Thursday, October 31, 2013

VARIETI - DURIAN (Part 1)

DURIAN (Durio zibethinus) merupakan sejenis buah-buahan tropika yang sangat  popular di Asia khususnya di Asia Tenggara seperti Malaysia, Thailand, Indonesia dan sebagainya. Buah durian ini hanya dikenali oleh orang-orang barat semenjak zaman kolonial Belanda sekitar tahun 1912 dimana, walau pun ada diantara mereka yang mengatakan bau durian  itu busuk (Skunk of the orchard) tetapi durian mempunyai rasa sangat sedap (Morstesen and Bullard , 1964). Sehingga kini pun, buah durian dihalang untuk dibawa masuk kedalam bilik hotel kerana baunya yang kuat akan menganggu penghuni hotel yang lain akibat edaran udara di dalam sistem berhawa dingin. Saya dapati kebanyakan hotel di Malaysia, Indonesia dan Thailand membuat peraturan dan papantanda menghalang buah durian dan Manggis untuk dibawa masuk kedalam bilik penginapan. Durian akan menyebabkan ada bau durian yang kuat dalam hotel sementara getah manggis boleh sebabkan warna hitam yang merosakan cadar tilam atau langsir dalam hotel. Artikel subuh Ahad ini saya bertenaga untuk menulis dalam 'Anim Agro Technology" mengenai senarai varieti durian yang ujud dinegara kita untuk bacaan anda berdasarkan kepada buku rujukan yang saya buat kajian.

Durian merupakan tumbuhan natif dari kawasan di Malaysia dan juga Thailand tetapi kini telah disebarkan ke kawasan lain seperti di Sri Lanka, Selatan India, Myanmar, Vietnam, Filipina, New Guinea dan kini telahb banyak di tanam di Australia Utara. Di Malaysia sahaja terdapat seluas 104,655 hektar tanaman durian dilaporkan oleh Jabatan Pertanian pada tahun 2011 dengan penghasilan sebanyak 300.47 juta metrik tan yang bernilai RM 1.40 billion. Terdapat banyak spesis durian dan jenis yang popular ditanam adalah Durio ziberthinus Murr. . Antara spesis lain yang boleh dijumpai dibeberapa lokaliti seperti di Borneo, Indonesia dan Thailand adalah seperti durian dinamakan sebagai Lai (Durio kutejensis), Keratongan  Durio oxleyanus (Hairy durian) ,Tabelak Durio graveolens (Red Durian) dan Lahong Durio dulcis (Durian berbau kuat). Spesis tersebut adalah spesis yang jarang kita jumpa. Durian dalam pengkelasan adalah dibawah Order Malvales iaitu dalam Keluarga Bombaceae. Keluarga Bombaceae mempunyai 200 spesis dimana genus Durio  mempunyai 28 spesis yang mana 19 spesis daripadanya terdapat di kepulauan Borneo. Banyak tu! . Daripada 19 spesis tersebut, didapati sebanyak 14 spesis terdapat di Sabah dan 16 spesis di Sarawak (Abang Mokhtar, 1991). Adakah spesis-spesis ini telah dicuri atau pun diambil dan digunakan untuk program pembiakbaka durian oleh negara lain ?.


Pokok durian besar iaitu tingginya mencapai 35 – 45m tetapi pokok durian yang dibiakkan secara tampang bersaiz sederhana iaitu 10 -15m tinggi. Kebanyakkan pokok yang berasal daripada biji mempunyai banir di pangkalnya. Daun durian jenis mudah dan berbentuk bujur panjang,iaitu 6 -12cm panjang dan 2- 4cm lebar. Tangkainya bersinus dan panjangnya kira-kira 1cm. Permukaan daun berwarna hijau tua berkilat dan permukaan bawahnya berwarna keemasan. Bunga dikeluarkan dalam jambak, setiap jambak mengandungi 40-50 kuntum bunga. Kudup bunga berbentuk bulat dan ditutupi epikaliks. Kelopak bunganya lima, berbentuk sesudu dan berwarna putih kekuningan. Salut bunganya bercuping 4-6 dan bercantum dipangkal. Stamennya banyak berbentuk berkas dan benang sarinya panjang ( 3-5cm ). Dihujungnya terdapat stigma yang bulat berwarna jingga. Buah durian besar iaitu bergaris pusat 18-20cm dan bentuk bulat atau bujur panjang. Kulitnya tebal dan berduri tajam. Warna kulit hijau atau hijau kekuningan. Tangkai berbentuk silinder kira-kira 3-6cm panjang. Buah mempunyai lima pangsa di mana setiap pangsa mengandungi 1-6 ulas isi. Isinya berwarna putih kuning atau kuning keemasan. Tekstur, aroma, rasa dan ketebalan isinya juga berbeza-beza bergantung pada varieti. Bijinya bujur panjang dan berwarna perang muda hingga coklat.

Isi Durian Bukit Merah (D24)
Jadual diatas menunjukkan 25 varieti durian (Dari D1 hingga D96) yang telah didaftarkan di negara kita yang boleh dibuat rujukkan. Paling awal pendaftaran varieti durian adalah pada tahun 1934 adalah D1 (Tidak ada nama varieti - maklumat hilang) dari Selangor dan varieti ke 25 iaitu D96 (Bangkok A) yang telah didaftarkan pada 1955. Diantara Varieti popular dalam senarai diatas dan telah disyorkan oleh Jabatan Pertanian adalah Durian Varieti Bukit Merah (D24) yang telah didaftarkan pada tahun 1970 dari Perak. Durian ini mempunyai ciri-ciri khusus yang amat diminati oleh peminat durian dan mendapat harga yang tinggi dikalangan varieti durian lain. ISI durian D24 paling istimewa bagi saya kerana warnanya yang krim sehinga kuning emas. Saiz ulas juga dikatakan kategori BESAR iaitu berukuran purata 5 cm lebar dan 4.5 cm panjang. Paling baik dimana isinya yang tebal sekitar 1.0 - 1.2 cm dan rasa Lemak, manis serta ada rasa Pahit. Tekstur isinya adalah Halus dengan tahap kelikitan isi sebagai Tidak Melekit. Baunya kuat selaras dengan kepejalan isi yang dikatakan sebagai 'lembut'. Kalau lori membawa durian lalu didepan kita dengan membawa semua klon D24, memang tidak dinafikan baunya sangat kuat. Purata berat isi dengan buah adalah sebanyak 26% (maknanya setiap 1,000 gram buah mempunyai 260 gram isi). Lazimnya klon ini mempunyai sebanyak 5 pangsa dengan setiap pangsa mempunyai 1-3 ulas bahagian isi (Sila klik disini  - untuk baca artikrl Durian Bukit Merah atau D24).


Isi Durian D2 
Selain daripada itu Durian Durian Varieti Datok Nina (D2) yang didaftarkan pada 1934 yang berasal dari Air Molek, Melaka juga adalah varieti yang popular. Varieti ini mempunyai isi tebal dan manis dan mendapat pasaran baik (Lihat foto sebelah). Keistimewaan buah durian varieti Datok Nina (D2) adalah kerana buah ini mempunyai isi yang banyak tidak ada biji atau KESEP iaitu sebanyak hampir 60% daripadanya isinya. Sekitar 40% pula isi buah mempunyai biji yang terbentuk penoh (lihat foto sebelah) dimana  memang sah makan satu ulas D2 sangat berbaloi. apa lagi kalau makan dua ulas buah yang kesep, saya katakan memang sangat kenyang. Kajian saya juga mendapati hampir tidak ada biji yang terbentuk separuh. Saiz biji yang terbentuk adalah sederhana besar dimana lazimnya ia mempunyai kulit luar berwarna coklat dan ada sedikit musilage dibahagian embryo biji. Buah durian daripada pokok yang telah berumur lagi banyak buah yang mempunyai biji kesep. Kajian pemasaran harga durian varieti Datok Nina (D2) diantara RM 10.00 - RM 25.00 sekilogram itu pun kalau ada di pasaran. Ramai peminat durian tidak dapat bekalan varieti ini kerana agak kurang ditanam masa ini dan bilangan buah yang dihasilkan juga sedikit. Untuk membaca durian varieti ini saya telah menulis dalam artikel lain - Sila Klik Disini). Sebahagian varieti durian (Bertanda merah) mungkin telah pupus akibat bencana alam, perang dunia ke 2 dan juga akibat serangan perosak dan penyakit. Sila rujuk artikel ini Part 2,3,4,5 untuk maklumat lanjut. Wasallam!

Durian varieti Datuk Nina (D2)... Manis dan kuning keemasan.
VARIETI DURIAN.. ADUH BANYAKNYA...
DARI D1 HINGGA D199... JUMLAHNYA...
ADA YANG PUPUS... APA SEBABNYA...
PILIH YANG DISYORKAN... ADA BENIHNYA...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Ladang Tepositori Durian,
Serdang, Selangor,
Malaysia.
(15 Ramadan 1434H)

No comments: