Thursday, October 17, 2013

MANGGA - VARIETI POPULAR DUNIA

MANGGA (Mangifera indica) merupakan sejenis buah-buahan yang popular dikalangan buah-buahan tropika dengan kadar pengeluaran sebanyak lebih 35 juta metrik tan setahun (Laporan FAO Statistic 2012). Mangga ditanam di lebih 90 buah negara didunia dengan dengan beberapa varieti popular didunia yang mendapat permintaan tinggi. Kebanyakannya varieti popular diminati pengguna negara maju adalah yang mempunyai kulit berwarna kemerahan seperti Tommy Atkins, Keitt, Kent, Osteen, Haden dan Valencia Pride. Benua Asia merupakan pengeluar utama mangga dunia dengan jumlah pengeluaran meliputi sebanyak 77% diikuti dengan Benua Amerika (13%) dan Benua Afrika hanya 10% sahaja. Di Asia pula. pengeluar utama mangga didahului dengan India (13 - 17 juta mt setahun atau 50% pengeluaran dunia) diikuti dengan China (lebih 4 juta mt/tahun), Thailand (2.5 juta mt/tahun) dan Pakistan (1.7 juta mt setahun). Di Benua Amerika Selatan negara Mexico mengeluarkan 1.5 juta mt setahun dan Brazil yang menghasilkan 1.2 juta mt setahun. DiBenua Afrika saya dapati negara yang menghasilkan mangga ada Mesir dan Nigeria sekitar 450,000 kg setahun. Terdapat beratus-ratus varieti mangga yang ditanam diseluruh dunia dengan pelbagai ciri-ciri khusus untuk kegunaan domestik dan juga pasaran ekspot. Malaysia pula hanya menanam sekitar 9,500 hektar dengan anggaran hasil mangga sekitar 25,000 mt setahun dengan 3 varieti utama iaitu Cokanan, Harumanis dan Sala. Artikel petang Hari Raya Aidil Adha 1434H ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" beberapa varieti utama yang ditanam disekuruh dunia untuk dijadikan bahan rujukkan anda.




Antara varieti mangga yang popular di tanam di Afrika Selatan Tommy Atkins (Lihat foto sebelah), Sensation, Kent, Heidi, Keiti, Keitt dan Zill. Kebanyakan varieti tersebut adalah mempunyai warna kulit kemerahan yang mendapat permintaan baik diseluruh dunia terutama untuk pasaran Eropah dan USA. Mangga yang popular di Australia pula adalah Kensington Pride, R2E2 dan juga Keitt. Di Brazil pula terdapat 6 varieti yang popular ditanam untuk pasaran domestik dan ekspot iaitu Haden, Tommy Atkins, Keitt, Smith, Bizcochuelo dan Corazon. Negara Cuba juga merupakan sebuah negara yang berjaya menghasilkan 6 jenis mangga iaitu Super Haden, Haden, Keitt, Smith, Bizcochuleo dan Corazon seperti rajah diatas. Kebanyakan varieti mangga ini tidak ditanam di Malaysia lagi.




Varieti daripada Mexico seperti jadual diatas merupakan yang mempunyai kulit berwarna kemerahan terutama untuk pasaran ke USA dan Eropah. Mexico mencatatkan sebagai negara pengekspot mangga dengan nilai tertinggi didunia. Varieti seperti Kent (Lihat foto sebelah), Ataulfo, Esmeralda, Sensation, Diplomatico, Aden, Irwin, Keitt dan Manila adalah yang menjadi tumpuan penanaman dinegara tersebut. Negara Pakistan juga menanam 3 varieti iaitu Tommy Atkins, Sindhri dan Chausa. Malaysia menanam 5 varieti yang memang kita kenal seperti dijadual diatas. Negara Thailand merupakan negara yang mempunyai varieti terbanyak dan ianya dihasilkan untuk pasaran domestik (masak warna kuning dan hijau) dan juga beberapa varieti berkulit merah dan kuning untuk pasaran ekspot. 




Jenis mangga yang popular ditanam di Filipina juga memang hebat seperti jenis Carabao dan Pico. Varieti Carabao merupakan varieti yang menpadat pasaran baik di Jepun dengan harga yang sederhana mahal. India selaku pengeluar utama mangga dunia menanam banyak jenis mangga dimana kebanyakannya adalah untuk pasaran domestik dan sebahagian juga diekspot. Varieti Alfonso (Lihat foto sebelah) merupakan varieti popular selain daripada bangapali, Chausa, Dushehari, Langra, Bombay Green, Kesar dan Suvarnarekha. Sementara itu Indonesia juga tidak kurang hebatnya menanam beberapa varieti mangga seperti Arumanis, Gedung, Golek dan Manalagi. Akhir sekali adalah negara Israel yang merupakan negara yang hebat melaksanakan penyelidikan buah-buahan tropika dan sub-tropika dengan 5 varieti mangga iaitu Haden, Maya, Mabroka, Nimrad dan Srafend. 


Mangga diambil sebagai makanan buah segar atau diproses untuk pelbagai produk mangga (Baca artikel berkaitan - Sila klik disini). Kuantiti ekspot mangga dunia telah meningkat dengan jumlah yang banyak daripada hanya 715,500 kg pada 2001 kepada 1.15 juta mt pada tahun 2010. Walau pun harga runcit mangga juga telah meningkat dalam tempoh tersebut, secara umumnya permintaan mangga diseluruh dunia adalah masih ditahap tidak mencukupi. Ini kerana lazimnya buah mangga adalah bermusim dan memerlukan cuaca panas kering dalam tempoh tertentu untuk aruhan pembungaan. Sesetengah varieti mangga perlukan cuaca panas dan kering untuk kesesuaiannnya. Banyak varieti yang ada perlu disesuaikan dengan iklim di Malaysia untuk ditanam dinegara kita. Semuga artikel ini akan memberikan info berguna kepada anda semua. Wasallam!


Jualan mangga keluaran Filipina di pasaraya.
BANYAK NAMA...VARIETI MANGGA...
ADA YANG HIJAU...MERAH JUGA...
MASAK KUNING... MANIS ISINYA...
BACA ARTIKEL... TAMBAH ILMUNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(10 Dzulhijjah 1434H)

No comments: