Sunday, April 18, 2010

Pokok Sentang


Pokok Sentang (Azadirachta excelsa) merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Meliaceae iaitu spesis tumbuhan jenis berkayu dari kumpulan 'Mahohany' yang boleh ditanam untuk mendapatkan kualiti kayu yang baik. Dua spesis tumbuhan sentang yang dikenalpasti iaitu Azadiracta excelsa dan Azadiracta indica. Jenis sentang seperti A. excelsa (Dikenali sebagai pokok sentang) dan A. Indica (dikenali sebagai pokok mambu) sesuai tumbuh dinegara kita dengan baik. Tanaman Sentang merupakan sejenis tanaman yan pernah menjadi "Lagenda' kepada petani-petani di Malaysia pada tahun 1990'an sehingga 2000 dimana ramai pekebun-pekebun kecil yang menebang pokok durian, getah dan kelapa sawit untuk digantikan dengan tanaman sentang. Ini kerana terdapat beberapa syarikat yang telah berkempen yang lunak untuk menjual anakbenih sentang oleh pembekal-pembekal benih sentang. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman sentang untuk dijadikan bahan bacaan oleh semua.


Pokok sentang merupakan sejenis pokok malar hijau yang boleh mencapai ketinggian pokok sehingga 50 meter (150 kaki) dan ukuran lilit batang sehingga 4 meter (12 kaki). Batang sentang bulat dan tidak seragam bentuknya dari pangkal ke hujung dan tidak berbanir serta lurus. Kulit batang pokok yang berumur lebih 15 tahun berwarna coklat dimana kulit ari dalamnya kekuningan dan ada sifat merekah. Daun sentang berbentuk bujur 40-60 cm tersusun pada ranting pelepah. Sentang mengeluarkan buah seperti buah langsat bersaiz antara 2.5-3.5 cm panjang berwarna hijau ketika muda dan kekuningan bila masak. Biji sentang mempunyai bau seperti bawang putih sekiranya biji dipecahkan. Berat sekilogram biji sentang adalah antara 200-300 biji.


Sentang digunakan sebagai bahan kayu untuk pembuatan perabot kerana sifat Kayu Sentang yang sederhana keras dan warna yang menarik. Ketumpatan kayu yang sederhana dan warna coklat kemerahan suatu ciri yang membanggakan. Kadar perolehan kayu juga agak tinggi dengan permukaan ira kayu yang elok dan licin. Kekuatan kayu menyamai beberapa jenis kayu lain terutama sifat kelenturan, kekerasan dan tegasan. Kadar tumbesaran juga cepat dimana penghasilan kayu terawal diperolehi selepas 6 tahun penanaman. Kos penanaman dan penjagan juga tidak tinggi dan teknologi agronomi tidak sukar. Kayu Sentang termasuk dalam kategori Kayu Kelas C iaitu satu kumpulan dengan kayu Meranti, Nyatoh, Sepetir dan Kayu Getah. Kayu sentang terbukti mudah dikendalikan semasa kerja-kerja permesinan dan pengetaman untuk dijadikan perabut seperti Kerusi, Meja, Kabinet, Panel Dinding, Venir, Lantai, Tiang, Kerangka Rumah, Papan Lapis dan bahan ukiran.


Terdapat beberapa masaalah dalam penanaman sentang seperti masaalah pokok sentang yang tidak tahan kepada kelembapan dan air bertakung atau banjir. Dalam lawatan saya kekebun petani yang menanam sentang di Segamat dan Muar Johor mendapati pokok selaput tunggul mampu menyekat pertumbuhan tanaman sentang pada peringkat awal jika tidak dikawal. Pokok sentang perlukan program kawalan rumpai dan pembajaan asas seperti pokok kayu yang lain. Kawalan rumpai dengan kaedah manual (Tajak) atau kaedah semburan racun rumpai. Pembajaan menggunakan baja organan dan baja NPK 15:15:15 pada peringkat awal. Serangan musuh seperti anai-anai, kumbang, bubuk dan mikroorganisma seperti Kulat (Fungi) pada kayu sentang.


Kegilaan pekebun kecil pada masa ini untuk menanam sentang sudah reda. Mereka mendakwa penanaman sentang 'indah khabar dari rupa' apabila banyak kebun yang tidak meneruskan penanaman sentang di sekitar Negeri Johor kerana sukar untuk menjual bahan kayu sentang yang dijual dengan jumlah yang sedikit. Terdapat ramai petani yang menebang pokok sentang mereka dan digantikan dengan tanaman lin seperti kelapa sawit, pisang, getah dan sebagainya. Mungkin pelan lebih tersusun perlu dibuat untuk program penanaman sentang dikomersialkan. Pekebun kecil mungkin menunggu masa yang lama (Minima 6 tahun - sedikit yang boleh dituai) dan harga pasaran tidak menentu menyebabkan pekebun2 kecil lebih waspada dengan penanaman pokok sentang.

PANTANG DENGAR... POKOK SENTANG....
BEREBUT NAK TANAM...TANPA KURANG....
SUDAH TANAM  ... HATI MERADANG...
DIHARAP UNTUNG....RUGI YANG DATANG...
KATANYA LAMBAT... BARU BOLEH TEBANG...

TEKNOLOGI SENTANG... PERLU DI KEMBANG...

By
M Anem
Kg Jementah, 

Segamat,
Johor
Malaysia

(Kemaskini blog pada 27 Febuari 2013)

No comments: