Thursday, September 1, 2011

TANAH GAMBUT

TANAH GAMBUT atau PEAT SOIL atau juga dipanggil sebagai peat, moor, mire dan fen merupakan sejenis tanah marginal yang terdapat diseluruh dunia. Tanah Gambut mengadungi banyak bahan organik iaitu melebihi 30% yang terdiri daripada bahan-bahan tumbuhan yang telah menjalani proses pereputan (decaying process). Pembentukan tanah gambut adalah mengikut umur yang dipengaruhi oleh iklim, hujan, paras air pasang surut, bahan asas tumbuhan serta jenis mikrorganisma yang membantu didalam proses pereputan. Keluasan tanah gambut di Malaysia sekitar lebih dari 2.0 juta hektar dimana tanah gambut paling luas terdapat di Sarawak yang kebanyakkanya dikawasan pesisir pantai. Negeri Johor,Selangor dan Perak di Semenanjung Malaysia pula mempunyai tanah gambut yang telah di majukan dengan pelbagai tanaman makanan dan kelapa sawit. Negara Indonesia mempunyai seluas 18.3 juta hektar tanah gambut terutama di Sumatra dan Kalimantan. Pagi 4 Shawal 1432H ini penulis terfikir untuk menulis perihal tanah gambut berdasarkan pembacaan, pengalaman dan juga dari pemerhatian penulis sendiri.





Tanah gambut di kampoong , Muar
Saya memang mengenali tanah gambut kerana rumah saya di Muar memang asalnya dari tanah gambut dalam tetapi sekarang telah menjadi gambut cetek. Saya ingat dimana 30 tahun dulu saya dapat lihat bagaimana pokok getah yang ditanam dikeliling rumah dan sekitar kampong mempunyai akar seperti tertenggek diatas tanah akibat penurunan paras tanah gambut setiap tahun. Tiang Rumah Kayu di rumah penduduk kampong juga terpaksa di ubahsuai (Gunakan Steel Jack) untuk membuat pelarasan penurunan paras tanah gambut agar kedudukan rumah tidak senget. Kini apabila tanah gambut telah menjadi gambut cetek hanya tinggal lapisan tanah liat (heavy clay) dan kebanyakan lapisan gambut hitam sangat berkurangan dan tinggal sedikit sahaja. Sekarang ramai penduduk kampong menukar pokok getah dengan komoditi Kelapa Sawit.


Tanah Gambut di Malaysia dikategorikan sebagai tanah yang bermasaalah sama seperti jenis Tanah Bris, Tanah Asid Sulfat dan juga Tanah Tinggi BerCerun Curam. Tanah gambut lazimnya terdapat dikawasan paya dan belukar dimana tidak mempunyai saliran yang baik. Kawasan tanah gambut sentiasa terendam dalam air tetapi jika musim panas dan berlaku kemarau panjang atau telah dibuat saliran berlebihan akan menyebabkan berlaku bencana kebakaran pada tanah gambut yang sukar untuk dikawal. Kejadian Jerebu di kawasan Malaysia dan Indonesia (Sumatra dan Kalimantan) akibat hutan tanah gambut terbakar menjadi satu isu pencemaran alam peringkat antarabangsa. Kerja-kerja untuk mengawal dan memadamkan kebakaran pada tanah gambut merupakan satu masaalah kerana ianya agar sukar untuk dipadamkan. Ini kerana api dalam tanah gambut berada jauh dalam tanah sedangkan penyiraman air tidak sampai kelapisan tersebut. Lazimnya hujan yang sangat lebat dan menaikan paras air dalam tanah gambut sahaja dapat membantu menamatan kebakaran pada tanah gambut.


Tanah gambut biasanya dibahagikan kepada 3 kelas iaitu mengikut kadar kedalaman dilokasi dimana terdapatnya tanah gambut. Tanah Gambut Cetek mempunyai kedalaman antara 0.5-1.5 meter, Tanah Gambut Sederhana Dalam mempunyai kedalaman antara 1.5-3.0 meter dan Tanah Gambut Dalam mempunyai kedalaman melebihi 3.0 meter. Proses pereputan yang berlaku menyebabkan penurunan paras tanah sebanyak 1 inci setahun. Pokok kelapa sawit yang ditanam di tanah gambut akan tumbang apabila akar rambut tidak dipegang oleh tanah dan ini menyebabkan pokok sawit dikawasan tanah gambut dalam adalah bermasaalah untuk menguruskannya. Walau pun orang kata mudah hendak petik pokok sawit yang tumbang kerana buahnya rendah tetapi hasilnya sangat berkurangan.


Ciri-ciri tanah gambut adalah dimana ianya mempunyai saliran yang buruk (tidak mudah untuk mengeluarkan air dikawasan tanah gambut) dan mudah tenggelam. Lazimnya paras air sama tinggi dengan paras tanah. Tanah gambut juga adalah sangat masam (pH Rendah) dan ini menyebabkan tidak banyak nutrien atau zat tumbuhan tersedia didalamnya. Tanah gambut mudah kering, sukar diresapi air dan jika dibuat saliran berlebihan akan menyebabkan tumbuhan sukar mendapatkan air. Oleh kerana tanah gambut bersifat lembut maka akiviti berkebun menggunakan jentera berat adalah sukar terutama di kawasan gambut dalam. 


Kajian mendapati bahawa tanah gambut tidak subur. Kandungan unsur makanan Makro dan Mikro dalam tanah gambut sangat berkurangan seperti Fe, Ca, N, K, Boron dan Cu. Semasa membuka kawasan tanah gambut akan terdapat kayu-kayu tunggul yang belum reput dan menyukarkan penyediaan tanah. Tanah gambut sangat mudah terbakar dan sukar dikawal.


Semasa memajukan tanah gambut di kawasan Bati 14, Air Hitam Muar pada 2010, saya telah menghadapi masaalah penyediaan tanah kerana paras air yang tidak menurun pada proses penyediaan tanah seluas 120 hektar untuk tanaman nenas dan keladi. Kerja-kerja menebang hutan gambut menggunakan mesin yang agak ringan dan selalu mengalami kerosakkan akibat tenggelam dan 'implement' jentera yang mudah rosak atau patah. Lebih malang adalah apabila pada musim kemarau, tiba-tiba berlaku kebakaran pada tanah gambut dikawasan tersebut menyebabkan jerebu dan perlu tunggu beberapa minggu untuk megawalnya. Kerja-kerja membina jalanladang juga melibatkan kos lebih tinggi berbanding dengan tanah biasa kerana sumber tanah gravel yang jauh dan perlukan kuantiti banyak untuk buat jalanladang.


Tanah Gambut merupakan tanah bermasaalah yang berpotensi untuk dijadikan kebun yang berpenghasilan tinggi jika tahu kaedah pengurusan tanah gambut yang sesuai. Banyak kawasan tanah gambut dimajukan dengan tanaman makanan terutama sayur-sayuran dan tanamann kontan selain daripada tanaman getah dan kelapa sawit. Kawasan Batu 19, Sengkang, Johor seluas 500 ekar merupakan diantara kawasan tanah gambut yang ditanam dengan sayuran daun yang paling luas di Malaysia diketuai oleh Pengerusi Persatuan Penanam Sayur Malaysia iaitu En Tan Soo Tiok. Tanah gambut tersebut menghasilkan sawi, kailan, kangkong. bayam, kucai dan bermacam jenis sayur daun untuk pasaran domestik dan telah menjadi Johan Kelompok Jabatan Pertanian tahun 2009.


Paling utama dalam menguruskan tanah gambut adalah dengan menyediakan Sistem Saliran Terkawal iaitu dengan cara mempastikan sistem perparitan tidak terlalu dalam dimana ini akan juga  menyebabkan tumbuhan tidak dapat air. Saya berpendapat perlu dibuat sistem pintu kawalan air bagi mengawal paras air didalam tanah gambut. Paras air perlu ada dibawah sedikit daripada zon pengakaran tumbuhan. Jika parit terlalu cetek, tersumbat atau tidak berfungsi akan menyebabkan bahagian akar terendam lama akar tersebut juga akan rosak ketika waktu hujan. Pengapuran juga penting untuk tanah gambut bagi mengurangkan kemasaman tanah. Kadar penggunaan kapor disyorkan adalah sebanyak 1 metrik tan sehektar bagi meningkatkan pH tanah sebanyak 0.17 unit. Maknanya jika pH tanah asalnya pada pH 3.0 dengan menambah 1 metrik tan kapor GML akan mampu menaikan pH kepada pH 3.17. Keperluan kapor adalah pada fasa permulaan membuka kawasan tanah gambut dan akan berkurangan apabila pH tanah gambut telah stabil.


Pemilihan Jenis Tanaman diatas tanah gambut penting dengan ciri-ciri tanah gambut seperti jenis sayuran, tanaman jangkapendek dan sebagainya yang mempunyai akar cetek. Tanaman lain seperti nenas, jagung, ubi kayu, kacang tanah sering ditanam dikawasan tanah gambut. Kopi, Kelapa dan kini kelapa sawit juga merupakan tanaman yang ditanam dikawasan tanah gambut. Bagi tanah gambut cetek dipilih tanaman seperti koko, getah dan buah-buahan terpilih diusahakan. Bagi tanaman kelapa sawit disyorkan untuk menggali lubang yang agak dalam untuk mengelakan pokok kelapa sawit cepat tumbang. Ada beberapa usahawan yang menggunakan jentera dilalukan diantara barisan tanaman kelapa sawit bertujuan untuk memadatkan (compacting) tanah gambut bagi mengurangkan kejadian pokok sawit dari cepat tumbang.


Pembajaan untuk tanah gambut perlu dijalankan kerana kandungan unsur permakanan adalah rendah. Baja Organik Tahi Ayam bersama kapor sering digunakan dikawasan tanah gambut yang menanam sayur daun di Sengkang (dekat kampong saya pun) bertujuan bagi mempastikan tanaman sentiasa subur. Petani aktif dikawasan tersebut juga menggunakan baja Foliar untuk mendaptkan kualiti hasil maksima. Baja yang mengandungi unsur N, K, Cu, Boron, Fe dan Zn perlu diberikan mengikut keperluan untuk tanah gambut kerana unsur ini sangat berkurangan. Penyiraman berterusan juga menyebabkan berlaku kadar larutresap unsur baja dalam tanah gambut. 


Tanah Gambut adalah sesuai untuk dimajukan dengan beberapa jenis tanaman jangkapendek seperti sayur-sayuran jika diurus dengan baik. Pada masa ini kebanyak tanah gambut yang terdapat di Malaysia dan Indonesia ditumpukan untuk tanaman kelapa sawit yang sememangnya sangat menguntungkan. Pokok kelapa sawit memerlukan air yang banyak untuk mendapatkan hasil tinggi. Kini telah terbukti tanaman kelapa sawit yang ditanam diatas tanah gambut dengan program pembajaan dan saliran yang baik memberikan produktiviti sangat baik. Walau pun dari segi pertanian tanah gambut dikategorikan sebagai tanah bermasaalah tetapi kini dengan teknologi pengurusan baik tanah ini semakin jadi lebih bernilai. Wallahualam.....


TANAH GAMBUT.....HITAM WARNANYA....
BERSIFAT LEMBUT...TINGGI HUMUSNYA...
SERING TERENDAM...TINGGI PARAS AIRNYA...
KALAU TERBAKAR...SUSAH KAWALANNYA...
KELAPA SAWIT....TERBUKTI HASILNYA...
TANAMAN SAYURAN..JUGA KESESUAIANNYA...


By,
M Anem
Jalan Istana
Bukit Beruang
Melaka, Malaysia.
(5.45 subuh ; Masih Cuti Raya Aidiladha) 

No comments: