Tuesday, September 23, 2014

KUNYIT - KHASIATNYA


KUNYIT (Cucuma domestica) adalah sejenis tanaman umbisi dari keluarga Zingiberaceae. Tumbuhan ini dipercayai telah lama ditanam di India sejak zaman silam lagi dengan nama kunyit ini wujud dalam bahasa Sanskrit. India dan Indo-Malesia dianggap dari Cochin-China dengan terdapat rekod dari ekspedisi Marco Polo. Nama kunyit boleh didapati dalam berbagai bahasa di Asia. Dalam Sanskrit dipanggil Harida, Arab (Kukum), Tamil ( Manjal), Inggeris (Tumeric), China (Kiang-hoang) dan dalam bahasa Jawa (Kunyir). Daripada perkataan Arablah kita dapat sebutan Latin iaitu nama 'Curcuma' dan diberi nama latin sebagai Cucuma domestica. Tanaman kunyit di Malaysia ditanam seluas 154 ha (2006) menurun kepada 79 hektar (2009) dan dianggarkan seluas 70 hektar pada tahun 2013 dengan anggaran hasil sebanyak 610 metrik tan. Nilai pengeluaran hasil dianggarkan sebanyak RM 1.64 juta. Kunyit hanya banyak di tanam dibeberapa negeri seperti di Johor, Selangor , Negeri Sembilan dan Sabah. Hampir 40% tanaman kunyit adalah di Negeri Selangor terutama dibebarapa kawasan tanah gambut untuk pasaran segar sahaja. Maklumat penanaman kunyit secara monokrop komersil yang luas jaramg dijumpai kerana kebanyakan petani menanam kunyit secara kecil-kecilan. Kunyit merupakan tumbuhan herba saka tetapi ditanam sebagai tanaman tahunan. Tingginya boleh sampai 1 meter berbatang pendek dan daun-daunnya berjumbai. Pelepah-pelepah daunnya membentuk batang. Ubi utamanya dipanggil rizom, bulat panjang mempunyai tunas-tunas cabang berkembang membentuk anak-anak ubi sisi yang mempunyai gelang-gelang rapat. Bahagian rizom dan ubi sisi inilah yang digunakan sebagai rempah-rempahan. Ubi sisi ini bercabang-cabang lagi sehingga keseluruhannya membentuk suatu rumpun. Bekas-bekas akar nampak jelas pada ubi-ubi sisi ini yang berwarna jingga kecoklatan dari luar. Pada bahagian dalamnya berwarna jingga terang atau agak kuning. Rasa ubi ini agak pahit dan getir dengan bau yang khusus. Ia berbunga di hujung batang dan panjangnya 10 - 15 sm. Daun-daun pelindung bunganya berwarna putih atau putih bergaris-garis hijau atau merah jambu di hujungnya manakala yang terletak di bahagian bawah hijau muda. Bunganya putih atau kuning pucat dan mekar atau kembang bersama-sama. Artikel ini ditulis dalam untuk 'Anim Agro Technology' memberikan khasiat berdasarkan dari pembacaan penulis sbagai bahan bacaan dan rujukkan anda.


Banyak kajian menjurus menyatakan bahawa kunyit adalah bahan semulajadi didalam kemampuannya dalam melawan penyakit kanser. Laporan analisa daripada beberapa pusat penyelidikkan seperti kajian dari Universiti California Los Angeles mendapati enzim yang menyebabkan kanser di dalam badan pesakit dapat dikurangkan dengan kunyit dan serta dapat menghalang pembiakan sel-sel kanser. Cara aplikasi bergantung kepada tahap serangan atau seperti dinasihatkan oleh pakar makanan dan pakar perubatan. Kunyit juga didakwa sebagai berpotensi sebagai ejen penghalang bengkak. Kajian yang dilakukan oleh Dr. Randy J. Horwitz iaitu seorang doktor perubatan dari Pusat Integrasi Perubatan Arizona USA mendapati penggunaan kunyit sebelum rawatan dijalankan dapat mengurangkan simptom sakit sendi seperti arthritis rheumatoid. Di negara kita kunyit banyak dijual dipasar basah, pasar tani, pasar malam, kedai runcit dan sebagainya. Harga kunyit agak stabil sepanjang tahun dan jarang menhgadapi masaalah pengeluaran dan pembesaran.

Khasiat ke 3 mengenai kunyit adalah kerana kehebatannya sebagai bahan antioksidan yang memang berkuasa (Power punya!). Kajian yang dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Maryland USA mendapati kunyit mempunyai bahan antioksidan iaitu bahan dinamakan Curcumoid yang mampu menghalang tindakan radikal bebas daripada terus merosakkan sel-sel badan yang menyebabkan pembengkakan atau keradangan. Bagaimana pun tidak ramai tahu mengenai perkara ini. Kunyit boleh meningkatkan paras antibodi di dalam badan manusa. Selain itu kunyit boleh meneutralkan kesan radikal bebas yang menyebabkan penyakit, kemudian merangsang mekanisme antioksidan semulajadi di dalam badan. Kunyit membantu meningkatkan fungsi dalam otak dan memori manusia yang serang mengambil bahan kunyit dalam menu hariannya. Dilaporkan kebanyakan penyakit yang dikaitkan dengan memori adalah berpunca dari pengurangan bilangan sel-sel otak yang berhubung dan penurunan tahap hormon peningkat memori otak. Kunyit juga didakwa mampu meningkatkan kembali hormon peningkat memori dimana seterusnya meningkatkan penambahan bilangan sel-sel otak dan mengurangkan risiko mendapat nyanyuk. Kunyit kini didakwa sangat bermanfaat untuk mengurangkan kemurungan. Satu kajian ke atas 60 orang pesakit kemurungan mendapati kunyit lebih efektif untuk memulihkan masalah kemurungan berbanding penggunaan pil anti-kemurungan seperti prozac. Khasiat kunyit perlu dikajia secara serius di Malaysia.

Seterusnya ke 7 adalah khasiat kunyit dalam ia menyokong fungsi hati yang terus sihat.
Saintis juga mendapati kunyit membantu meningkatkan aliran rembesan jus hempedu supaya ia meningkatkan keupayaan hati untuk memecahkan toksin yang berada di dalam perut. Ia juga bermanfaat sebagai bahan detoksifikasi hati yang seterusnya membantu mencernakan lemak dengan berkesan. Kunyit mampu memperlahankan proses penuaan (ageing factor) yang signifikan untuk manusia. Lazimnya kunyit adalah bersifat antioksidan dimana ia juga boleh membantu mengurangkan proses penuaan dengan menghalang tindakan radikal bebas daripada terus menerus dalam merosakkan sel-sel badan yang menyebabkan kesan penuaan jelas kelihatan terutamanya pada kulit wajah. Ada juga ke10 laporan menganai kunyit dimana ia membantu menstabilkan paras gula dalam darah. Ini menjadikan bahawa kunyit boleh membantu pesakit diabetis. Menurut kajian yang diterbitkan di dalam Jurnal Penjagaan Diabetis dan Jurnal Pertubuhan Diabetik Amerika Syarikat mendedahkan bahawa ekstrak kunyit mampu menghalang peningkatan diabetis tahap 2 di kalangan populasi pra-diabetik setelah mengambil kunyit selama 9 bulan. Bahan aktif curcumoids di dalam kunyit mengurangkan pembentukan lemak pada dinding arteri yang menghalang aliran darah di dalam arteri. Hasil kajian ada menunjukkan kunyit dapat mencegah kita daripada pelbagai penyakit. Kita sering mengambil mudah apabila menyebut tentang khasiat kunyit kerana mungkin bahan ini sering kita temui di dapur.

Di Malaysia terdapat beberapa spesies kunyit liar yang kebanyakannya digunakan sebagai bahan ubatan tradisional. Antaranya ialah temu pauh (Curcuma mangga), temu emas (Curcuma zeodoria), temu putih (Curcuma auriantica), temu hitam (Curcuma aerugtinosa) dan temu lawas atau temu lawak (Curcuma xanthorthiza). Lazimnya, kunyit banyak digunakan sebagai bahan ramuan dalam penyediaan ubat tradisional. Masyarakat kampung menggunakan perahan air kunyit bersama madu lebah dan minyak lenga untuk menyembuhkan bengkak hati. Tidak ketinggalan, kunyit berserta ramuan-ramuan lain juga digunakan untuk mengubati bengkak gusi, sakit dada dan perut, gangguan haid, dan melancarkan aliran darah. Sebatian kimia daripada kunyit juga telah dibuktikan dapat digunakan sebagai ramuan penghalau serangga seperti kumbang beras, anai-anai dan lipas. Di sebalik keistimewaan kunyit sebagai bahan masakan, pakar-pakar dan hospital ternama di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah memberi perhatian tentang kehebatan herba ini. Tahukan anda keistimewaan kunyit terletak pada ekstrak pigmennya yang memberikan warna kuning kepada kunyit?. Prof. Gerard Bodeker berkata, kunyit diperakui oleh pakar dan hospital ternama di Amerika Syarikat dan Eropah untuk mengubat pelbagai jenis penyakit. Pigmen yang begitu besar khasiatnya dan berupaya mengubati pelbagai jenis penyakit dikenali sebagai curcumin.

Curcumin ialah bahan aktif utama yang mampu menguatkan sistem imunisasi atau pertahanan badan daripada serangan penyakit. Ia juga dikenali sebagai bahan penyembuh terbaik dalam dunia perubatan tradisional dan moden. Sebiji pil daripada ekstrak curcumin seolah-olah mengambil 20 sudu teh serbuk kunyit. Pakar perubatan dari Pusat Kanser Texas turut mendapati, curcumin ada anti oksida yang mampu meneutralkan radikal bebas dan menjadi punca kepada penyakit barah. Terdapat beberapa radikal bebas iaitu bahan kimia yang meresap ke dalam darah dan merosakkan sel dalam badan. Justeru, curcumin yang mengandungi komponen bioaktif polyphenol dapat membantu mencegah tanda awal barah. Kajian menunjukkan kunyit memang mampu dan sesuai dijadikan makanan kesihatan dan juga sebagai komoditi yang menguntungkan jika diusahakan dengan betul. Wasalllam!.

KHASIAT KUNYIT... BANYAKNYA...
PENYAKIT...KANSER ANTARANYA...
DIJADIKAN SERBUK...SENANG GUNA...
BACA ARTIKEL... HATI TERBUKA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(19 Syaaban 1435H)

No comments: