Wednesday, November 26, 2014

KELAPA - BUAT KELAPA TELUR

ISI KELAPA TELUR merupakan satu produk proses yang dihasilkan dengan teknik betul untuk minum air kelapa muda terutama Kelapa Pandan (Cocos nucifera). Isi Kelapa Telur atau juga ada yang panggil 'Kelapa Botak' selalunya akan disediakan dengan teknik yang perlukan tahap kemahiran khusus kerana mereka yang tidak mahir akan merosakkan isi lembut kelapa tersebut dan tidak dapat digunakan. Penulis baru-baru ini berpeluang dan membuat serta melihat satu demonstrasi dan membuat sendiri isi kelapa telur daripada kelapa pandan di Pusat Pembangunan Komoditi, Teluk Baru, Bagan Datok, Perak. Walau pun pada mulanya ia seakan mudah untuk melakukannya tetapi daripada latihan hands-on yang dibuat oleh 5 orang rakan hampir 75% mereka gagal melakukannya kerana isi kelapa pecah dan airnya bocor keluar dan tidak boleh digunakan sebagai 'kelapa putih telur'. Melihat kepada pembuat yang professional, antara faktor penting dalam membuat produk ini adalah ketelitian ketika memasukkan alat khas tersebut kedalam tempurung kelapa pandan. Jika kurang teliti dan terpotong sehingga alat itu menembusi ruangan dalam maka air akan keluar. Produk ini amat popular di negera Thailand dan dijadikan sebagai hidangan istimewa dihotel-hotel dengan rasa yang amat enak untuk menghilangkan dahaga. Selain daripada airnya yang manis dan harum seperti air pandan, isinya juga boleh terus dimakan dan amat mengenyangkan. Hidangan produk ini yang dihias dengan bendera dan sekaki payung memang amat cantik dan kreatif (Sila lihat foto diatas). Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" satu teknologi mengenai bagaimana membuat kelapa putih telur daripada demonstrasi yang dijalankan.


Pemilihan biji kelapa pandan yang tepat adalah penting sebelum membuat kelapa telur. Jika biji kelapa yang dipetik terlalu tua menyebabkan isinya sudah keras dan sukar untuk dibuat proses kelapa telur. Sebaliknya jika biji kelapa terlalu muda masih belum ada isi dan memang TIDAK BOLEH untuk dibuat kelapa telur atau pun jika isinya terlalu nilis juga tidak sesuai dipilih. Sebaiknya biji kelapa dipetik sesuai dengan ketebalan isi sekitar 3-5 mmdan sederhana lembut. Mula-mula tanggalkan biji kelapa dari tangkai tandan dan potong bahagian bawah dan atas biji kelapa menggunakan parang tajam. Bahagian bawah kelapa diratakan sementara dibahagian atas biji kelapa dipoting dengan bentuk tirus untuk dijadikan alas kelapa telur nanti (Sila lihat foto disebelah). Potongan bahagian atas hampir separuh dari biji kelapa (50%) untuk membolehkan kerja memisahkan isi putih kelapa dengan tempurungnya. Biji kelapa perlu diletakkan diatas meja yang kuat dengan ketinggian paras pinggang untuk memudahkan kerja. Pastikan meja tersbut dan alatan yang hendak digunakan adalah bersih dan hygenik. Ini kerana jika ada kekotoran akan menyebabkan pencemaran kerana kelapa telur akan dihidangkan segar terus dari ladang untuk menjamin kualiti dan aromanya. Bagaimana pun pengusaha komersil akan menyediakan bilik sejuk untuk penyimpanan sebaik sahaja ia selesai dibuat.


Alat Khas mengeluarkan isi putih kelapa pandan ini adalah unik dan jarang kita jumpa. Alat ini dipanggil 'Pisau Tanduk Kerbau" yang lembut tetapi ia amat tajam dan elastik (Sila lihat foto disebelah). Tanduk Kerbau (Bubalus bubalis) jantan yang telah matang sesuai diambil untuk dijadikan piau yang unik ini. Tanduk kerbau ini dipotong sepanjang 6-7 inci dan di potong selebar 1 inci sebelum di kikis dan dibentuk pisau tajam. Dibahagian pangkal pisau agak tebal tetapi dihujung pisau lazimny nipis sahaja dan ia mudah melentur sendiri tetapi tidak patah kerana ia adalah elastik. Hujung pisau lazinya berbentuk separuh bulat dan tidak tirus kerana ia akan membantu semasa proses memisahkan isi putih kelapa dengan tempurung. Pisau ini lazimnya tahan lama jika dijaga dan disimpan dengan baik. Saya tanya pembuat demo bagaimana dia dapat pisau ini. Katanya ia diwarisi oleh datuknya yang memang telah lama menggunakan pisau ini untuk menyediakan kelapa telur semasa kenduri dikampongnya. Bagaimana pun kepada mereka yang pergi Thailand boleh membelinya dari penjual disama dengan harga sekitar RM15.00 - RM20.00 satu unit. Pisau ini juga boleh kita beli dibeberapa kawasan di Filipina dan Indonesia terutama dilokasi yang ada banyak kerbau dan tanaman kelapa.


Pisau lembut ini akan di tusuk ditepi kulit tempurung kelapa dan dilakukan dengan berhati-hati. Kerja menusuk pisau tanduk kerbau tidak boleh menembusi isi putih kelapa kerana ini menyebabkan air kelapa akan terpancut keluar jika bocor. Setelah semua isi kelapa tanggal dari tempurung maka isi putih kelapa telur ini dikeluarkan dan dipisahkan dari tempurung (Sila lihat foto demo yang dibuat disebelah). Bersihkan kulit tempurung yang terlekat pada isi putih dengan pisau tersebut sehingga semuanya putih bersih dengan mengikisnya. Permukaan tempurung kelapa boleh diratakan dengan paang atau pisau biasa untuk menstabilkan kita meletak kelapa telur nanti diatasnya. Kelapa putih yang siab bulat dibasuk dengan air bersih sebelum dibalut dengan plastik pembalit nipis. Ini bertujuan untuk menjaga kebersihan dan mengelakkan kelapa telur pecah atau bocor jika jatuh. Lapisan plastik juga dapat mencantikkan dan ia akankelihatan berkilat dan menaikan selera kita untuk meminumnya. Susun kelapa telur diatas bekas tempurung asal tadi dan hiaskan dengan payung, bendera negara atau apa-apa jua hiasan lain seperti bunga orkid dan sebagainya (Sila lihat foto dibawah). Saya minum 2 biji kelapa ini dan makan isinya selepas itu kenyang dan tidak perlu makan tengahari lagi. Berapa harga sebiji?... Ia bergantung kepada dimana kita mendapatkannya dan kalau dihotel 5 bintang diminun tepi kolam sambil melihat orang mandi.. agak-agak sajalah harganya. Saya dapat minum kelapa pandan segar menghilangkan dahaga!. Syukur!.


KELAPA PANDAN.... WANGI BAUNYA...
DIBUANG KULIT...KELAPA BOTAKNYA...
PISAU TANDUK KERBAU...MACAMANA...
BUAT SENDIRI... MACAM BERNIAGA...

By,
M Anem,
Senior Agrononist,
Pusat Pertanian Teluk Baru,
Bagan Darok, Perak,
Malaysia.
(11 Muharam 1436H) 

4 comments:

Unknown said...

Boleh bantu dimana saya boleh dptkan pisau untuk keluarkan isinya ya

admin said...

coba tengok di sini http://indonesian.alibaba.com/product-tp/buffalo-horn-knife-50028837672.html

Liklan said...

Boleh bantu dimana saya bisa dapat bibit kelapa pandan wangi tulen? Lebih baik jika ada email atau whats app yang bisa saya hubungi karena saya di jakarta.

admin said...

http://bibitonline.com/produk/kelapa-pandan-wangi-thailand

http://item.blanja.com/item/jual-beli-tanaman-buah-kelapa-pandan-wangi-60cm-13916694

http://olx.co.id/iklan/bibit-kelapa-pandan-wangi-f1-original-hibrid-thailand-ID6weUn.html