Thursday, August 15, 2013

SULUR PAUT (Tendrils)

SULUR PAUT (TENDRILS) merupakan satu bahagian yang ujud pada beberapa jenis tumbuh-tumbuhan yang menjalar. Dalam istilah botani, sulur paut merupakan bahagian batang (stem), tangkai (petiole) atau daun (leaf) yang berbentuk seperti benang untuk tumbuhan memanjat (climbing parts) bagi mendapatkan cahaya matahari, mengeluarkan bunga dan juga menghasilkan buah. Bentuk sulur paut pada saya amat unik dan komplikated sehingga ia mampu mengikat tumbuhan yang mempunyai buah yang berat untuk bergantung (Lihat foto sulur paut diatas). Sulur paut mempunyai bentuk seperti benang yang mampu untuk melilit atau menggulong (twisting) pada bahan sokongan (support) yang terdapat disekitar tumbuhan tersebut. Dalam keadaan biasa, bahan sokongan mungkin terdiri daripada bahan semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan lain, akar kayu, tunggul kayu, dahan pokok, ranting dan sebagainya. Bahan sokongan buatan pula seperti sistem para (Para trellis, Para Kayu Silang, Para Tali) atau dawai pagar yang didirikan dikeliling rumah atau disekeliling kebun. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" sambil melihat Masjid Negeri Kuantan mengenai kepentingan sulur paut (tendrils) untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.

Sulur paut dan buah markisa.
Berdasarkan kepada pemerhatian penulis, beberapa tanaman sayuran yang didapati mempunyai sulur paut dari keluarga jenis Cucurbitaceae seperti Timun, Peria, Peria Katak, Kacang Pea dan sebagainya. Pokok Buah Markisa (Passiflora endulis) juga mempunyai sulur paut untuk merayap pada kayu sokong (Ligat foto sulur paut disebelah). Dalam kategori tanaman hiasan juga (ornamental trees) tidak kurang juga banyaknya jenis-jenis tumbuhan yang mempunyai sulur paut seperti Antihirrnum spp, Pithecoctenium spp, Clemanthis spp, Gloriosa spp dan banyak lagi. Bentuk, warna, saiz, panjang, sistem lilitan sulur paut berbeza-beza diantara jenis tumbuhan yang mempunyai sulur paut. Pada saya, melihat sulur paut yang berbelit-belit seperti 'spring' pada pokok timun sudah mencukupi untuk kita meneliti bagaimana peranan sulur paut dalam sistem sokongan untuk pertumbuhan yang unik.

Sulur Paut sebenarnya mempunyai banyak jenis. Jenisn sulur paut banyak ditentukan dari tempat asal sulur paut keluar. Foto sebelah menunjukkan sejenis sulur paut yang keluar dari bahagian pucuk tumbuhan. Penelitian dan pemerhatian saya mendapati terdapat 7 jenis sulur paut yang telah dikenalpasti mengikut pengkelasan botani. Jenis tersebut adalah Sulur Paut Daun (Leaf tendrils), Sulur Paut Laidaun (Leaflet tendrils), Sulur Paut Stipular (Stipular tendrils), Sulur Paut Hujung Daun (Leaf tip tendrils), Sulur Paut Prophyll (Prophyll tendrils), Sulur Paut Batang atau Sulur Paut Pucuk (Stem tendril or Shoot tendrils) dan Sulur Paut Tangkai (Pedicel tendrils or Peduncle tendrils). Kesemua sulur paut ini mempunyai fungsi yang hampir sama iaitu untuk mempastikan tumbuhan dapat memanjat kelokasi yang lebih tinggi untuk mendapatkan cahaya matahari dan membentuk banyak daun bagi sistem pertumbuhan yang lengkap.

Walaupun kajian menunjukkan sulur paut terdiri daripada tisu yang lembut, tetapi saya lihat kekuatannya memang mengkagumkan (Lihat foto sebelah). Tisu sulur paut ini semakin menjadi keras apabila pokok bertambah umurnya. Sesetengah sulur paut juga mampu untuk menyerap makanan pada pokok yang ditumpangnya (jika pokok hidup) dan membentuk kelaran seperti cincin (ring circle) pada pokok yang berbatang lembut. Lazimnya sulur paut lebih cepat untuk tumbuh atau pun memanjang naik keatas (mengejar cahaya matahari) tetapi sangat lambat jika sulur tumbuhan turun kebawah (ketanah). Ini dapat diperhatikan dimana batang atau pucuk yang menegak keatas lebih banyak bilangan sulur pautnya berbanding dengan batang atau sulur yang melempai kebawah. Anda semua boleh membuat pemerhatian mengenai sulur paut untuk membuat kajian sendiri. Saya dapati tidak banyak tulisan mengenai sulur paut dalam Bahasa Malaysia yang dapat kita buat rujukkan. Wasallam!

Sulur paut pokok Letup-letup dipagar rumah saya.
SULUR PAUT... 'TENDRIL' NAMANYA...
IA BERGULONG... MELILIT CARANYA...
TUJUH JENIS... KUKUH IKATANNYA...
POKOK MENJALAR ...MEMPUNYAINYA... 

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Room 212, Shahzan Inn,
Jalan Masjid, Kuantan,
Pahang, 
Malaysia.
(8 Syawal 1434H)  

No comments: