Friday, August 29, 2014

MADU ASLI - KENALI DIA (Part 1)

MADU LEBAH ASLI (Natural Honey Bee) yang berkualiti tinggi amat sukar ditemui terutama ketika zaman moden ini. Adakalanya madu lebah yang terdapat di pasaran dicampur dengan bahan-bahan lain hanya semata-mata untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda tanpa memikirkan kesan terhadap pengguna. Kajian oleh Persatuan Perlebahan Kebangsaan Malaysia pernah menyatakan bahawa lebih 60% bekalan madu lebah di pasaran merupakan madu tiruan atay madu sintetik yang menjejaskan kesihatan kepada pengguna. Terlalu ramai kurang tahu dikalangan pengguna untuk kenal dan tahu diantara medu asli dengan madu tiruan yang dijual. Kalau anda kepasaraya dan melalui ruangan jualan madu lebah, saya fikir anda tidak dapat kenal sama ada madu lebah yang dibeli itu asli atau tiruan. Teknik membuat madu lebah adalah mudah dan boleh disediakan madu tiruan seakan sama dengan madu asli. Perbezaan madu lebah asli dan madu lebah tiruan adalah perlu diketahui dengan memerhatikan perkara berikut. Madu lebah campuran selalunya dikatakan mengandungi kandungan gula sukrosa yang rendah. Madu lebah sintetik mengandungi kandungan HMF melebihi 80 miligram perkilogram madu. Memang amat sukar untuk membezakan antara madu lebah asli dan madu lebah tiruan melainkan menerusi ujian makmal. Bagi mereka yang biasa makan madu lebah asli dengan sendirinya dapat membezakan rasa madu lebah tiruan. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai madu asli dan cara untuk kita mengenalinya. 


Kandungan dalam madu lebah adalah terdiri daripada berbagai unsur-unsur penting dengan jumlahnya yang ideal dengan tubuh manusia. Daripada beberapa rujukkan penulis mendapati antara kandungan dalam madu lebah adalah seperti Kalsium (Ca), Phosphor (P), Natrium (Na), Thiamin, Niacin, Riboflavin,  Potassium, Iron dan juga unsur Zink. Di samping itu, gula dalam madu lebah (glukosa dan fruktosa) merupakan gula ringkas (simple sugar, monosacharide) yang mana apabila di makan seketika akan terus diserap oleh darah sehingga menimbulkan tenaga secara spontan. Berbeza dengan gula biasa atau madu lebah tiruan yang merupakan gula kompleks (polisacharide) yang tidak langsung dapat diserap oleh darah, kerana harus dirubah menjadi gula ringkas dengan cara pemprosesan oleh hati yang akan mengakibatkan kerosakan hati (sel herpa) apabila melebihi dos biasa. Ciri-ciri kimia madu lebah adalah madu lebah mengandungi asid amino (0.05-0.1%) dan asid organik (0.57%, julat 0.17-1.17%). Purata indek pH bagi madu adalah 3.9 (dengan julat tipikal 3.4-6.1). Kajian yang dilakukan di USDA (U.S Department of Agriculture) mendapati madu terbahagi kepada 7 warna asas iaitu putih, kuning cair, kuning pekat/jingga, oren kecoklatan, coklat dan hitam. Namun, warna madu bukanlah penunjuk yang tepat bagi menguji gred madu kerana ianya dipengaruhi oleh jenis dan ciri sesuatu bunga yang mempunyai kandungan mineral dan komponen-komponen organik tertentu di dalamnya.


Khasiat madu lebah memang telah diketahui manusia sejak dari dulu lagi. Madu lebah telah dijadikan sebagai bahan minuman untuk kesihatan. Oleh yang demikian, pengamalan makan madu lebah boleh memberikan khasiat kepada pengamalnya. Pengamalan madu lebah asli yang berterusan dapat mencegah penyakit kepada pengamal madu lebah asli. Di antara penyakit yang dapat dicegah dengan mengamalkan pengambilan madu lebah asli adalah seperti masaalah Asma, Haid, Resdung, Alahan, Jerawat, Rambut gugur, Barah, Letih, Sakit kepala, Buasir, Lendir kahak, Sakit pinggang, Batuk kering, Lemah jantung, Sakit sendi, Batuk, Mata, Sukar tidur, Darah Tinggi, Pening, Gastrik dan juga sebagai Penyeri muka. Selain penyakit di atas, masih banyak lagi khasiat madu lebah yang perlu kita ketahui. Khasiat madu lebah yang perlu diketahui adalah dimana madu lebah dapat menambahkan stamina dan membekalkan tenaga. Madu lebah boleh dijadikan sebagai sumber tenaga dan dapat meningkatkan metabolisme tubuh. Madu lebah mengandungi agen antioksidan yang boleh mengurangkan aktiviti yang memusnahkan sel dimana ia juga dapat melancarkan peredaran darah.  Ia jugga didakwa boleh melancarkan sistem pencernaan dan dapat meningkatkan semangat seksual atau tenaga batin. Madu lebah juga boleh digunakan sebagai mengubati luka-luka dan memang sesuai untuk kecantikan dan menjadikan kulit lebih licin dan halus.


Madu lebah berupaya bertindak sebagai bahan pengawet atau 'Antimicrobial'. Penyelidikan ilmiah menunjukkan madu lebah dapat mengawetkan buah-buahan dan sayuran daripada enzim yang boleh mengakibatkan ianya berubah kecoklatan dan rosak. Aktiviti antibakteria yang terdapat pada madu lebah ini adalah disebabkan kewujudan hidrogen hidroksida (agen pembunuh bakteria) dan organik antibakteria. Ia juga sebagai agen 'Antioxidants' dimana madu lebah mengandungi pelbagai fitokimia ‘phytochemicals’ seperti asid organik, vitamin dan enzim yang sememangnya merupakan sumber diet yang penting bagi proses antioksida. Jumlah dan jenis antioksida adalah bergantung kepada kekuatan saripati madu lebah itu sendiri dan sumber bunganya. Biasanya, lebih gelap warna madu lebah menunjukkan lebih tinggi kandungan antioksida berbanding madu yang berwarna agak cerah (kekuningan). Antioksida dalam madu lebah mampu menghapuskan bahan-bahan radikal yang menjadi penyebab utama kepada penyakit-penyakit kronik. Madu lebah sebagai 'Enzim' memainkan peranan penting dalam madu lebah yang menjadikannya sangat penting untuk pengubatan dan makanan yang berkhasiat tinggi. Sebagai contoh, glucose oxidase berfungsi menukar glucose kepada gluconolactone yang menghasilkan asid gluconic dan hidrogen peroksida. Ia juga bertindak sebagai 'Pro-Biotic' dimana campuran madu lebah bersama yogurt dan produk tenusu lain akan meningkatkan lagi aktiviti, pertumbuhan dan kegalakkan bakteria baik, bifidobacteria untuk melawan bakteria jahat bagi keseimbangan usus yang sihat. Artikel madu lebah ini bersambung pada Part 2 untuk dibaca. Wasallam!.

MADU LEBAH... MANA ASLINYA...
MADU TIRUAN... NAMPAK SAMA...
BANYAK KHASIAT...SUDAH CUBA...
BACA ARTIKEL...HATI GEMBIRA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Apiari Nasional,
Pusat Pertanian Sekayu,
Hulu Terengganu,
Terengganu, Malaysia.
(29 Syawal 1435H)

No comments: