap akibat luka. Saiz buah bacang bergantung kepada kesuburan pokok iaitu lingkungan 8-12 cm ukurlilit dan 10-16 cm panjang. Buah yang cukup masak ranum akan gugur sendiri dan dengan kulitnya yang keras dan tebal ianya tidak rosak walau pun jatuh dari ketinggian lebih 10 meter diatan daun dan semak samun sebagai kusyen. Kita kutip sahaja buah yang gugur tersebut dari atas tanah. Buah yang masak mempunyai isi berwarna kuning oren dan  mengeluarkan aroma atau bau bacang yang sangat kuat. Kalau disimpan dalam rumah maka semua kawasan keliling dan jiran tetangga akan berbau kuat buah bacang. 


Buah bacang juga menghasilkan cecair yang jika terkena bibir akan menyebabkan rasa gatal-gatal dan boleh menyebabkan bibir terluka kerana getah tersebut. Pastikan apabila hendak makan buah bacang di buang kulit dengan bersih dan kemudian dibasuh sehingga bersih. Isi buah yang berwarna kuning jingga ini adalah mempunyai rasa manis masam, banyak serat atau urat-urat sari yang akan terselit di celah gigi jika di gigit. Urat-urat ari melekat pada biji bacang ditengahnya yang agak keras dan berukuran 10-12 cm panjang dan berbentuk leper. Masaalah utama buah bacang adalah kerana sering ujudnya 'kumbang mangga' didalamnya yang merosakkan isinya. Ulat Pengorek Buah dan Kumbang dalam Buah bacang boleh dikawal dengan racun serangga sistemik semasa di peringkat vegetatif seperti Furadan 3G atau lain2 jenis racun. Elakan guna racun tersebut semasa berbunga dan mengutip hasil.


Penanaman pokok bacang adalah menggunakan biji benih yang disemai dalam polibeg. Klon Bacang kini belum ada yang didaftarkan sehingga di Malaysia dan yang ada cuma Bacang Tempatan. Penulis menganggarkan terdapat seluas 150-200 hektar tanaman bacang di Malaysia pada tahun 2011 terutama dikawasan keliling rumah kampong tradisional. Jarak penanaman bacang yang disyorkan adalah 12m x 12m atau lebih jauh dari itu. Lubang penanaman disediakan dahulu dan diisikan dengan baja asas dan baja organik.  Penggunaan anakbenih bacang yang di cantum akan menghasilkan buah lebih cepat dari pokok ditanam dari biji. Jalankan kerja penyiraman sehingga pokok membesar. Kawal serangan Kumbang Cockchafer dan Belalang yang makan pucuk daun muda dengan racun serangga.


Pembajaan dengan baja organik dan baja kimia NPK 12:12:17:2 TE apabila pokok telah sesuai untuk berbuah dengan kadar 1.2-1.5 kilogram sepokok sebanyak 3 kali aplikasi. Serangan ulat batang dan ulat pengorek buah perlu dikawal dengan racun serangga jenis sistemik dan mengikut arahan pada label. Kebanyakan buah bacang yang ditanam di Malaysia mungkin boleh dikategorikan sebagai 'Buah Bacang Organik' kerana tidak pernah menggunakan bahan kimia atau baja kimia atau ada yang amalkan sistem penanaman 'Tanam, Tinggal dan Tuai - 3T'. Agak sukar untuk mendapatkan bekalan buah bacang kerana buah tersebut bermusim (sering keluar hasil bacang pada Bulan Julai - September) setiap tahun. Kajian yang saya buat di Muar, Melaka dan Banting mendapati harga runcit Bacang sekitar RM 10.00 - RM 15.00 sekilogram atau selonggok RM 5.00  mengandungi 2-5 biji bacang. Buah ini amat saya suka makan kerana baunya yang wangi, rasanya yang sangat manis (sehingga lebih dari 20 darjah brix) dan ianya adalah eksotik. Kajian dan penanaman secara sistematik pokok bacang mungkin perlu dijalankan oleh pihak tertentu dan perlu ada galakan penanaman kepada usahawan yang berminat.


TANAM BERPANCANG...BUAH BACANG...
BUAH KUINI...MEMANG LAIN TU BANG.... 
RASANYA MANIS...BAUNYA MENGEMBANG...
SUKAR DAPAT..KECUALI BALIK KAMPONG...


Related articles:
1. Kuini (Klik disini)
2. Mangga Chok Anan (Klik disini)
3. Mangga dan Cuaca (Klik disini)
4. Mangga dalam Pot (Klik disini)
5. Klon Mangga di Malaysia (Klik disini).   


By,
M Anem
Senior Agrologist,
Kg Bukit Changgang, 
Banting, Selangor, 
Malaysia.
(18 Zulhijjah 14232H)

No comments: