Monday, December 27, 2010

MAMAN


MAMAN (Cleome gynandar ) dari keluarga CAPPARACEAE adalah sejenis tumbuhan liar yang terdapat di Malaysia yang diambil sebagai sayuran yang pahit dan dimakan oleh penduduk kampung zaman dulu lagi. Kini Maman mula menjadi satu jenis sayuran daun yang boleh dikatakan menjadi ubat untuk luaran dan dalaman terutama bahagian DAUN dan BUAH. Maman yang kita kenal di Malaysia di panggil sebagai Bastard's Mustard ; Cats Whiskers ; Spider Flower (English), enceng-enceng (Jawa), apoy-apoyan ; manabo ; balaya (Filipina), sienz (Laos), phak sian ; phak sian khao (Thailand) dan man man trawng (Vietnam). Artikel kali saya berbicara mengenai tanaman maman berdasarkan buku rujukan , pemerhatian, pengalaman penulis dan kajian ringkas di beberapa lokasi di Johor.


Kajian saya mendapati tidak ada laporan keluasan tanaman maman direkodkan secara rasmi. Kebanyakan maman tumbuh secara liar di kawasan kebun atau ditanam dikawasan keliling kebun. Di Malaysia ada dua jenis maman yang saya sering dengar iaitu maman sayur (Cleome gynandra) dan dan maman pasir (Cleome pentaphylla). Pokok maman merupakan tumbuhan herba yang tumbuh menegak dan banyak cabang mampu hidup setinggi 0.5 m-1.0 m. Daun berwarna hijau jenis kompoun yang ada 5 helai daun satu tangkai. Bunga berwarna putih atau ungu yang terbentuk dihujung tangkai berukuran 1-2 cm panjang. Buahnya berbentuk panjang selinder dengan mengandungi banyak biji bersaiz 1 mm garispusat. Akar berbentuk akar utama dan akar serabut yang capai kedalaman sehingga 0.7-0.8 m.


Kandungan zat pemakanan setiap 100 gram adalah air (90 g), Protin (3.9 g), Lemak (0.3 g), Karbohiderat (3.6 g), Serat (0.8 g), kalsium (250 mg), Fe (10 mg), Karotin (7 mg), Vitamin C (131 mg) dan tenaga 137 kilojoule (kJ). Tumbuhan ini sering dilihat ditepi-tepi jalan , atas ban sawaah padi, ban parit ladang dan tanah ditebing sungai. Tumbuhan ini tahan kepada keadaan kemarau tetapi tidak tahan jika ditenggelami sair. Keupayaan tumbuhan ini membesar dan membiak sepanjang tahun menyebabkan ianya dianggap sebagai 'Rumpai' bukannya 'sayuran'.



Penanaman dan pembiakan maman menggunakan BIJIBENIH (seeds). Benih diperolehi dari pokok maman yang telah matang dimana buah yang matang berwarna coklat dan biji benih mudah dikeluarkan dan dikumpulkan. Penyediaan kawasan tanaman maman sebaiknya dikawasan lapang yang ada tanah subur (Pengalaman saya di kampung dulu) tanah gambut yang telah terbakar merupakan tempat paling baik untuk tabur benih maman. Kalau ditabur terus pastikan dibuat penjarangan. Jarak tanaman maman disyorkan adalah 20-30 cm x 20-30 cm. Pemberikan baja organik seperti tahi ayam atau tahii kambing sesuai diberikan sebelum menanam dengan kadar 1.5 mt /hektar. Pengairan perlu dibuat untuk mempastikan kadar pertumbuhan yang baik. Buat kawalan rumpai dengan mencabut rumput yang tidak diperlukan.


Pemerhatian saya mendapati tanaman maman tidak mempunyai penyakit atau serangga perosak.Tanaman maman boleh di kutip hasil dengan memetik bahagian daun pucuk muda 2 bulan selepas ditanam. Tunas baru akan keluar apabula pucuk dipotong dan akan memberikan pucuk dengan lebih banyak. Lazimnya dengan penjagaan yang baik maman boleh hidup antara 4-5 bulan. Jika daun tidak dikutip makan bunga akan keluar dan akhirnya buah akan masak apabila pokok kering. Pucuk yang dipetik diikat dan kemudian dipasarkan atau terus dibawa kedapur untuk dimasak. kumpulkan buah dan biji maman untuk dijadikan anak benih untuk penanaman akan datang. Biji maman boleh dikaji kegunaannya.



Daun maman biasanya di makan dengan dibuat sayur tumis, sayur masak lemak (lihat foto) atau dibuat kerabu. Jika digoreng dengan bawang, bilis dan udang kita akan rasa pahit pada sayur tersebut. Kanak2 memeng tidak suka makan sayur maman kerana rasa pahit tersebut. Kepada mereka yang ada darah tinggi baik makan maman kerana ia sayur ubat. Petua orang tua-tua dulu kata "Yang Pahit itu Ubat" perlu dijadikan amalan. Kajian lanjut mengenai kegunaan maman perlu dijalankan dengan lebih terancang dan fokus seperti untuk jadikan produk seperti 'Teh Maman", Kapsul maman, Bedak maman, Pil Maman dan sebagainya.



PERGI KEKEBUN.....MENCARI MAMAN,...
DAPAT SEIKAT .....DI GORENG DENGAN AMAN....
DIMAKAN SEGARA... DENGAN KAWAN2....
ORANG SARAWAK KATA 'NYAMAN'...
PERUT DAH KENYANG......


By
M Anem
Hort
Pct 11

No comments: