Sunday, August 11, 2013

SAYUR PUCUK MERANTI

SAYUR PUCUK MERANTI (Solanum americanum) merupakan sejenis tumbuhan herba renek dari keluarga Solanaceae (sama seperti terung) yang kurang popular di Malaysia. Tumbuhan ini dianggap sebagai liar (wild crop) dan ada petani yang telah menganggapnya sebagai rumpai sahaja  didalam kebun. Ia sering diambil untuk dijadikan sayuran yang pahit dan berkhasiat. Tumbuhan ini banyak tumbuh di kawasan beriklim tropika dan subtropika yang mempunyai sinaran matahari mencukupi. Terdapat banyak spesis yang ada diseluruh dunia seperti Solanum nigrum, Solanumn caribeum, Solanum fauriei dan Solanum nordiflorum. Terdapat beberapa nama gelaran berbeza untuk tumbuhan ini di beberapa negara seperti Sayur Meranti, Sayur Ranti, Sayur Meranti Gajah, Sayur Terung Meranti dan sebagainya. Dinegara lain ia dipanggil sebagai Long Kui (China), Ranti (Melayu/ Indonesia), Hulablub (Visayas), Lubi lubi (Tagalog), Black Nightshade (English), Ghamai ; KaKamachi (India) dan sebagainya.  Artikel malam Ahad ini saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai sayuran meranti berdasarkan pengalaman dan rujukkan beberapa buku untuk rujukkan dan bacaan anda.


Pokok Sayur Pucuk Meranti ini (Bukan Kayu Balak Jenis Meranti) adalah tumbuhan herba renek yang tumbuh menegak setinggi 0.5 - 1.0 meter dengan batang sederhana keras berwarna hijau. Susunan daun adalah bersilang dengan ukuran daun sekitar 8 - 10 cm panjang dan 5 - 7 cm lebar berwarna hijau. Tangkai daun berwarna hijau dengan panjang tangkai daun lingkungan 3 - 4 cm dari dahan. Bunga ranti ini kecil berukuran 1 cm garispusat dengan warna kelopak putih atau ungu dan warna stamen ditengahnya kekuningan. Buahnya berwarna hijau berbentuk bulat (Globos) yang dikatakan beracun serta tidak sesuai untuk dimakan. Buah akan menjadi warna kehitaman apabila masak dengan mengandungi biji saiz halus yang banyak. Benih daripada buah ini mudah membiak apabila jatuh ketanah.


Tumbuhan meranti di Malaysia banyak terdapat dikawasan tanah gambut atau tanam mineral terutama pada tanah yang baru ditebang. Kawasan pokok getah dikampong dulu yang baru ditebang akan terdedah kepada sinaran matahari dimana kesannya akan tumbuh pokok meranti ini dengan banyak terutama semasa musim hujan. Tumbuhan renek ini berwarna hijau gelap sering tumbuh secara berkumpulan dan subur dimana lazimnya banyak pucuk muda yang sesuai dipetik selepas musim hujan. Cara memetik pucuk ranti adalah dengan memotong pucuk muda sepanjang 10 - 12 cm dengan tangan atau pisau tajam. Kumpulkan pucuk ini dan perlu di basuh dahulu sebelum ia boleh dimasak. Saya boleh katakan bahawa sayuran pucuk meranti ini adalah jenis sayuran jenis organik kerana kebanyakannya tumbuh liar secara semulajadi. Jarang-jarang orang menyembur racun tumbuhan ini yang juga selalu dianggap oleh petani sebagai jenis rumpai. Sayur pucuk meranti mempunyai khasiat yang tinggi. Pada setiap 100 gram pucuk meranti terdapat 85 gram air, 4.7 gram protin, 8.1 gram karbohiderat, 0.5 g lemak, 1.9 mg Karotin, 210 mg Kalsium, 6.1 mg ferum, 40 mg Vitamin C  dan 0.14 mg Vitamin B1. Bagaimana pun belum banyak dibuat kajian diatas khasiat dari daun pucuk meranti secara klinikal.


Antara menu masakan sayur pucuk meranti adalah seperti Masak Lemak Pedas, Tumis Berlada, Masak Air dan juga boleh dijadikan kerabu dengan kelapa. Cara masak pucuk meranti sebaiknya ia di celur dahulu pucuk meranti untuk melembutkannya dan juga bagi mengurangkan rasa pahit. Tumbuk sedikit kunyit, bawang merah , bawang putih, ikan bilis dan garam sehingga lumat. Sediakan periuk dan tumis ramuan tadi dengan sedikit minyak sehingga naik bau. Masukkan santan kelapa (mengikut sukatan sesuai) dan kacau sehingga sebati. Pucuk daun meranti yang telah dicelur kemudian dimasukkan dan panaskan dengan api sederhana sehingga sesuai untuk diangkat dan dihidangkan. Ikan bilis yang dimsukkan kedalam sayur ini didapati mampu mengurangan rasa pahit pucuk daun meranti. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk Ikan Kering. Sedapnya makan sayur pucuk meranti tengahari ini.
Wasallam!

PUCUK MERANTI... PAHIT RASANYA...
BERWARNA HIJAU... LEMBUT DAUNNYA...
DI MASAK LEMAK... MEMANG ENAKNYA...
SUKAR NAK BELI... KENAPA AGAKNYA...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Kg Tehel, Jasin,
Melaka,
Malaysia.
(2 Muharam 1434H)

   

No comments: