Wednesday, August 21, 2013

GELENGGANG - Penanaman (Part 1)

POKOK GELENGGANG (Casia alata) merupakan sejenis tumbuhan daripada famili Caesalpiniaceae yang mempunyai nilai perubatan penting sebab ia merawat penyakit kulit yang disebabkan oleh kulat. Didalam membuat rujukkan, saya dapati ia mempunyai beberapa synonim nama bontanikal lain seperti Cassia bracteata, Cassia herpetica, Cassia rumphiana, Cassia alata var perennis Pamp, Cassia alata var rumphiana DC, Herpetica alata dan akhir sekali dikenali dengan nama Senna alata (Famili Fabaceae). Tumbuhan ajaib ini juga mempunyai nama-nama lain seperti Cassia, Wild senna, Fleur palmiste, Fleur dartre, Candlestick senna, Ringworm cassia, guajava, Flor del Secreto, Tarantana, Candle bush, Akapulko, Man-slabriki, Akapulco (Inggris), Gelenggang. Ludangan, Ketepeng badak (B.Malaysia), Sulok (Serawak), Andadasi, Palochina (Tagalog). Tumbuhan ini ditanam dikawasan keiling rumah dan kini telah ramai yang mengusahakan tanaman ini secara monokrop komersial. Dalam membuat rujukkan kepada laporan statistik Jabatan Pertanian, tidak ada data keluasan dan pengeluaran rasmi mengenai tanaman ini tetapi saya menganggarkan sekitar 80 - 100 hektar CHE. Kini telah banyak produk berasaskan tumbuhan pokok gelenggang dipasaran yang boleh dibeli dan terus digunakan untuk mengubati berbagai penyakit kulit. Artikel subuh Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tumbuhan herba berguna iaitu Pokok Daun Gelenggang untuk bacaan dan rujukkan anda.


Kajian daripada beberapa buku mendapati terdapat lebih 600 spesies dalam genus Cassia. Tumbuhan ini adalah sesuai tumbuh dikawasan tropika dan subtropika.Tumbuhan ini tumbuh menegak dengan banyak cabang dan ia adalah sejenis pokok renek yang mudah dijumpai dipinggir jalan dan belukar. Pokok ini biasa mencapai ketinggian antara 6 hingga 25 kaki dengan mempunyai daun berbentuk lonjong berwarna hijau. Susunan daun didapati bertentangan antara satu sama lain dan ia lazimnya akan tertutup pada waktu malam (Lihat foto sebelah). Daun gelenggang ini dikatakan mempunyai khasiat yang penting didalam penyediaan ubat-ubatan herba. Daun pokok ini apabila dilumatkan dan disapu kepada bahagian kulit yang bermasalah akan menyembuhkan penyakit kulit walau pun baunya agak kurang enak sedikit. Daunnya yang berbentuk seiras (bilateral) dan berlawanan secara simetrikal, akan kucup pada waktu malam. 


Ia memiliki bunga berwarna kuning yang amat cantik dan dilitupi oleh penutup yang terdiri daripada bnyak kelopak dan seakan-akan menyerupai susunan lilin sebelum bunganya berkembang (Lihat foto sebelah). Bunga ini lazimnya keluar daripada bahagian pucuk dahan. Warna terang ini menggalakan serangga untuk datang hinggap kepada bunga ini seperti rama-rama. Sepelas proses pendebungaan, didapati ia akan menghasilkan buah. Lazimnya buahnya adalah bersalut kulit seperti buah kekacang dan bijinya kecil berwarna hitam berbentuk bulat. Biji didalamnya boleh disemai untuk dijadikan anakbenih. Lazimnya didapati dalam keadaan semulajadi, buah kekacang dalam pod akan meletup apabila cukup kering dan mencampakkan bijinya sejauh 1 meter untuk proses pembiakan. Penanaman menggunakan keratan batang juga boleh dijalankan dengan lebih mudah.


Kawasan tanah yang sesuai untuk tanaman pokok gelenggang dari pelbagai jenis tanah sama ada gambut, mineral , berpasir dan sebagainya asalkan mempunyai sistem saliran yang baik. Tanah perlu dibajak dahulu dan jika keadaan tanah agak rendah perlu disediakan batas tanaman. Jarak penanaman yang disyorkan adalah 1.5 meter x 2.5 meter bergantung kepada keadaan tanah. Sebaiknya pokok ditanam rapat dahulu dan boleh dibuat penjarangan selepas ia membesar kemudian hari. Pembajaan adalah disyorkan dengan baja organik tetapi elakkan daripada menggunakan sebarang bahan kimia didalam penanaman gelenggang. Pengurusan perosak tanaman gelenggang tidak menjadi masaalah kerana tanaman ini kurang diserang serangga perosak dan penyakit. Pokok yang sihat akan mula sesuai untuk dituai dengan mengambil daunnya secara mencantas atau kutip mengikut kesesuaian sebelum dihantar untuk diproses menjadi pelbagai produk kesihatan dan perubatan. Semuga artikel ini memberikan sedikit maklumat berguna kepada anda mengenai penanaman pokok gelenggang. Bersambung seterusnya...Wasallam!

Produk daun gelenggang dipasaran.
POKOK GELENGGANG...BANYAK NAMA...
BUNGA KUNING...DAUNNYA DIGUNA...
MUDAH DITANAM... DIMANA-MANA...
PENYAKIT KULIT ... BOLEH DIUBATINYA...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Jalan Istana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, 
Melaka,
Malaysia.
(16 Rejab 1434H)

No comments: