Monday, October 27, 2014

BETIK - APA KEHEBATAN BETIK

POKOK BETIK (Carica papaya L.) merupakan tumbuhan yang tergolong dalam keluarga Caricaceae dan dipercayai natif dari kawasan Amerika Tropika. Pokok Betik adalah sejenis tumbuhan saka yang mempunyai batang yan
g lembut, tumbuh dengan menegak dan biasanya ia tidak bercabang. Buahnya berbentuk bujur panjang hingga ke bentuk hampir bulat. Kulit yang muda berwarna hijau dan apabila ia masak berwarna kuning cerah hinggalah kuning pekat. Isinya pula berwarna kuning, oren hingga ke warna merah cerah atau merah. Di Malaysia seluas 3,200 hektar tanaman betik diusahakan petani dengan pengeluaran sekitar 53,200 mt setiap tahun untuk pasaran domestik dan ekspot. Malaysa pernah menjadi negara utama pengekspot betik dunia sebelum serangan penyakit Papaya Ringspot Virus (PRSV) dan Papaya Dieback beberapa tahun lepas. Kini penanaman betik baru dimulakan semua dengan aktif terutama di Johor dan Perak dan Pahang setelah masaalah serangan penyakit tersebut telah dapat dikawal secara berperingkat. Pada saya buah betik merupakan buah-buahan tropika yang berkhasiat dan menjadi kesukaan ramai masyarakat dunia. Kalau anda tinggal dan makan dihotel, pasti buah betik akan dihidangkan sebagai buah pencuci mulut bersama-sama tembikai, nenas dan juga melon. Penulis banyak melawat ladang betik diseluruh negara semasa membuat pengawalan penyakit merbahaya tersebut untuk membuat survei. Tumbuhan ini akan menghasilkan buah yang dimakan segar atau untuk proses, daunnya untuk merawat beberapa penyakit dan bahagian lain yang boleh dimanafaatkan. Artikel pagi Cuti Deepavali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman dan buah betik dari segi kehebatannya sebagai buah yang perlu dimajukan di Malaysia.

Beberapa laporan yang penulis rujuk, masyarakat Mexico menggunakan daun betik bukan sahaja untuk melembutkan daging, tetapi juga dijadikan ubat untuk asma dan masalah jantung. Bagaimanapun jika penggunaan daun terlalu banyak ia boleh jadi berbahaya kerana dikatakan, ia boleh menghasilkan toksik. Seterusnya buah betik mengandungi pelbagai khasiat pemakanan. Bagi setiap 100g betik , ia mengandungi bahan seperti 59.0 kalori untuk pembekalan tenaga, 92.1g air, 1.0g protein, 0.1g lemak, 13.5g karbohidrat, 0.5g serat, 0.5g abu, 31.0mg kalsium, 0.8mg magnesium, 17.0mg posporus, 1.0mg zat besi, 2.0mg sodium, 337.0mg potasium, Vitamin B sebanyak 0.08mg, vitamin B2 (0.12mg), Niasin (0.1mg), Vitamin C (69.3mg) dan juga bahan Karotin (2431ug). Kajian dimakmal juga dapati betik kaya dengan vitamin A, vitamin C dan juga kalium. Selain itu terdapat kalsium, besi, tiamin, riboflavin dan niasin dalam betik. Jumlah kalorinya sangat rendah. Kesemua nutrien yang terdapat di dalam sebiji buah betik dapat membantu mengurangkan risiko kanser, penyakit jantung dan strok. 

Selain mengandungi vitamin C yang amat banyak iaitu dilaporkan hampir dua kali ganda dari kandungan buah limau, betik juga boleh menjadi pendinding daripada serangan penyakit yang akan mendera kandung hempedu. Perkara tersebut dijumpai dalam beberapa laporan kajian oleh pakar pemakanan dari USA. Hasil analisa kadar darah mendapati saintis menemukan bahawa mereka yang kadar vitamin C nya rendah mempunyai risiko kepada menderita penyakit hempedu adalah lebih tinggi. Lazimnya sumber vitamin C boleh diperoleh dari pelbagai jenis buah dan sayuran. Kajian menunjukkan sebiji buah papaya dengan saiz sederhana (Anggaran 280 gram) mengandungi 188 mg vitamin C dan 500 kj kalori. IJumlah ini adalah jumlah yang banyak untuk meningkatkan kesihatan. Kajian mendapati penyakit hempedusering menyerang perempuan berbanding lelaki dimana adalah digalakkan untuk memakan buah ini dikalangan kaum perempuan.

Pokok dan buah betik mampu menghasilkan sejenis enzim berguna iaitu PAPAIN (Sila baca artikel saya sebelum ini - Sila klik disini dan Testimoni - Sila klik disini). Teknik untuk mengumpulkan getah-papaya atau PAPAIN ini amat mudah dilakukan dengan teknik yang betul. Papain merupakan enzim protease yang terkandung dalam getah betik sama ada dari dalam buah, batang dan daunnya. Sebagai enzim yang berkemampuan memecahkan molekul protein, papain menjadi suatu produk yang sangat bermanfaat bagi kehidupan manusiasama ada untuk kegunaan dirumah ataupun bagi industri. Antara manafaat Papain dalam industri melembutkan daging. Lazimnya daging dari haiwan ternakan tua (Lembu atau Kambing) akan lembut dan enak jika dimasak dengan cara menggunakan campuran bahan papain. Biasanya daging haiwan tua adalah mempunyai tekstur daging sangat keras (Liat). Papain sebagai pelembut daging (meat tenderizer) membolehkan daging yang keras ini boleh dijual dan dimakan dengan baik dan selamat.

Kini bahan papain juga banyak digunakan sebagai bahan penghancur sisa atau produk buangan hasil industri makanan atau industri perikanan. Teknik melumatkan ikan menjadi bubur ikan atau konsentrat protin untuk menjadi bahan seperti bubur ikan atau konsentrat protin ini digunakan untuk keperluan bahan pemakanan ternakan. Dalam banyak kes bahan ini akan dijadikan makanan haiwan ternakan seperti lembu dan ikan malahan ada juga diproses menjadi kicap. Dalam industri penyamakan kulit, papain akan digunakan bagi melembutkan semula kulit haiwan kering hasil sembelihan untuk membuat sarung tangan, jaket baju atau kasut. Bahan Papain juga amat berfungsi di dalam industri pembuatan minuman minuman keras (beer). Lazimnya cara pengedaran dan penyimpanan beer akan mengambil masa amat lama untik diporoses siap tetapi penggunaan bahan papain pada ketika pembotolan mengelak dari kontaminasi dan gangguan kulat. Ini lah sebab dikatakan papain sebagai bahan ubat stabliser.

Dalam kes lain, penulis mendapati papain juga banyak digunakan dalam industri perubatan dan kosmetik. Bagi tujuan perubatan ia sebagai ubat gangguan pencernaan protin, dispesia, gastrik serta ubat cacing.  Dalam industri kosmetik moden papain akan digunakan sebagai syampu untuk rambut dan sebagai bahan aktif dalam pembuatan krim pembersih kulit iaitu terutama untuk mencantikkan kulit muka. Ini adalah kerana papain dapat melarutkan sel-sel yang telah mati yang melekat pada kulit yang sukar dibersihkan dengan cara cucian biasa. Papain juga banyak digunakan dalam pembuatan ubat gigi dimana kemampuannya membersih sisa protin yang melekat pada gigi yang menyebabkan bau busuk mulut amat berkesan. papain dari betik juga berguna untuk dijadikan bahan untuk pencucian kain sutera yang membuang serat-serat yang berlebihan. Ia boleh digunakan menjadi bahan untuk bahan pelarut gelatin dalam proses perolehan kembali (recovery) perak dari filem yang sudah tidak terpakai. Ia boleh juga jadi bahan perenyah dalam pembuatan biskut kering seperti Cracker dan bahan penjernih dalam pembuatan minuman teh. Akhir sekali ia menjadi bahan pengumpal susu dalam penyediaan keju. Begitulah kehebatan pokok betik yang menghasilkan papain dan zat lain untuk dimanafaatkan. Wasallam!.
POkOK BETIK... IA JUGA PAPAYA...
MUDAH DITANAM...PENYAKIT JAGA...
BUAH BERKHASIAT... MANIS RASA...
PAPAIN PULA...PELBAGAI GUNA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Ladang Betik Meng Plantation Sdn Bhd,
Kg Kelicap, Minyak Beku,
Batu Pahat, Johor,
Malaysia.
(27 Zulhijjah 1435H)

No comments: