Tuesday, July 1, 2014

KELAPA SAWIT - PEMBAJAAN (Part 1)

PEMBAJAAN KELAPA SAWIT merupakan satu aktiviti yang penting dijalankan demi mempastikan tanaman tersebut mampu hidup subur dan menghasilkan buah banyak dan berkualiti. Tanaman kelapa sawit (Elaeis guineensis) yang merupakan tanaman utama di Malaysia dan beberapa negara jiran lain untuk menghasilkan minyak masak dan pelbagai produk berasaskan kelapa sawit lain. Tanaman kelapa sawit mempu menghasilkan buah sebanyak 2.5 metrik tan sehektar pada waktu puncak atau lebih lagi jika diuruskan dengan baik melalui sistem pembajaan dan kawalan musuh dan penyakit dengan baik. Apalah maknanya jika hasil buah kepala sawit hanya dicapai kurang dari satu tan sehektar akibat tidak dibuat pembajaan dengan baik. Serangan musuh seperti tikus juga perlu dikawal dengan baik kerana keujudan tikus yang banyak diladang akan memakan dan merosakan buah-buah masak sehingga merugikan. Kadang-kadang berlaku pembaziran semasa membaja apabila baja yang baru ditabur dibawah pokok telah dihanyutkan oleh air hujan sebaik sahaja selesai proses pembajaan. Ini memang amat merugikan dimana kos harga baja kini bukan murah seperti dahulu. Kerugian 'surface run-off' baja yang baru ditabur ini merugikan dimana pokok tidak akan dapat bekalan baja sewajarnya. Pokok kelapa sawit adalah responsif terhadap aplikasi baja yang digunakan sama ada ianya baja kimia baik (Fast release fertilizer) atau baja   biasa (slow release fertilizer) atau juga aplikasi baja organik yang semakin popular masakini. Pembajaan merupakan satu dari komponen kos penanaman yang paling tinggi (50-60%) dalam sesuatu operasi ladang kelapa sawit. Banyak ladang besar dan pekebun kecil yang telah berjaya meningkatkan hasil melalui kualiti pembajaan yang baik. Artikel subuh ini saya menulis lagi dalam "Anim Agro Technology" mengenai amalan membaja kelapa sawit Part 1 dari 4 siri untuk bahan bacaan dan rujukan anda.

Aktiviti membaja diladang kelapa sawit dilakukan dengan jadual yang sesuai mengikut keperluan pokok mengikut umur pokok, jenis tanah dan keadaan cuaca dipersekitaran. Pada pemerhatian penulis dibanyak ladang besar (estet) dan pekebun kecil mendapati amalan membaja pokok kelapa sawit di negara kita diamalkan mengikut kemampuan masing-masing. Terdapat cara dimana beberapa ladang-ladang yang telah membelanjakan wang yang banyak untuk jenis baja yang difikirkan terbaik. Pengurus ladang membuat analisa tanah dan daun dan mengubahsuai kadar baja yang ditabur untuk meningkatkan kesan pembajaan yang optima. Bagaimana pun ada juga beberapa ladang dimana kaedah baik ini tidak memanfaatkan sebaiknya yang disebabkan kelalaian dan penyeliaan yang tidak sempurna atau menyeluruh di ladang. Terdapat pekerja ladang yang tidak jujur akan membuang baja dalam parit atau longkang jika tiada kawalan sempurna. Akibatnya pokok sawit tidak mendapat makanan sewajarnya untuk menghasilkan tandan buah yang berkualiti (Buah yang besar,berat dan kandungan CPO yang baik). Dalam banyak jenis tanah, kadar baja yang digunakan berbeza diantara tanah gambut, tanah mineral dan juga tanah berpasir atau tanah lempong (Sila baca kadar penggunaan baja mengikut jenis tanah - Sila klik disini). Baja yang dibeli sebaiknya digunakan dengan baik kepada tanaman kelapa sawit untuk meningkatkan hasil dan pendapatan.

Terdapat beberapa kesalahan yang dilakukan ketika membaja tanman kelapa sawit di negara kita. Pertama sekali adalah kaedah penaburan baja dengan tidak betul. Terdapat kes dimana baja tidak ditabur rata tetapi bertompok-tompok dalam bulatan pokok. Ini belum lagi baja yang dicuri atau dijual kepada pihak lain berkepentingan (Sila lihat foto sebelah) seperti apa yang berlaku pada beberapa Rancangan Tanah FELDA di Muar dahulu. Pihak berkuasa FELDA pernah membuat operasi mengesan penjualan baja bantuan FELDA yang sepatutnya untuk ditabur kepada pokok sawit sebaliknya baja-baja tersebut dijual kepada pihak lain sebaik sahaja dibekalkan kepada peneroka. Kes ini pernah dirujuk kepada pihak polis dalam membenteras kejadian ini dan kesian pokok kelapa sawit tidak dapat makanan mencukupi untuk pokok itu mengeluarkan hasil. Bagaimana pun setelah dibuat beberapa tangkapan didapati kes ini selesai. Kes seperti ini lebih kepada isu sosial dan bukan kepada isu teknikal pembajaan pokok kelapa sawit. Berkemungkinan peneroka tidak dapat menilai kepentingan pembajaan terhadap pokok sawit atau ada faktur tekanan mengenai keperluan duit cepat hasil jualan baja tersebut. Kes seperti ini mungkin menjadikan produktiviti sawit kawasan tidak berbaja menjadi rendah.

Pembajan kelapa sawit yang tidak betul boleh menyebabkan kerosakan pada akar tanaman dan mengundang kepada sebab kehilangan baja melalui air larian pada permukaan dan juga disebabkan oleh proses larut resap. Masa pembajaan tidak betul iaitu dilakukan pada musim kering atau pun pada musim hujan membolehkan perkara ini berlaku.
Saya dapati iaitu kadar baja tidak mencukupi terutama pada kawasan tanaman muda dan yang berpotensi untuk berhasil tinggi akibat daripada penyeliaan yang tidak sempurna (Sila lihat foto sebelah). Masaalah lain dalam pembajaan kelapa sawit adalah kerana berlaku ketidakseimbangan baja yang ditabur iaitu jenis baja ditabur tidak mengikut keperluan pokok. Oleh itu dipihak estet besar lazimnya mereka menjalankan analisa daun dan DRIS untuk mempastikan unsur nutrien apa yang kurang dan perlu diberikan melalui sistem pembajaan. Keadaan tanah mungkin perlukan unsur-unsur nitrien Mikro lain yang kurang selain daripada unsur NPK yang utama. Saya dapati berlaku keadaan dimana salah tempat perletakan baja. Kesuburan pokok diatasi secara mudah iaitu dengan cara kita dapat meningkatkan kadar baja berbanding dengan untuk memperbaiki sifat fizikal atau saliran tanah terlebih dahulu.
Pelepah pokok sawit yang belum matang kerap kali dicantas secara berlebihan menyebabkan baja yang ditabur banyak tertumpu untuk pembentukan vegetatif pokok berbanding untuk pembentukan bahagian reproduktif seperti bunga dan tandan buah. Bersambung pada Pembajaan Kelapa Sawit (Part 2). Wasallam!.
MEMBAJA SAWIT... AMAT PERLUNYA....
BAJA DITABUR....IKUT JADUALNYA...
ELAK MUSIM HUJAN...LARI BAJANYA...
HASIL TINGGI... PEKEBUN GEMBIRA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(19 Syaaban 1435H)

No comments: