NASI LEMAK merupakan makanan yang amat popular di kalangan rakyat Malaysia yang mana asalnya ia merupakan makanan tradisi bagi masyarakat Melayu sejak zaman dulu. Sebenarnya nasi lemak juga telah menjadi kegemaran orang di Singapura, Indonesia dan Brunei. Menu Nasi Lemak pada asalnya disediakan hanya untuk sarapan pagi sahaja tetapi kini ia dihidangkan dan dijual pada waktu petang dan malam. Selain daripada disediakan sendiri dirumah, kini nasi lemak telah di komersilkan di kompleks membeli belah, hotel, pasaraya, restoren, pasar malam, pasar tani, kantin sekolah, penjaja tepi jalan dan banyak lagi lokasi jualan. Pada saya, nasi lemak boleh di huraikan kepada nasi yang dimasak dengan menggunakan santan kelapa iaitu bagi menambah rasa lemaknya dan dimakan dengan beberapa komponen asas nasi lemak iaitu sambal, tiimun, bilis dan telur rebus atau telur goreng. Penting dipastikan semasa masak nasi lemak dimasukkan daun pandan untuk menambah lagi aromanya. Kini nasi lemak kukus mula mendapat permintaan ramai kerana ianya memberikan rasa lebih sedap dimana setiap butir nasi akan kelihatan tidak melekit dan peroi. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai makanan penting di Malaysia iaitu 'Nasi lemak" yang menjadi kegemaran ramai untuk bacaan anda.
Beras untuk membuat Nasi Lemak boleh dimasak menggunakan periuk dapur biasa atau periuk elektrik (Lihat foto sebelah). Gunakan beras berkualiti baik seperti beras wangi atau Gred AAA untuk membuat nasi lemak. Beras dibasuh bersih dan dimasukkan kedalam periok bersama air, santan, hirisan halia racik, bawang, garam dan ramuan lain untuk menambah keenakannya. Santan segar adalah pilihan terbaik tetapi kini peniaga komersil menggunakan santan siap dalam kotak. Tanak nasi sehingga masak dan di kacau sebelum diangkat keluar. Nasi lemak mesti menggunakan santan untuk memberi rasa lemak dan bagi menyedapkan lagi kita menggunakan daun pandan untuk mewangikan lagi masakan. Nasi lemak asalnya bukanlah merupakan makanan sarapan harian wajib masyarakat Melayu Malaysia pada umumnya. Amalan pemakanan nasi lemak merupakan satu bentuk bekalan hidangan yang lazimnya dijadikan bungkusan makanan kepada para pesawah, penoreh getah, nelayan, pekerja binaan dan sebagainya. Nasi lemak mempunyai jumlah kalori dan tenaga yang tinggi serta mempunyai komposisi lemak yang tinggi untuk membekalkan tenaga yang lebih bagi bekerja. Kandungan tinggi adalah unsur karbohidrat. Bagaimana pun kini mereka yang bekerja di pejabat pun makan nasi lemak juga.
Nasi lemak biasanya dihidangkan dengan telur, timun, ikan bilis goreng, kacang tanah goreng dan sambal. Nasi lemak bungkus merupakan satu kaedah penjualan nasi lemak yang sangat popular masa kini (Lihat foto sebelah). Nasi lemak yang dibungkus lazimnya dijual di Kantin Sekolah, Kantin Pejabat Kerajaan dan swasta, Kilang-kilang dan juga dijual di gerai sementara atau gerai pacak tepi jalan terutama pada pagi cuti umum seperti Hari Ahad. Nasi lemak bungkus tradisional lazimnya menggunakan pelapis daun pisang (untuk menambah aroma nasi) dan pembungkus luar sama ada surat khabar lama atau kertas pembalut khas berwarna coklat atau kertas minyak sahaja. Harga jualannya bergantung kepada kuantiti, kualiti, lokasi, komponen ramuan' lauk dan sebagainya. Paling murah saya dapati cuma RM0.50 sebungkus tetapi lazimnya RM 1.00 - RM 2.00 sahaja. Kalau di pasar malam pula penjualan nasi lemak kini menggunakan pembungkus kotak polistyrene putih dengan kuantiti lebih banyak dan diisi dengan pelbagai ramuan dan lauk pauk. Harganya mengikut jenis lauk yang dipilih. Kini nasi lemak dijual dengan pelbagai lauk untuk dipilih seperti lauk daging, ayam, sotong, udang, limpa, kerang, telur puyoh, pegedil, hati ayam, kentang goreng, hati lembu dan sebagainya.
Lauk nasi lemak kini telah dikomersilkan dengan pelbagai jenis lauk pauk dan cara masakkan. Paling popular kini adalah hidangan nasi lemak dengan Ayam Goreng Kampong, Sambal Sotong Kering, Kerang dan lain-lain lagi. Di Ipoh terdapat restoran khusus diberi nama 'Restoren Nasi Lemak Ayam Kampong" yang memang terkenal dengan hidangan ayam kampong goreng sebagai lauk utama untuk tarikan (Sila lihat foto sebelah). Ada penjual nasi lemak yang mampu untuk menghidangkan lebih dari 20 jenis lauk dan dijual diatas van bergerak atau gerai dimana ia dikerumuni ramai pengunjung sehingga panjang barisan menunggu untuk membelinya. Nasi lemak dikatakan tidak begitu sihat untuk dimakan hari-hari kerana tinggi kalori dan lemaknya seperti didakwa oleh pakar pemakanan. Kemterian Kesihatan Malaysia telah meletakkan nasi lemak sebagai satu makanan segera dimana ia telah dikategorikan sebagai satu makanan yang berkalori tinggi, mudah dan siap dihidangkan. Pernah timbul cadangan agar nasi lemak dihadkan jualannya pada dua kali seminggu. Langkah ini diambil sebagai satu usaha kerajaan untuk menangani masalah kegemukkan, obesiti dan diabetes yang semakin meningkat di kalangan rakyat terutama kes kanak-kanak. Semuga artikel ini memberikan info berguna kepada pembaca semua. Wasallam.
NASI LEMAK...HIDANGAN KITA...
RASA ENAK... MUDAH DISEDIA...
ADA DIJUAL...MERATA-RATA...
PELBAGAI LAUK...PILIH SAHAJA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Restoren Nasi Lemak Ayam Kampong,
Ipoh, Perak,
Malaysia.
(19 Rabiulawal 1435H)
No comments:
Post a Comment