Thursday, March 13, 2014

PAM AIR - JENIS PAM BERPUTAR

PAM AIR (Water pump) merupakan sejenis mesin yang digunakan dalam banyak industri termasuk industri pertanian. Kegunaan pam air dalam kilang industri pembuatan, syarikat bekalan air, industri minyak dan gas, industri pengangkutan dan perumahan memang signifikan. Sektor pertanian yang menjadi nadi kepada bekalan makan juga amat bergantung kepada pam air untuk menyediakan air yang mencukupi bagi tanaman terus hidup subur mengeluarkan hasil makanan. Industri pam air juga dikira amat besar diseluruh dunia kerana ia dikira sebagai satu keperluan dalam kemajuan sesuatu negara. Selain daripada membeli pam air baru, lazimnya kita perlu buat penyelenggaraan pam air mengikut jadual. Pam biasanya digunakan bagi meningkatkan lagi tekanan sistem supaya bendalir bagi sistem tersebut dapat dipindahkan ke satu bahagian yang lain. Sebagai contoh keperluan untuk kita pindahkan air dari perigi ke paras mukabumi, dari sungai ke rumah kediaman dan dari lombong dipam kekawasan kebun pertanian atau kolam tangki simpanan. Fungsi utama pam hanya digunakan bagi menghantar bekalan bendalir dari satu kawasan yang rendah ke mana-mana kawasan yang lebih tinggi. Ini amat berbeza jika penghantaran air dari kawasan tinggi ke kawasan yang lebih rendah memng tidak perlu gunakan pam air kerana air akan disebarkan melalui tekanan graviti sahaja. Artikel tengahari Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai jenis-jenis PAM AIR BERPUTAR berdasarkan bahan ceramah ketika berkursus tidak berapa lama dahulu untuk rujukkan anda.
JENIS – JENIS PAM
Lazimnya terdapat dua jenis pam anjakan positif utama iaitu :

1. Pam Salingan (Reciprocating Pump)

Pam salingan mempunyai halaju (RPM) kendalian yang agak rendah. Walau pun begitu pam jenis ini mempunyai kapasiti yang tinggi untuk aliran atau untuk sesaran yang besar. Lazimnya walaupun terdapat aliran bertentangan dalam pam, ia masih beroperasi dengan cekap kerana jumlah isipadu bendalir yang besar boleh dipindahkan.

2. Pam berputar (Rotary Pump)
Pam jenis ini lebih ringkas pembinaannya berbanding dengan pam salingan. Ia boleh beroperasi sehingga halaju 7,000 rpm. Ia dibina dengan kapasiti yang tinggi untuk sesaran yang lebih banyak. Ruang operasinya lebih kecil berbanding dengan pam salingan tetapi kapasitinya yang boleh dimuat adalah sama. Ia boleh mengepam semua jenis cecair kecuali jenis cecair yang bersifat melelas. 
Prinsip pam bekerja adalah dimana sewaktu suction stroke (penyedutan/ penarikan cecair), piston akan di tarik ke kiri menyebabkan check valve di suction line diantara reservoir dan pam silinder terbuka dan menyebabkan cecair masuk melaluinya. Sewaktu discharge stroke (pelepasan/ penolakan cecair), piston akan bergerak ke kanan, check valve di suction line akan tertutup manakala check valve discharge line akan terbuka. Jumlah cecair yang dipindahkan oleh pam dalam satu kitaran / operasi (one suction stroke and one discharge stroke) adalah sama perubahan jumlah cecair yang di tarik ke arah kiri silinder dengan jumlah cecair yang ditolak kearah kanan silinder.


JENIS-JENIS PAM BERPUTAR (Rotary pump)

i. LOBE PUMP
Pam jenis  ini mempunyai dua rotor dan setiap rotor mempunyai lebih daripada dua lobe yang dipasang pada aci yang berbeza. Kedua-dua aci berputar dalam arah yang berbeza. Cecair memasuki bahagian sedutan dan akan terperangkap di antara dinding dan lobe berputar secara gelincir di dalam perumah. Kelegaan di antara bahagian lobe serta perumah menggelincirkan cecair yang terperangkap dan ia lazimnya akan dipindahkannya ke bahagian aliran. Gelinciran bertambah pada tekanan yang tinggi.


ii. SLIDING VANE PUMP
Pam jenis ini mempunyai satu set bilah yang menggelongsor keluar minima dalam rotor. Rotor ini dipasang secara longgar di bahagian tengah perumah. Semasa bilah berputar, cecair akan masuk dan terperangkap oleh dinding perumah, bilah gelongsor dan rotor. Semasa putaran diteruskan, cecair yang terperangkap akan terus disesarkan ke bahagian sesaran. Dinding perumah menyebabkan bilah gelongsor masuk dan menggelongsor ke dalam rotor dan menolak salah satu hujung bilah ini ke bahagian aliran dan salah satu lagi ke bahagian sedutan.


iii. PAM GEAR
Dalam pam jenis ini, cecair dipindahkan oleh sepasang gear yang berputar pada arah yang berlawanan. Salah satu gear adalah pemacu dan satu lagi gear adalah gear bebas yang dipacu oleh gear pemacu tersebut. Semasa pemacu berputar, gear pemacu menggerakkan gear bebas dalam arah yang bertentangan. Pada bahagian sedutan, cecair akan masuk dan terperangkap di antara gigi gear dan perumah. Gear ini direkabentuk untuk menahan tekanan yang tinggi sehingga 1500 Psi. Disebabkan terdapat beberapa perbezaan tekanan yang tinggi dalam arah jejarian untuk gear pemacu, ia diletakkan untuk mengawal keadaan vakum daripada bahagian sedutan. Gear jenis herringbone digunakan untuk operasi yang melebihi 1,750 rpm.


iv. PAM SKRU
Pam jenis ini terdapat dalam beberapa saiz, pam skru yang bersaiz kecil digunakan untuk mengepam cecair yang pekat atau mempunyai benda asing di dalamnya. Terdapat dua cara pam skru memindahkan cecair iaitu secara selari dengan atau secara serenjang dengan paksi batang skrunya.

Begitulah yang dapat saya kongsikan maklumat mengenai jenis-jenis Pam Air Jenis Berputar (Ada 4 jenis semuanya). Pada saya pengetahuan teknikal seperti ini setidak-tidaknya akan dijadikan bahan rujukkan kepada semua yang terlibat dalam sektor pertanian.  Wasallam!

JENIS PAM AIR... IKUT GUNANYA...
JENIS ROTARY...ADA 4 SEMUANYA... 
SUDAH KENAL... DATANG IDEANYA...
MENJADI RUJUKKAN..BAGI SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(30 Rabiulakhir 1435H)

No comments: