Friday, February 28, 2014

AGROPRENEUR MUDA

AGROPRENEUR MUDA merupakan satu program khas dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang menumpukan kepada pembangunan kepada usahawan muda. Projek ini yang diujudkan oleh MOA atas saranan Menteri Pertanian pada September 2013. Definasi belia adalah mereka yang berumur 40 tahun kebawah yang perlu diberikan insentif untuk menjadi pelapis bagi golongan yang menghasilkan makanan negara yang kini purata umurnya 60 tahun keatas. Objektif program ini adalah untuk menarik minat dan memberi galakkan kepada usahawan belia berumur bawah 40 tahun menceburi bidang pertanian. Mengubah persepsi belia terhadap sektor pertanian sebagai industri yang berdaya maju. Menjadikan industri pertanian sebagai bidang yang boleh menjana pendapatan tinggi dengan sasaran pendapatan RM5,000 sehektar. Meningkatkan pendapatan peserta melalui cara peningkatan teknologi produktiviti pengeluaran yang berkualiti dan harga tinggi dipasaran. Menurut seorang pegawai di kementerian iaitu Encik Jafni Pegawai Unit Agropreneur Muda (UAM), terdapat beberapa sektor dibawah unit ini iaitu Pengurus Sektor Tanaman (Pegawai pakar dari Jabatan Pertanian), Pengurus Sektor Ternakan (Jabatan Verterinar), Pengurus Sektor Perikanan (Jabatan Perikanan), Pengurus Sektor Inovasi (MARDI) dan Pengurus Sektor Pembiayaan Kewangan (Agrobank). Syarat kelayakan untuk memasuki program ini adalah mudah iaitu mereka yang terdiri warganegara Malaysia yang berumur diantara 18 - 40 tahun dan tidak ada tahap pendidikan diperlukan. Bagaimana pun pemohon mestilah pernah menjalani latihan teknikal melalui kursus yang dianjurkan oleh Jabatan Kerajaan (bukan latihan oleh pihak swasta) berkaitan dengan teknologi berkaitan bidangusaha projek yang hendak dilaksanakan. Artikel pagi ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai program Agropreneur Muda untuk dijadikan bahan bacaan.

Permohonan program Agropreneur Muda dibuat dengan mengambil borang di mana-mana Jabatan dan Agensi Pertanian yang terdekat atau melalui lamanweb (online - terus kepada urusetia di Kementerian Putrajaya). Borang akan disiasat dalam tempoh dua minggu dan disahkan oleh pegawai daripada daerah dari segi teknikal, lokasi, teknikal, project viability dan sebagainya. Borang tersebut diproses untuk diluluskan oleh peringkat negeri dan dimaklumkan kepada Putrajaya. Menteri Pertanian mengumumkan untuk bantuan 30% (in - kind) bantuan daripada jumlah kos keseluruhan. Sebagai contoh, jika kos projek RM10,000, program ini akan berikan bantuan sebanyak RM 3,000 dalam bentuk input atau projek. Pembiayaan pinjaman untuk bantuan dibiayai daripada TEKUN dan Agrobank. Dana pinjaman telah disediakan di TEKUN sebanyak RM 20 juta dan Agrobank RM20 juta menjadikan jumlah semuanya RM40 juta. Kadar pinjaman maksima sehingga RM50,000 dengan kadar pinjaman yang rendah. Terdapat 3 fasa perlaksanaan iaitu Fasa Latihan, Fasa Perlaksanaan dan Fasa Pemasaran. Borang untuk anda membuat pendaftaran pada alamat lamanweb www.bit.ly/UAMdaftar yang boleh dimuaturun bila-bila masa.


TESTIMONI 1 :
Sasar lahirkan 1,200 Agropreneur muda

Ismail Sabri melancarkan program Agropreneur Muda.
PUTRAJAYA 9 Jan. - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan untuk melahirkan sebanyak 1,200 Agropreneur iaitu golongan muda yang terlibat dalam bidang keusahawanan pertanian sepanjang tahun ini. Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah tersebut dapat dicapai melalui penetapan sasaran sembilan agensi dan tiga jabatan di bawah kementerian itu untuk melahirkan 100 Agropreneur muda. "Sehingga kini sebanyak 729 belia telah didaftarkan dengan Unit Agropreneur Muda (UAM) dan daripada jumlah tersebut, 117 peserta telah diberi latihan mengikut bidang masing-masing. "Selain melalui UAM, borang permohonan program itu boleh diambil di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Jabatan Pertanian dan pejabat pertanian di peringkat daerah," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perunding Agropreneur Muda (MPAM) kali kedua, di sini hari ini. Yang turut hadir, Timbalan beliau, Datuk Tajuddin Abdul Rahman. Sementara itu Ismail Sabri berkata, kementerian bersetuju memberikan beberapa insentif untuk Agropreneur muda terlibat secara serius dalam memajukan sektor pertanian negara. "Ini termasuk menyediakan pakej latihan secara keseluruhan merangkumi aktiviti ekonomi mereka, pengurusan kewangan, pentadbiran dan sehinggalah pemasaran. "Pengurusan kewangan terutamanya perlu diberi keutamaan memandangkan perkara itu merupakan satu kelemahan kepada golongan belia," katanya.

Pada masa yang sama beliau berkata, kementerian akan memberikan kelulusan pembiayaan awal bagi peserta Agroprenuer muda terutamanya yang baru menceburi bidang usahawan tani mengikut saiz projek. "Pembiayaan tersebut diberikan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang memberikan pinjaman sebanyak RM100,000 tanpa cagaran. "Selain itu melalui Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) yang cuba untuk memberikan pembiayaan sebanyak RM300,000 tanpa cagaran namun perkara itu masih di peringkat perbincangan," katanya. Beliau berkata, kementeriannya akan memberikan sumbangan bukan wang sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan kos projek melibatkan peralatan pertanian. Tambahnya lagi, kementerian juga akan memberi keutamaan kepada peserta Agropreneur muda untuk mengusahakan tanah terbiar yang telah dikenal pasti oleh kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.



TESTIMONI 2 :
Bantuan pembiayaan Agropreneur Muda

PUTRAJAYA: Agro Bank memperuntukkan RM20 juta untuk bantuan pembiayaan kewangan kepada peserta program Agropreneur Muda iaitu program perniagaan dalam pertanian. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Agro Bank memberi sokongan penuh terhadap program berkenaan bagi menjadikan pertanian sebagai pilihan kerjaya menerusi penyediaan modal tetap dan modal operasi bagi projek baharu dan pengembangan projek pertanian sedia ada. "Agro Bank memberi kemudahan pembiayaan sehingga RM50,000 bagi projek pertanian baharu manakala RM300,000 bagi pembesaran projek pertanian sedia ada," katanya pada sidang media di sini hari ini. Antara syarat permohonan ialah pemohon mesti berumur 18 sehingga 40 tahun dan berdaftar dengan Unit Agropreneur Muda di bawah kendalian kementerian, katanya. Agro Bank menyediakan kemudahan pembiayaan yang kompetitif iaitu pembiayaan tidak melebihi tujuh tahun (84 bulan), kadar keuntungan 5.50 peratus setahun berdasarkan baki bulanan (bersamaan kadar tetap tiga peratus) dan tiada cagaran serta jaminan diperlukan, katanya. Ismail Sabri berkata, peserta Agroprenuer Muda yang berminat untuk memohon kemudahan pembiayaan itu boleh menghubungi Agro Bank di talian 03-27311600 atau melayari laman web Agro Bank di www.agrobank.com.my.

Sementara itu, ditanya mengenai laporan media yang mengatakan Taman Botani Negara Shah Alam, sebuah pusat rekreasi berkonsepkan alam semula jadi, berkemungkinan akan ditutup oleh kerajaan negeri Selangor, beliau berkata pihak kementerian masih berunding dengan kerajaan negeri. "Kerajaan negeri perlu melihat faedah keuntungan yang mampu disumbangkan oleh Taman Botani berkenaan untuk jangka masa pendek dan panjang kerana ia merupakan antara daya tarikan utama destinasi pelancongan untuk negeri Selangor," katanya. Beliau berkata kerajaan persekutuan sebelum ini mengeluarkan peruntukan untuk menaik taraf taman botani berkenaan dan bercadang untuk terus membangunkannya pada masa depan. "Sekiranya kerajaan negeri masih berdegil maka kementerian akan mendapatkan khidmat nasihat peguam untuk menyelesaikannya, saya harap ia tidak akan mencapai ke tahap itu," katanya. Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar bahawa kerajaan negeri akan mengambil alih taman itu. Bagaimanapun beliau tidak mengetahui butiran lanjut mengenainya sama ada ia akan dijual atau dibangunkan kelak. - BERNAMA



TESTIMONI 3 :
AGROBANK SEDIA PEMBIAYAAN PROGRAM AGROPRENEUR MUDA 
KUALA LUMPUR – Agrobank telah diberi kepercayaan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) untuk menyalurkan pembiayaan khusus untuk golongan usahawan belia dalam sektor pertanian melalui Program Agropreneur Muda. Justeru itu, Agrobank menyokong penuh Program Agropreneur Muda yang bermatlamat untuk menjadikan pertanian sebagai sektor moden dan dinamik serta pilihan kerjaya yang menawarkan pendapatan yang lebih tinggi melalui penyediaan modal tetap dan modal operasi bagi projek baru dan pengembangan perojek pertanian sedia ada. Agrobank telah memperuntukkan dana berjumlah RM20 juta untuk peserta program Agropreneur Muda. Jumlah maksimum pembiayaan yang ditawarkan adalah sehingga RM50,000.00 bagi projek baru dan RM300,000.00 bagi pembesaran projek sedia ada.

Antara syarat-syarat kelayakan bagi pembiayaan ini adalah:
a) Pemohon mestilah berumur 18 sehingga 40 tahun (semasa permohonan dilakukan)
b) Pemohon mestilah berdaftar dengan Unit Agropreneur Muda (UAM) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
c) Permohonan pembiayaan adalah melalui Unit Agropreneur Muda (UAM) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. 
d) Syarat-syarat lain adalah tertakluk kepada prosedur pembiayaan dan polisi semasa Bank.

Manakala ciri-ciri pembiayaan pula adalah:
a) Had maksimum pembiayaan berdasarkan jenis projek:
Projek Baru – Sehingga RM50,000 bagi setiap pelanggan
Projek Sedia Ada – Sehingga RM300,000 bagi setiap pelanggan
b) Tempoh Pembiayaan tidak melebihi 7 tahun atau 84 bulan
c) Kadar Keuntungan: 5.50% setahun berdasarkan baki bulanan (bersamaan kadar tetap 3.00% )*
d) Cagaran/Jaminan: Tiada cagaran dan jaminan yang diperlukan.


Terdapat 12 pakej projek menarik yang telah disediakan bagi Program Agropreneur Muda melalui Agrobank, iaitu:

a) Pakej Usahawan Lebah Madu
b) Pakej Usahawan Lebah Kelulut
c) Pakej Usahawan Ternakair Tilapia
d) Pakej Usahawan Ternakair Udang Galah
e) Pakej Usahawan Rumpai Laut
f) Pakej Usahawan Melon Fertigasi
g) Pakej Usahawan Tanaman Sayuran Fertigasi
h) Pakej Usahawan Gelato Malaysians Fruits Ice Cream
i) Pakej Usawahan Ternakan Kambing/Biri-Biri
j) Pakej Usahawan Ternakan Puyuh
k) Pakej Usahawan Ternakan Ayam
l) Pakej Usahawan Keraginan(proses rumpai laut)

Selain daripada pakej pembiayaan di atas, Agrobank juga menyediakan pembiayaan bagi aktiviti pemprosesan, pembungkusan dan pemasaranproduk industri hiliran dan huluan. 
Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai pembiayaan Program Agropreneur Muda, sila hubungi kami di talian 03-2731 1600. Anda juga boleh melayari www.agrobank.com.my atau mengunjungi mana-mana cawangan Agrobank yang berdekatan.





NAMANYA ...AGROPRENUER MUDA...
SASARANNYA... KUMPULAN BELIA...
ADA BANTUAN...PINJAMAN JUGA...
ISI BORANG...DIPROSES SEGERA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Dewan Langkawi,
Institut Pengurusan Peladang,
Kuah, Langkawi,
Kedah, Malaysia.
(28 Rabiulakhir 2014).

No comments: