Monday, August 25, 2014

MENANAM RUMPUT PASTURA (Part 1)

RUMPUT PASTURA (Pastures grass) merupakan tanaman jenis rumput untuk kegunaan haiwan ternakan yang ditanam dikawasan padang ragut. Penanaman rumput pastura sebaik-baiknya dilakukan pada awal musim hujan. Oleh itu adalah penting kita mengetahui taburan hujan di satu-satu kawasan   sebelum penanaman rumput pastura dilakukan. Di Malaysia penanaman rumput pastura dilakukan dikawasan kebun milik penternak sendiri atau di kawasan Khas Padang Ragut yang dikhaskan oleh kerajaan. Kawasan khas padang ragur yang dikhususkan kepada penternak lazimnya diuruskan oleh kelompok penternak sendiri dikawasan yang agak luas diseluruh negara. Kawasan perlu ditanam hanya dengan rumput pastura bukannya tanaman lain yang memang tidak dibenarkan. Hanya beberapa padang ragut milik kerajaan dan Institusi sahaja di negara kita yang kelihatan 'padang ragur sebenar' seperti di padang ragut JPV, UPM, Taman Pertanian Moden Kluang, Stesyen2 MARDI dan beberapa lagi. Padang ragut uang diuruskan oleh kumpulan penternak agak kurang kelihatan sebagai padang ragut komersil. Penyediaan tanah untuk padang ragur perlu diselesaikan sebelum menanam seperti membajak tanah, menggali sistem perparitan, kolam takungan air, jalan lkadang, pagar keliling dan sebagainya. Bagi memastikan kelembapan yang mencukupi dan sesuai perlukan untuk pencambahan atau pertumbuhan rumput pastura yang berkesan makan sistem pengairan mengunakan "Irrigator" dan "sprinkler" boleh dipasang. Ia sangat membantu untuk mendapatkan kelembapan yang baik tanpa terlalu bergantung kepada hujan. Artikel malam Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai aktiviti menanam rumput pastura berdasarkan pemerhatian dan lawatan kekawasan padang ragut di beberapa negeri.


Menanam rumput pastura memerlukan kemahiran asas. Lazimnya kadar kuantiti biji benih sehektar atau pun jarak untuk menanam perlu diberi perhatian kerana faktor ini akan menentukan pertumbuhan dan kepadatan yang baik serta mengelakkan pertumbuhan rumpai yang tidak diingini. Penulis mendapati ada 2 cara menanam rumput pastura iaitu dengan (1) Mengunakan biji benih dan (2) Menanam secara tampang/keratan batang. Kaedan menanam mengunakan bijibenih memerlukan kuantiti biji benih yang diperlukan bagi sehektar bergantung kepada jenis, kualiti dan cara menanam. Jika peratus percambahan baik, kadar yang digunakan adalah kurang dan begitulah sebaliknya. Kadar kuantiti biji benih beberapa jenis rumput dan kekacang (sekiranya kualiti biji benih digunakan adalah baik serta telah disimpan dengan sempurna) iaitu Benih rumput dan juga Biji benih rumput (seeds). Kadar semaian bagi jenis rumput Kuda/Guinea (2 - 6 kg/ha), rumput Para (2 - 6 kg/ha), rumput Setaria (2 - 5 kg/ha). rumput Brachiaria decumben (3 - 6 kg/ha) dan rumput Brachiaria humidecola (5 - 7 kg/ha). Kadar tersebut di atas adalah sesuai jika biji benih tersebut betul-betul bermutu tinggi dimana peratus percambahannya lebih kurang 60 %. Jika percambahan rendah iaitu kurang daripada 30 % maka lebih baik kadar diatas diberi 2 kali ganda untuk ditanam didalam kawasan yang hendak ditanam.

Jenis tanaman rumput pastura campur kekacang adalah digalakkan untuk ditanam (Sila lihat foto kawasan pastura disebelah)Tujuan menanam kekacang bersama dengan rumput bermutu adalah untuk mengurangkan kos membaja, Kekacang mempunyai bintil-bintil akar yang boleh mengikat nitrogen diudara iaitu anggaran 50-250 kg/hektar/tahun. Tujuan lain adalah untuk memastikan kadar protein kasar (crude protin) kekacang adalah lebih tinggi daripada pastura. Dengan adanya kekacang didalam pastura dapat meningkatkan peratus nilai protin kasar, bererti menambah kelazatan dan ini akan menambahkan pengambilan bahan kering oleh ternakan. Ada beberapa cara menanam rumput bermutu bercampur kekacang. Jika kedua-duanya ditanam dengan biji benih maka kekacang boleh ditanam bersama rumput dalam baris yang sama atau kekacang boleh ditanam diantara baris rumput. Setiap 2-3 tahun mengikut keadaan, biji benih kekacang perlu ditabur dipetak campuran untuk memperbaiki peratus kandungan kekacang. Ini kerana kadar pertumbuhan kekacang adalah lambat berbanding dengan rumput dan kesuburan rumput boleh menyekat perkembangan kekacang, malah boleh menghapuskan sama sekali sekiranya tiada usaha dibuat untuk memperbaiki keadaan.

Rumput MARDI Digit (Digitaria setivalva) merupakan antara jenis rumput pastura yang sesuai ditanam dalam kebun pastura. Rumput ini berasal dari Afrika Selatan, sejenis rumput yang bersetolon. Tumbuhan yang bertompok-tompok dan batang yang tegak seperti serai, buku ruas mempunyai sedilit bulu halus. Stolon pada mulanya tumbuh tegak tetapi kemudian rebah dan menjalar seperti stolon biasa. Batang dan daunnya lembut dan bolih tumbuh setinggi 30 -50 cm. Kajian mengenai potensi hasil bahan kering sebanyak 16-23 tan/ha/tahun jika dijaga dengan baik. Kandungan protein kasar 9.0 % yang amat sesuai untuk ragutan ruminan. Ia sesuai dibiak dengan keratan rumpun walaupun terdapat sedikit biji benih yang subur.
Sesuai ditanam pada semua jenis tanah terutamanya jenis tanah gambut.

Rumput Kuda atau Rumput Guinea (Panicum maximum) juga jenis rumput pastura yang sesuai ditanam. Rumpit ini mempunyai ketinggian diantara 1.5-2 m dari paras tanah yang mempunyai daun berwarna kehijauan (Sila lihat foto disebelah). Penulis dapati terdapat beberapa jenis rumput ini iaitu Rumput kuda biasa, Green panic, Hamil, Coloniao dan Makuaene. Bagaimana pun di Malaysia jenis yang biasa ditanam ialah 'Guinea biasa' dan jenis 'Hamil' sahaja kerana hasil yang tinggi sepanjang tahun. Rumput ini boleh menghasilkan bahan kering sebanyak 20-26 tan/ha/tahun (dengan jarak pemotongan 6-8 minggu) dan juga 
dengan kadar pembajaan 200-400 kg N/ha/tahun  dimana ia mempunyai kandungan protein kasar sekitar 11.9 %. Ia juga tahan pada musim kemarau yang panjangdan memerlukan iklim yang lembab untuk hidup subur. Ia tahan naungan seperti dibawah kawasan tanaman kelapa dan tanaman utama yang masih muda bagaimana pun tidak sesuai dikawasan air bertakung. Artikel ini bersambung pada Part 2, Part 3 dan Part 4 untuk dibaca. Wasallam!.

MARDI DIGIT...RUMPUT PASTURA....
SESUAI DITANAM...MERATA-RATA...
JENIS LAIN...GUINEA NAMANYA...
NAMA LAIN ...IA RUMPUT KUDA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Padang Ragut TKPM Lubuk Bakuul,
Pagoh, Muar,
Johor, Malaysia.
(11 Syawal 1435H)

No comments: