Saturday, January 18, 2014

KACANG TANAH MARGENTA- TESTIMONI

KACANG TANAH (Arachis hypogaea) boleh digunakan sebagai ramuan dalam pelbagai masakan dan kuih muih. Selain daripada direbus atau digoreng, kacang tanah varieti Margenta sesuai untuk diproses menjadikan produk snek seperti kacang rebus kering ala Menglembu, snek coklat berkacang, bepang kacang, kacang goreng bersalut, rempeyek, kuah sate dalam uncang sebagai sajian makan bersama sate, nasi himpit dan kuah rojak. Produk ini sesuai dimakan oleh semua lapisan masyarakat dan digemari oleh masyarakat Malaysia dan kini berpotensi untuk dieksport ke luarnegara. Kajian saya mendapati kacang tanah varieti Margenta ini telah sempurna dilancarkan oleh Y.B. Datuk Rohani Abdul Karim, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, di Stesen Penyelidikan MARDI Telong, Bachok, Kelantan pada 16 Ogos 2009. Adalah disarankan supaya lebih ramai petani menanam varieti ini kerana ia sangat sesuai untuk ditanam ditanah bris. Selain daripada itu, kacang tanah juga boleh dijadikan tanaman pilihan yang baik bagi sistem tanaman integrasi atau perkebunan campur kerana sisa baki tanaman (batang dan daun) sesuai dijadikan untuk sumber makanan ternakan yang berkhasiat sama ada dalam bentuk segar atau setelah diproses menjadi silaj. Artikel pada malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" satu testimoni mengenai tanaman kacang tanah varieti Margenta untuk dijadikan bahan rujukan semua pembaca blog saya.



Tanaman kacang tanah di Malaysia selalunya dikaitkan dengan tanaman sampingan kecil-kecilan yang dijual secara runcit dengan merebus atau menggorengnya dan juga dijadikan putu. Gambaran perniagaan tradisional yang biasa dilihat di pasar malam, RnR PLUS dan Pasar Tani serta pasar Tamu ialah ibu-ibu yang menjualnya dalam bakul-bakul di pasar dan di gerai-gerai pinggir jalan masih berlaku. Kajian saya mendapati selain Kelantan, kacang tanah ada banyak diusahakan di negeri Terengganu di samping Kedah dan Perak. Rekod statistik di Jabatan Pertanian saya semak mendapati data penanaman sejak lebih dua dekad lalu keluasannya di seluruh negara terus mengecil. Dianggarkan kini hanya sekitar 260 hingga 300 hektar sahaja mengusahakan tanaman itu. Perkarai ini mungkin adalah berpunca semakin kurangnya kawasan yang sesuai setelah kawasan tradisi penanaman kacang tanah diambil alih oleh tanaman jagung manis dan tembikai yang memberikan pulangan lebih baik kepada petani.


Ternyata ia bukanlah tanaman ekonomi yang penting lagi di Malaysia, ironinya permintaan terhadap pelbagai produk kacang tanah terus meningkat setiap tahun di negara ini. Sebagai contoh pada tahun 2008, pengeluaran dalam negara cuma 1,637 tan sementara permintaan pula sebanyak 31,933 tan dan bagi memenuhi keperluan yang menyebabkan negara terpaksa mengimport kacang tanah dengan nilai lebih RM48 juta. Belum ditemui angka terbaru mengenai data ini namun Malaysia kini dikatakan tergolong antara negara pengimport kacang tanah terbesar selepas Kesatuan Eropah, Kanada dan Indonesia. Baru-baru ini MARDI bersama Jabatan Pertanian Kelantan telah memperkenalkan varieti baru kacang tanah kepada masyarakat tani yang dinamakan sebagai Varieti Margenta sempena warnanya. Varieti ini dilihat lebih berpotensi memberi nafas baru bagi menghidupkan kembali tanaman ini untuk dijana sebagai industri baru. Varieti Margenta dibawa masuk dari Malawi dan varieti baru ini dihasilkan oleh International Crop Research Institute for Semi-Arid Tropics, di India dengan nama kod CG7 oleh MARDI dann disesuaikan melalui penyelidikkan.


Kajian pengesahan kesesuaian tanaman dijalankan  sejak 2004 hasil daripada tekanan untuk mendapatkan tanaman alternatif bagi menggantikan tembakau di tanah bris terutama di negeri Kelantan dan Terengganu. Dengan tempoh matang yang lebih pendek, daya ketahanan penyakit lebih tinggi, saiz lebih besar hasil dan kualiti lebih baik berbanding varieti tempatan, ia bersesuaian dengan cita rasa pelanggan dan kehendak pengilang. Margenta menghasilkan 80 peratus lenggai dua biji, 20 peratus lenggai satu biji dan tiada lenggai tiga biji. Sifat lenggai yang seragam ini memudahkan proses pemilihan dan pengasingan mengikut gred dan kehendak pasaran. Lenggai dua biji lebih sesuai untuk menghasilkan kacang panggang jenis Mengelembu. Kajian MARDI dengan kerjasama Jabatan Pertanian mendapati tanaman di tanah bris menunjukkan purata hasil lebih tinggi iaitu sehingga 3.87 tan sehektar berbanding tanah lanar sungai (Potensi hasil 2.62 tan sehektar). Varieti ini boleh dijadikan tanaman kontan utama menggantikan tembakau dikawasan tertentu.


Di Daerah Bachok, Kelantan penulis mendapati terdapat lebih 6,000 daripada 13,037 hektar tanah yang sudah tidak lagi ditanam dengan tembakau dan dengan prasarana ladang sedia ada ia boleh dijadikan ladang kacang tanah terbesar. Dengan masih begitu banyak tanah bris yang belum diusahakan secara optimum, kacang tanah boleh dijadikan salah satu tanaman kontan yang dapat digilirkan dengan keledek dan jagung manis. Penggiliran tanaman ini dalam jangka masa panjang dapat membantu mengekal dan meningkatkan kesuburan tanah serta mengelak daripada merebaknya serangan perosak dan penyakit. Jangkaan impak positif yang tinggi ini boleh disandarkan kepada varieti baru ini dimana ada kemungkinan kedudukan tanaman ini berpotensi dikembangkan ke kawasan lain yang sesuai. ‘‘Keluasan tanaman dan bilangan petani yang terlibat kini adalah kecil menyebabkan tanaman kacang tanah tidak tersenarai sebagai tanaman singkat masa yang layak untuk menerima insentif pada masa ini. Kemungkinan satu insentif harga atau lain-lain betuk bagi petani yang menanam kacang tanah perlu diujudkan jika mahu melihat kadar impot ini untuk dikurangkan.


Kacang tanah bukan sahaja digunakan sebagai makanan segar untuk kegunaan domestik tetapi boleh dieksport sebagai produk nilai tambah dalam bentuk produk terproses. Sisa sampingan dengan pokok yang segar dan daun menghijau semasa tuaian membolehkannya dijadikan bahan makanan ternakan secara segar atau diproses sebagai silaj. Model kejayaan pemindahan teknologi penanaman ubi keledek vitato sebelum ini boleh diguna pakai bagi mempromosikan penanaman dan pengeluaran kacang tanah ini. Ia melibatkan kerjasama semua agensi berasaskan pertanian dan dengan jaminan pasaran serta sumber pendapatan yang setimpal, ia tentunya dapat menarik penglibatan petani. Manjadi harapan kita semua agar penanaman kacang tanah akan terus giat dijalankan bagi meningkatkan pendapatan petani dan mengurangkan kadar impot yang begitu tinggi untuk kacang tanah. Wasallam!

KACANG TANAH...NAMA MARGENTA...
TANAH BRIS...SESUAI DILAKSANA...
HASIL TINGGI... PERLU JAGANYA...
KURANGKAN IMPOT...HASRATNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 212, Simfoni Resort,
Kuah, Langkawi,
Kedah,
Malaysia.
(19 Rabiulawal 1435H)

No comments: