Friday, May 30, 2014

EL-NINO : KESAN KEPADA SAWIT

FENOMENA El Nino yang dijangka berlaku dari JUN hingga OGOS 2014 dijangka akan memberi kesan kepada sektor pertanian negara termasuk untuk tanaman buah-buahan, sayuran serta tanaman industri seperti kelapa sawit. Tinjauan persendirian penulis mendapati kejadian El-Nino sebenarnya telah berlaku daripada bulan Febuari hingga Mac 2014. Ini dilihat semasa lawatan penulis pada minggu ke tiga Mac 2014 di Johor bersama Dr Joo Baek Lee (Pakar Korea) di Ladang Jambu Batu di Tangkak, Kelompok Sayur Bt 19, Sengkang dan Ladang Sayur Yongkah di Machap, Johor. Beberapa petani di Kg Solok menyatakan sudah dua bulan lebih tidak hujan menyebabkan kolam dan semua parit kering dimana buah dan bunga jambu tejejas penghasilannya sehingga 10-15% kerana saiz buah kecil dan ringan. Penanaman sayur daun oleh petani di Bt 19 Sengkang juga terhenti dibeberapa plot kerana tiada air termasuklah di kebun Tan Soo Tiok iaitu Pengerusi Persatuan Penanam Sayur Malaysia. Katanya kehilangan hasil sayur-sayuran ditanah gambut yang dialami melebihi 20%. Pengurus Ladang Sayur Yongkah Sdn Bhd pula menunjukkan kolam seluas 1.5 ekar diladang telah kering dan syarikat terpaksa membeli air dengan lori tangki untuk menyiram sayur jenis daun seperti sawi, bayam dan kangkong. Dalam kes kelapa sawit, diantara kesannya adalah dijangka pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pada 2015 dan tahun berkurangan jika El-Nino berlaku dalam tempoh masa ber­larutan untuk tempoh yang panjang. Pemehatian yang saya lakukan di seluruh negara mendapati kesan sebenar mungkin tidak begitu serius jika tidak dibuat kajian terperinci. Lazimnya saya dapati keadaan cuaca kering tidak akan memberi kesan kepada pengeluaran buah tandan segar (BTS) dalam masa terdekat. Didapati buat masa ini contohnya Syarikat Tabung Haji Plantation (THP) mencatat 23.86 tan metrik per hektar bagi pengeluaran BTS dan merupakan pencapaian terbaik bagi syarikat perladangan tersebut. Kini THP mempunyai 52,000 hektar kawasan perladangan di Sarawak yang mampu untuk mengeluarkan 44 peratus hasil sawit daripada keseluruhan hasil MSM. Cuaca panas kering tidak akan memberi kesan kepada pengeluaran BTS tetapi sekiranya berlanjutan dalam tempoh yang panjang, pengeluaran MSM akan terjejas di antara 10 hingga 15 peratus terutama pada 2015 dan 2016. Anggaran kehilangan hasil yang dinyatakan oleh Jabatan Pertanian (tidak rasmi) adalah sekitar 10-15% sahaja bergantung kepada jangkamasa kejadian El-Nino. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kesan El-nino terhadap tanaman kelapa sawit berdasarkan beberapa laporan akhbar dan kenyataan pengurus estet di Malaysia.


Fenomena El Nino yang mengakibatkan peningkatan suhu dan kekurangan taburan hujan berkemungkinan besar melanda dunia pada pertengahan tahun ini yang dijangka bermula antara Jun dan Ogos 2014. Impak El Nino kepada negara secara umumnya boleh menyebabkan jumlah hujan berkurangan terutama di Sabah dan Sarawak selain mengakibatkan cuaca menjadi lebih panas dan kering. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013, THP mencatat perolehan sebanyak RM470 juta, meningkat 25 peratus berbanding RM376 juta bagi tahun sebelumnya. THP kini telah menyasarkan untuk mencapai 1.3 juta tan metrik pengeluaran BTS menjelang 2017. Bank tanah THP juga meningkat tujuh kali ganda kepada 109,000 hektar dengan pengambilalihan PT Persada Kencana Prima awal tahun ini. THP memperuntukkan sebanyak RM105 juta bagi perbelanjaan modal (ca­pex) untuk pembangunan kilang pemprosesan buah sawit di Sarawak yang menampung kapasiti pengeluaran 324,000 tan metrik, dijangka siap penghujung 2015. Setakat ini, THP mempunyai tujuh kilang minyak sawit yang dapat menampung kapasiti pengeluaran sebanyak 1.35 juta tan metrik setiap tahun.


Bagi tanaman kelapa sawit yang ditanam dikawasan tanah gambut, penulis mendapati kesan El-Nino adalah lebih serius jika dibandingkan dengan tanaman kelapa sawit pada tanah mineral. Cuaca panas dengan tiada hujan menyebabkan sering berlaku kebakaran pada tanah gambut dengan mudah. Ini disebabkan ranting dan rumput yang tumbuh diatas tanah gambut sangat kering dan mudah terbakar sendiri yang menyebabkan pokok kelapa sawit mudah terbakar kerana tanah disekelilingnya terbakar (Sila lihat foto sebelah). Kebakaran pada tanah gambut amat sukar untuk dipadamkan kerana ia terbakar pada bahagian bawah tanah. Kalau pun kelapa sawit ditanam pada tanah gambur cetek, kesannya terhadap pengeluaran hasil amat ketara beberapa bulan kemudian. Tumbuhan ini mempunyai jeni  akar serabut yang cetek dan kekurangan air menyebabkan pembentukan buah dan pengisian yang rendah kadarnya. Langkah perlu oleh pengurus-pengurus estet dalam beberapa bulan ini penting untuk mengatasi masaalah El-Nino yang dijangka melanda Malaysia dan beberapa negara jiran. Pembersihan kawasan dari rumpai, penggalian parit-parit sempadan dan menyediakan kemudahan pemadaman api perlu dirancang dengan baik. Dianggarkan antara 10 - 15% hasil kelapa sawit akan berkurangan jika el-nino melanda negara kita tahun 2014 ini berdasarkan kajian oleh Pasukan Khas di Jabatan Pertanian Malaysia. Semuga artikel ini dapat menambah ilmu pengetahuan anda. Wasallam!.


EL-NINO... PANAS DAN KERING...
KURANG HUJAN...TANAH GERSANG...
HASIL TANAMAN... IA BERKURANG...
BERSEDIA...MACAM BERPERANG...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kebun Kelapa Sawit,
Parit Sikom, Pontian,
Johor, Malaysia.
(30 Rejab 1435H)

No comments: