Thursday, February 17, 2011

RUMPAI LAUT (Seaweed)

Rumpai Laut (Seaweed) adalah sejenis tumbuhan yang hidup dalam air masin dalam laut dikawasan yang mempunyai kesesuaian persekitaran semulajadi. Terdapat beratus-ratus spesis rumpailaut didalam laut dari yang jenis rumpailaut dikawasan bersuhu sejuk atau panas, kawasan air cetek atau laut dalam dengan berbagai warna dan bentuk. Malaysia antara negara yang mempunyai kawasan sesuai untuk tumbuhan rumpai laut terutama perairan di Sabah. Maklumat yang saya perolehi menunjukkan negara Indonesia adalah pengeluar rumpai laut terbesar didunia diikuti dengan negara Filipina dan beberapa negara Asia lain. Kerajaan Malaysia dalam pembentangan Bajet 2009 di parlimen telah menyebut bahawa industri rumpailaut akan dimajukan dan ditingkatkan lagi dibawah Program Ekonomi Berimpak Tinggi. Artikel ini saya akan berkongsi maklumat mengenai teknologi pengurusan rumpai laut jenis Euchema cottoni yang saya dapat maklumat dari negara Indonesia, Filipina dan membuat beberapa rujukkan lain iaitu buku dan laman sesawang.

Eucheuma (Foto kanan) adalah sejenis sepsis rumpai laut yang tumbuh liar dalam kelompok yang banyak terutamanya di negeri Sabah, Malaysia Timur. Ianya bleh didapati tumbuh dalam air yang tenang atau medium air yang bergerak perlahan. Kajian saintifik menunjukkan Eucheuma mengandungi bahan berguna yang boleh digunakan dalam proses asas bio-kemikal dan bio-teknologi. Teknologi memelihara dan membangunkan rumpai ini masih dibangunkan lagi untuk mendapatkan hasil yang tinggi dan kualiti yang terbaik. Saya ada melawat projek ini tidak lama dulu dan memang berpotensi untuk pergi lebuh jauh.


Antara jenis-jenis Rumpai Laut yang sesuai di komersialkan adalah seperti Eucheuma cottonii (Kiri) dan Euchuema spinosunm (Kanan) iaitu dua jenis runpai laut yang lazim ditanam pada masa kini di Malaysia dan kawasan di Asia Tenggara. Perbezaan antara kedua-dua jenis ini ialah Eucheuma spinosum mempunyai dahan yang seakan-akan berduri manakala Eucheuma cottonii tidak menpunyai dahan berduri. Rumpai laut adalah salah satu tumbuhan yang bernilai tinggi di bawah air laut atau beberapa kawasan sungai di dunia. Ianya adalah tumbuhan yang menarik dan berlainan dari jenis-jenis tumbuhan di laut. Marfologi dan taksonomi rumpailaut jenis ini boleh di baca daripada laman sesawang. Banyak maklumat mengenai teknologi ini di Malaysia yang belum di selongkar lagi.


Teknologi menanam rumpai laut jenis Euchema cottonii yang berwarna keemasan ini agak mudah iaitu dengan mengikat rumpun benih rumpailaut sebanyak 25 jalur pada tali dengan jarak 2 meter antara ikatan. Tali panjang yang ada 250 titik ikatan iaitu dalam kawasan air laut seluas 50m x 50m akan terdapat sebanyak 6,250 ikatan benih rumpailaut. Keperluan benih rumpailaut dianggarkan sebanyak 650 kg. Kawasan ini perlu di periksa selalu untuk mempastikan ikatan tidak terlepas dan membetulkan susunan tali kerana bercantum atau terlepas dari ikatan. Pemerhatian dan amalan yang dijalankan oleh petani rumpailaut di Indonesia lazimanya akan menuai awal dalam masa 30-35 hari lepas tanam. Pada masa ini biasanya untuk diambil bagi dijadikan benih untuk pembesaran projek atau dijual sebagai benih kepada orang lain. Kos yang utama peringkat awal untuk membeli anak benih rumpailaut.

Masa menuai terbaik ialah 45 hari lepas tanam dimana kandungan carrageenan masa tersebut adalah paling baik kualitinya. Carageenan adalah bahan terbaik untuk dibuat bahan pengental atau pembuatan gel seperti kita buat kueh agar-agar. Kaedah menuai adalah dengan mengutip rumpai dari dalam air dan kemudian di jemur diatas para ditempat panas selama 2-3 hari sehingga kandungan air tinggal 38% sahaja dan kandungan kekotoran cuma 3% sahaja. Maklunat yang saya dapati menunjukkan harga ladang rumpailaut kering tersebut dijual pada lingkungan RM 4.00 - RM 5.00 di kepulauan Indonesia sekilogram pada 2009 kini meningkat kepada sebanyak RM 8.00 - RM 10.00 sekilogram pada 2010 akibat permintaan tinggi daripada negara China. Di Sabah agaknya berapa sekilogram sekarang ?

Kawasan pantai laut yang mempunyai kadar kemasinan (salinity) lebih dari 30 ppm dengan air laut jernih amat baik untuk pertumbuhan rumpailaut. Faktur lain kesesuaian adalah seperti gelombang laut dan suhu air yang sesuai serta banyak mengandungi sumber makanan yang terdiri dari natrium dan posfat dalam air laut. Kajian saintis yang dijalankan mendapati kadar kemasinan dibawah 25 ppm akan menyebabkan rumpai laut tidak dapat tumbuh. Air laut yang kotor dengan kemasinan antara 15-20 ppm pula akan terus memusnahkan rumpailaut terutama pada musim hujan monsoon. Kajian di Malaysia belum banyak di jalankan untuk mendapatkan jenis dan lokasi yang produktif kecuali di pantai timur Sabah.

Rumpai laut adalah sayur laut yang mengandungi kekayaan unsur makanan berkhasiat (nutrients). Kita boleh mendapatkan zat ini dalam sayuran atau rumpai laut ini. Rumpai laut telah dibuat makanan dan pelbagai guna beribu tahun dan pada masakini boleh diternakkan secara komersil dan besar-besaran. Sayur laut ini adalah sejenis rumpai yang hidup di dalam laut yang sesuai dengan tiada pencemaran. Rumpai ini boleh menghasilkan pelbagai produk dari sebatian bioaktif (Bioactive compounds) untuk digunakan dalam perubatan, kosmetik dan juga dalam makanan sebagai pengimbang makanan (stabilizer), bahan pengawet (preservatives) dan agar-agar.

Produk dari Rumpai Laut mengambilkira bahan penting iaitu Carageenan. Bahan ini adalah produk yang diperolehi dari rumpai laut yang banyak digunakan oleh pelbagai industri seperti pharmaceutical, kosmetik, kilang penapisan, makanan pengawetan dan juga dalam industri pembuatan bahan letupan dan peluru. Kultur rumpai laut telah menjadi satu bidang yang diminati di kalangan pengusaha gigih di Malaysia, berdasarkan dari galakan dan sokongan yang diberi oleh pelbagai agensi kerajaan terutamanya Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan kajian oleh beberapa universiti dan lain-lain. Insentif galakan industri ini perlu di berikan seperti insentif cukai, insentif harga, pekerja, teknologi, penyelidikan dan sebagainya.


Saya harap artikel ini dapat memberikan sedikit maklumat mengenai industri rumpai laut yang di war-warkan oleh PM Malaysia semasa bajet yang mendapat perhatian dalam Projek Berimpak Tinggi (HIP). Walau pun tidak boleh bersaing dengan Indonesia dan Filipina dalam industri ini tetapi kita boleh berkongsi kepakaran teknologi daripada negara tersebut. Diharap industri rumpai laut negara kita akan berkembang pada masa akan datang dengan baik dan berjaya. Sekian.


RUMPAI LAUT......DULU TAK POPULAR....
KINI DI PERHATI....DIMAJUKAN PULA....
BANYAK DI SABAH...SEMENANJUNG SIKIT JE...
ASAL UNTUNG...BUATLAH SAHAJA.....

By,
M Anem

Bekas AO Mersing
Johor
(Kat Pulau Aur ...Tak de ke?)

No comments: