Wednesday, April 30, 2014

MAKANAN MELAYU DULU



MAKANAN MELAYU dikampong masa dahulu banyak menggunakan bahan asas yang terdapat disekeliling mereka. Penduduk kampong menanam ubi kayu, padi, keledek, pisang, jagung, keladi, kacang tanah, serai, pucuk cekur manis dan banyak jenis buah-buahan tempatan dikeliling rumah atau dalam kebun berhampiran. Mereka walau pun tidak ada gaji besar tetapi mampu menyara ramai anak dan keluarganya kerana bahan mentah makanan diperolehi dengan murah dan berkhasiat. Lazimnya orang Melayu makan tiga kali sehari, iaitu dua kali makan nasi dan sekali makan sarap (sarapan). Sarapan bermakna makan sekadar tidak lapar pada awal pagi dan boleh bertahan bekerja sehingga waktu makan tengah hari. Bersarapan atau makan pagi ini biasanya dilakukan di rumah pada waktu pagi atau sebelum pergi ke ladang atau kebun atau sebelum nelayan pergi ke laut atau sebelum kita pekerja pergi ke pejabat atau sebelum kanak-kanak pergi ke sekolah. Inilah waktu makan pertama pada hari itu yang menghidangkan sejenis makanan sahaja untuk seluruh ahli keluarga. Antara jenis hidangan sarapan pagi masa dulu seperti Ubi Rebus (Sila lihat foto diatas), Keladi Rebus, Pisang Rebus, Kuih Keria, Kuih Karipap, Lempeng, Nasi Goreng, Nasi Lemak, Mee Hoon Goreng, Kuih Apam dan banyak lagi. Artikel petang Jumaat ini sempena cuti rehat saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai makanan orang kita zaman dulu untuk dijadikan bahan bacaan. 


Penduduk kampong menganggap fungsi sarapan sebagai pengalas perutdimana makanan tersebut mampu membekalkan tenaga. Orang Melayu zaman dahulu terutamanya suka makan sarapan mereka seperti pisang rebus yang mudah didapati dan dimakan dengan kelapa parut (Sila lihat foto sebelah). Makanan ini kaya dengan tenaga, gula dan tidak mengandungi kolesterol atau minyak. Pisang yang hampir masak dari jenis pisang Nipah, Pisang Nangka, Pisang Abu, Pisang Lang sesuai direbus untuk dijadikan sarapan pagi. Mungkin remaja zaman 2Y kurang minat makanan seperti ini tetapi bagi mereka yang ingin mendapatkan khasiat dan kesihatan sebaiknya boleh merebua atau mengukus sahaja pisang untuk dijadikan makanan sarapan pagi. Pisang Rebus juga sesuai dibawa ketempat bekerja kerana ia tidak mudah basi atau rosak. Ia boleh dibawa kekebun, ladang getah, tapak pembinaan, turun kelaut atau memandu lori.

Waktu makan yang kedua pula ialah  dinamakan 'Makan Tengahhari' selaras dengan waktunya dilakukan sejurus selepas waktu Zuhur bagi mereka yang berada di rumah. Bagi petani atau pesawah mereka akan makan tengahari dikebun atau di pondok sawah padi atau diatas sampan bagi nelayan sungai. Makanan untuk makan tengahari lazimnya Nasi Putih dengan beberapa jenis lauk tradisional. Antara lauk yang sering dihidangkan untuk makan tengahari dirumah seperti ikan goreng (Sila lihat foto nasi disebelah), ayam kampong goreng (sesekali), ikan kering, ikan air tawar dan berbagai jenis sayuran kampong. Antara sayur kampong popular seperti Sayur Pucuk Daun Ubi, Rebung Buloh MAsak Cili Api, Sayur Lemak Cekur Manis, Pakis Masak Air, Masak Kari, Labu Manis Masak Lemak, Kangkong Goreng, Pucuk Meranti dan pelbagai jenis ulam-ulaman. Ulam yang sering dimakan pada waktu tengahari zaman dulu seperti Terung Putih Kecil, Timun, Pucuk Daun Gajus, Jantung Pisang Rebus, Ulam Raja, Kacang Botor, Jering, Petai, Kerdas dan sebagainya. Bagi menyedapkan makanan waktu tengahari mereka juga makan Cencalok di Melaka dan Budu di Kelantan. Apa yang pasti adalah semua masyarakat makan sambal belacan. 

Pada petang hari pula lazimnya orang Melayu akan makan yang lebih dikenali dengan nama 'Minum Petang'. Aktiviti ini dilakukan sama ada dikebun atau dirumah dengan waktu sekitar selepas asar sehingga sebelum lewat petang. Lazimnya jenis hidangan untuk minum petang agak berbeza dimana Goreng Pisang, Goreng Ubi, Goreng Keledek, Kuih Karipap, Kuih Buah Melaka, Mi Goreng, Mi hoon goreng, jemput-jemput pisang, goreng tepong, kuih lapis dan sebagainya dihidangkan. Menu minum petang ini sama ada disediakan sendiri dirumah atau dibeli dari gerai-gerai ditepi jalan banyak menjual pelbagai jenis produk. Apa yang lebih enak apabila minum petang dengan kopi panas, teh panas, teh susu atau air sirap ketika berada dipondok tengah sawah atau dikebun dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa. Biasanya selepas minum petang akan meneruskan aktiviti pekerjaan yang dijalankan.

Waktu makan utama yang ketiga ialah 'Makan Malam' atau dalam bahasa Inggeris lebih senang dipanggil 'Dinner'. Waktu makan malam sejurus selepas Maghrib dan bagi mereka yang pergi solat berjemaah di masjid atau di surau, lazimnya dilakukan sejurus selepas solat Isyak. Makanan yang dimakan waktu sama seperti makanan yang dimakan waktu makan tengahari tadi. Mereka akan masak makan baru atau kadang-kadang memadai sahaja dengan memanaskan lauk-pauk yang disediakan semas makan tengahari. Bagaimana pun ada juga keluarga yang menyediakan kelainan sedikit untuk makan malam seperti masak nasi goreng, mee goreng, mee hoon goreng dan sebagainya bergantung kepada citarasa. Kalau ada kenduri dikampong lazimnya mereka makan malam di rumah mereka yang menyediakan jamuan untuk makan malam. Bergantung kepada jenis majlis kenduri yang diadakan, menu makanan berbeza-beza daripada makanan berat seperti Nasi Minyak, Nasi Ambeng, Nasi Putih Berlauk kepada makanan ringan seperti  kuih muih dan sup dengan roti sahaja. Demikian coretan untuk kali ini semuga anda berinformasi selepas membacanya. Wasallam!.

Di Prague, Czec Republic.
WAKTU MAKAN... ADA MASANYA....
SARAPAN PAGI...BERI TENAGA...
MAKAN TENGAHARI...LAPARNYA...
MAKAN MALAM... BANYAK RAGAMNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room B3, Vaclav Havel Airport Prague,
Prague, Czec Republic.
(4 JamadilAkhir 1435H)
Posted on 1 May 2014 -Travelling to Europe

No comments: