AIBIKA (Abelmoschus manihot synonymus Hisbiscus manihot) merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga MALVACEAE yang terdapat di kawasan Asia Tenggara tetapi agak kurang di kenali di Malaysia. Aibika adalah seperti pokok kacang bendi atau Okra tetapi buahnya lebih kecil dan banyak dimakan sebagai sayuran dari bahagian pucuk dan batang muda. Nama lain bagi tumbuhan ini adalah seperti Aibika ; Sunset Hibiscus (English), Gedi ; degi (Indonesia), Lagikuway ; Barakue ; Glikway (Filipina) dan Po-Fai (Thailand). Tumbuhan ini dipercayai berasal dari kawasan Asia Tenggara dan dilaporkan banyak di tanam di Indonesia dan Papua New Guinea. Artikel ini saya membincangkan teknologi tumbuhan Aibika berdasarkan pembacaan dari beberapa buku dan kajian persendirian penulis mengenai tumbuhan ini serta maklumat tambahan dari laman sesawang.
Mendengar nama "Aibika" saya mulanya terfikir bunyinya macam sejenis tumbuhan pokok besar dari Afrika tetapi rupanya sama dengan pokok kacang bendi. Tumbuhan ini banyak di tanam di kawasan Irian Jaya, Papua New Guinea dan Kepulauan Jawa yang mana daunnya digunakan sebagai sayuran dengan mencelur dalam air panas. Daun yang dicelur adalah agak berlendir. Orang Jawa menggelarkan tanaman ini sebagai "Pokok ubi tanpa umbisi". Tidak ada rekod rasmi mengenai keluasan penanaman, pengeluaran dan harga bagi produk tanaman ini kerana jarang di usahakan secara komersial dan ada yang ditanam secara kecil-kecilan atau untuk tanaman hiasan (ornamental) sahaja.
Tumbuhan Aibika adalah pokok renek yang tumbuh menegak 1-3 meter tinggi dengan batang dan banyak cabang yang berkayu sederhana lembut. Akarnya merupakan akar serabut yang kedalamannya hanya 30-40 cm dalam tanah. Daun berbentuk mudah, berwarna hijau terang ke hijau gelap, lanceolate 5-12 cm panjang dan mempunyai 3-7 jejari. Bunganya berwarna kuning dengan ukuran 7-15 cm garispusat, 5 kelopak berukuran 3-8 cm garispusat agak kemerahan coklat dibahagian tengah bunga. Buah aibika berbentuk kapsul 'oblong ovoid' yang berukuran 2 cm x 4 cm dengan lima segi. Bijinya bulat dan berwarna hitam berukuran 204 mm garispusat.
Kajian di makmal mendapati setiap 100 gm tumbuhan aibika yang boleh di makan mengandungi sebanyak 90 g air, protin (4.1 g), Lemak (0.4 g), Serat (1 g), Kabohiderat (4 g) dan 150 KJ tenaga. Aibika juga menganduni Vitamin A (900 IU), Vitamin C (118 mg), Ca (580 mg), Fe (3 mg) dan telah di kenalpasti oleh World Health Organization (WHO) sebagai baik untuk makanan bayi. Bahagian pucuk muda dan daunnya tidak mengandungi serat langsung dan sangat lembut selepas di celur dengan air panas. Kajian mungkin boleh dijalankan mengenai tumbuhan ini di Malaysia untuk mengkomersialkan bagi makanan bayi-bayi di Malaysia.
Penanaman Aibika lazimnya menggunakan KERATAN walau pun boleh juga menggunakan biji benih. Keratan yang berukuran 40-50 cm diambil dari pokok dewasa yang sihat dan pastikan keratan tersebut mempunyai antara 3-4 matatunas atau 'nodes'. Keratan terus ditanam diatas batas atau kawasan tanah yang telah digemburkan dahulu. Tanah yang dipilih mesti dari tanah jenis lom berpasir, mempunyai saliran yang baik, tidak terlindung dan ada sumber air. Tanam keratan separuh dalam tanah dengan jarak tanaman 1 meter x 25-100 cm dalam barisan. Kepadatan tanaman adalah sebanyak 10,000 - 40,000 pokok sehektar bergantung kepada sistem tanaman. Keratan yang mati selepas 3 minggu penanaman perlu di cabut dan diganti keratan baru.
Kawalan rumpai sebaiknya dijalankan sebelum menanam dengan penggunaan racun pra-cambah atau kawalan secara kultura seperti membajak, membakar dan merotor tanah. Kawalan rumpai dari peringkat awal sangat penting kerana pokok aibika akan bersaing dengan rumpai yang akan menjejaskan pertumbuhannya. Sebaiknya tambahkan baja organan sebanyak 20-30 metrik tan sehektar semasa penyediaan tanah. Belum ada syor kadar pembajaan bagi tanaman ini tetapi pokok aibika sangat responsif dengan baja N yang akan akibatkan saiz daun membesar daan hasil yang lebih tinggi. Baja Nitrogen pada kadar 10 kg/ha sebulan atau 120 kg setahun sesuai diberikan terutama apabila pokok mula di kutip hasil. Tanaman aibika boleh ditanam secara intergrasi dengan tanaman lain.
Pemerhatian saintifik mendapati tidak ada musuh dan penyakit serious yaang menyerang tanaman aibika. bagaiman pun ada serangan Patah Tengkuk (Phythoptora nicotianne), Penyakit Bintik Daun (Cunninghamella spp), Kerekot Daun (Mungkin disebabkan oleh virus) dan juga Kulapok Berdebu ( Downy Mildew). Kawalan dengan mengamalkan kaedah amalan kultura dan jika mampu gunakan racun kimia. Tumbuhan ini seperti keluarga Malvaceae yang lain sangat disukai oleh serangga perosak seperti Ulat Gulong Daun (Sylepta derogata), Lelompat Daun (Anomis flava), Koya (Pseudaulacapsis pentagona), Kutu Merah Hitam (Parasaitheia nigra). Terdapat lain-lain serangga menyerang aibika seperti kumbang makan daun, ulat makan daun, belalang dan serangga pengsisap. Kawalan dengan kaedah kultura dan kimia.
Penuaian aibika boleh dijalankan selepas 80-90 hari selepas menanam. Kerja mengutip hasil dengan memotong bahagian pucuk pokok yang masih muda menggunakan pisau tajam dengan kekerapan setiap 4 minggi satu point. Bahagian pucuk yang masih lembut dengan sedikit daun dipotong, diikat dibersihkan dan di pasarkan segar. Penuaian boleh dijalankan untuk selama satu tahun sebelum pokok baru ditanam semula. Kekerapan memetik penting untuk pastikan lebih banyak cabang dibentuk setiap pokok. Pembacaan penulis mendapati anggaran hasil aibika lingkungan 5-15 kg sehektar tetapi beberapa petani yang memberikan baja dan memasang sistem pengairan sempurna mampu menghasilkan sebanyak 40 - 60 metrik tan sehektar setahun (hampir 4 kali ganda). Aibika lazimya dijual segar dan belum ada kajian untuk 'post-harvest' atau untuk diproses.
Tanaman Aibika kurang di kenali di Malaysia walau pun mungkin ada yang telah menanam pokok ini untuk tanaman hiasn tanpa di sedari. Mungkin selepas membaca blog ini ada yang akan berminat untuk mencuba menanam aibika sebagai tanaman keliling rumah sebagai hobi dan mendapat hasilnya. Dakwaan yang menyatakan pucuk tumbuhan ini sangat sesuai sebagai makanan bayu peru di menafaatkan. Kajian terhadap varieti tanaman ini yang berpotensi tinggi juga boleh dijalankan oleh pihak berkaitan.
NAMA AIBIKA....MACAM POKOK BENDI.....
TIDAK DI KENALI ...APA DAH JADI....
PUCUK DI MAKAN....HILANG SAKIT SENDI....
BACA ARTIKEL...BENIH MANA NAK CARI....
By,
M Anem
Shah alam
Selangor
Malaysia
No comments:
Post a Comment