Monday, September 12, 2011

POKOK KADOK

POKOK KADOK ( Piper sarmentosum) adalah sejenis tumbuhan herba dari keluarga PIPERACEAE yang terdapat di Malaysia dan native juga dari negara kita. Tumbuhan ini juga terdapat di Brunei dan Indonesia. Saya ternampak serumpun pokok kadok di Taman Saujana, Putrajaya petang tadi ketika 'jogging' dikawasan tersebut dan seterusnya balik rumah untuk membuat rujukan dari buku TEKNIKAL HERBA dan laman sesawang. Daun Kadok telah lama dikenali sebagai ulam yang dimakan bersama-sama nasi putih dan juga boleh dimasak dengan pelbagai cara mengikut kehendak pengguna. Pokok Kadok adalah tumbuhan herba renek yang tumbuh dengan adanya naungan. Tumbuhan ini ditanam untuk tujuan kegunaan sendiri dikeliling rumah atau dikawasan keliling kebun. Tidak ada maklumat rasmi mengenai keluasan tanaman kaduk di Malaysia tetapi penulis mengganggarkan sekitar 15-20 hektar CHE. Artikel maghrib pada 13 Shawal 1432H ini saya berkongsi maklumat mengenai tanaman pokok kadok.


Pokok kadok mempunyai bentuk daun seperti daun sireh (Heart Shape) atau lonjong yang berwarna hijau gelap dan urat daun yang jelas dan berketak-ketak. Bahagian daun merupakan komponen yang digunakan sebagai ulam dimana daun ini akan mengeluarkan aroma atau bau apabila diramas atau di koyakkan. Daunnya mempunyai rasa seperti berlada (Pedas) dan sedikit pahit sesuai untuk dijadikan ulam yang segar. Kalau di masak daunnya menyebabkan rasa masakan kita akan menjadi lebih sedap terutama untuk masakan ikan, daging, udang kering, telur dan juga kerang-kerangan.  Batangnya adalah jenis yang agak lembut berwarna hijau. Tumbuhan ini mempunyai akar serabut atau 'lateral roots' yang aktif.


Kawasan tanah lembab serta mempunyai naungan sesuai untuk ditanam dengan kadok. Kaedah pembiakan ialah dengan keratan dari pokok kadok yang matang. Potong 15-20 cm batang pokok kadok (pastikan mempunyai sekurang-kurangnya 3-4 matatunas) dan tanam dikawasan keliling rumah atau didalam bekas (Pasu, Kontena dan sebagainya yang telah diisi dengan tanah campuran). Pokok kadok perlu disiram pada peringkat awal penanaman. Pembajaan dengan baja organik adalah digalakan (Untuk makan ulam segar) dan baja foliar yang mengandungi NPK boleh digunakan. Pokok Kadok tidak mempunyai masaalah serangan penyakit dan perosak yang serius. Tanaman ini boleh juga dijadikan sebagai tanaman hiasan kawasan rumah bersama-sama dengan pokok ornamental lain (Lihat foto disebelah). Buang rumpai yang terdapat dikawasan tanaman dengan cara manual. Elakkan menyembur sebarang racun rumpai, racun serangga dan racun kulat pada tanaman kadok.


Tanaman kadok mudah dan cepat membesar jika dijaga dengan rapi. Daun kadok boleh dipetik apabila berukuran tapak tangan atau saiz yang sesuai mengikut keadaan pokok. Daun kadok yang terdapat di bahagian tengah lebih rangup untuk digunakan dan daun yang lebih bawah mempunyai rasa lebih pedas dan lebih pahit. Pemerhatian saya di kebun herba di kawasan Kulai, Johor Bahru ketika membuat lawatan kekebun tersebut mendapati penanaman daun kadok diatas batas dengan menggunakan plastik silvershine sangat memuaskan (Lihat foto sebelah). Pengusaha ini menanam herba lain seperti selom, ulam raja, terung pipit, cekur, kesum, serai, halia bara, pegaga dan banyak jenis herba lagi. Menurutnya permintaan daun kadok di Johor Bahru tidak banyak iaitu sekitar 8 - 10 kilogram seminggu. Harga ladang sekitar RM 15.00 - RM 25.00 sekilogram. 


Daun kadok mempunyai khasiat tersendiri dalam perubatan tradisional Melayu sejak zaman dulukala. Tidak hairanlah jika dikatakan pokok kadok merupakan tumbuhan sangat berguna bukannya seperti cerita dongeng 'KISAH PAK KADOK'. Maklumat yang diperolehi mendapati khasiat tumbuhan kadok dapat menyembuhkan penyakit sembelit, sakit gigi, demam malaria, lemah dan sakit-sakit dalam tulang.  Daun kadok juga menyembuhkan panyakit panau, menghilangkan batuk-batuk serta membunuh cacing dalam perut.  Daun kadok yang dimakan segar sebagai ulam (Lihat foto sebelah) atau dicelur atau direbus (daun lebih tua) didakwa membantu mengurangkan penyakit keputihan, menghilangkan gatal bahagian sulit dan pengguna akan awet muda!


Daun Kadok boleh dijadikan 'Urap' dimana daun muda perlu dipotong-potong dan dicampur dengan kelapa, cili api, garam, taugeh, selom dan pelbagai jenis ulaman. Masakan lemak cili api ikan, daging, ayam dan sebagainya akan lebih enak jika dibubuh daun kadok. Resipi istimewa saya pernah makan di Kelantan ialah makan ayam goreng yang dibalut dengan daun kadok (Lihat Foto) pada tahun 2001 dan dimakan dengan nasi panas yang dihidangkan pada waktu tengahari ketika perut sangat lapar...Free pulak tu - boss belanja. Rasa ayam kampong yang agak lemak dengan rasa pahit dan pedas memang cukup menyelerakan. Harganya satu pinggan berapa ye?.....RM tak ingat tetapi OK lah.


Tumbuhan herba daun Kadok merupakan khazanah dari negara kita yang perlu dimunafaatkan. Pihak tertentu perlu membuat kajian dengan lebih berkaitan varieti, kaedah pembiakan, pekej amalan teknologi tanaman, amalan agronomi, pengurusan lepas tuai, sistem pemasaran dan yang paling utama ialah teknologi pemprosesan. Kalau moyang kita telah menggunakan kadok dengan yakin makin tidak mustahil pada masa akan datang kita akan dapat gunakan khasiat daun kadok dalam bentuk jus, ekstrak, pil, kapsul dan sebagainya. Kepada mereka yang berminat hendak tanam pokok kadok boleh mulakan dengan mendapatkan benih dari rakan-rakan atau saudara mara dikampong. Semuga amalan makan ulam daun kadok akan menyebabkan badan kita sentiasa sihat.


DAUN KADOK....BANYAK KHASIATNYA....
MUDAH DITANAM...MUDAH JAGANYA....
SEBAGAI ULAM....MACAM2 CARANYA....
TANAM BANYAK....DIJUAL UNTUNGNYA!...


By,
M Anem
Pct 11, Putrajaya,
Malaysia    

No comments: