Thursday, August 29, 2013

BUAH KABONG - PROSES dan KHASIATNYA


POKOK BUAH KABONG (Arenga pinnata) mempunyai buah pada tandan buah yang dipetik menggunakan pengait apabila ia cukup matang untuk diproses. Buah yang matang apabila kelihatan ia telah berisi dan padu dengan kulit buah yang berwarna coklat gelap. Tandan buahnya terjuntai ditandannya yang berukuran lingkungan 1.5 meter mudah dipotong tangkainya dengan pisau tajam. Buahnya berbentuk bulat bersegi dan berwarna hijau akan mengeluarkan cecair yang gatal jika terkena kulit. Buahnya juga tidak boleh dimakan begitu sahaja dan ia perlu diproses untuk mendapatkan isi buah kabong. Ia mempunyai teknologi untuk memproses yang tersendiri untuk memakannya kerana ia boleh mengundang kegatalan sekiranya ia tidak diproses dengan cara yang betul betul. Saya memang amat suka makan buah halwa kabong yang manis dengan pelbagai warna warni yang dihidangkan semasa kunjungan kerumah sanak saudara dikampong masa dulu kerana ianya enak, manis dan lain dari hidangan kuih kering yang biasa. Artikel pagi Sabtu ini saya menulis 6 artikel termasuk artikel ini dalam "Anim Agro Technology" selama 6 jam untuk mengupas proses memproses buah kabong dan maklumat khasiat buah kabong berdasarkan pemerhatian, pengalaman dan membuat rujukkan oleh penulis untuk bacaan dan rujukkan anda. 

Cara memetik tandan buah kabong perlu di kait atau dengan memanjat untuk memotong tangkainya. Ia akan dijatuhkan ketanah dan kalau pokok agakj tinggi turunkan dengan tali. Bagi memprosesnya dengan betul kabong perlu diberihkan dari sambah dan tanah sebelum ianya dileraikan (dipisahkan) daripada tangkai tandanya nya. Kemudian ia perlu dikumpulkan dengan memasukkan kedalam bakul plastik (Silah lihat foto sebelah). Proses seterusnya adalah untuk memasak buah kabong yang keras tadi dengan memasukkan kedalam tong besar yang mengandungi air (Sama ada tong drum, tong minyak tanah atau bekas lain yang sesuai) untuk ia direbus kira-kira 1-2 jam lamanya. Gunakan api sederhana dengan kayu api daripada pokok hutan atau ranting getah (Sila lihat foto dibawah). Jarang-jarang pengusaha tradisional menggunakan menggunakan dapor gas. Selepas itu buah kabong diangkat dari tong tadi dan ditoskan dan disejukkan. 

Masak buah kabong 1-2 jam.
Buah kabong yang sejuk tadi perlu dibelah dua atau tiga menggunakan pisau atau parang yang tajam. Buah perlu diletakkan diatas alas kayu yang bersih dan dibelah sehingga kita boleh mengeluarkan isi buah kabong yang segar (Lihat foto diatas sekali). Apa yang saya perhatikan, lazimnya terdapat tiga isi dalam setiap buah kabung bersaiz besar dan dua isi pada buah yang agak kecil. Kumpulkan isi buah kabung yang berwarna putih ini dalam bekas besen plastik sehingga semua biji buah kabong siap dibelah. Proses seterusnya adalah isi buah kabung ini perlu direbus lagi untuk dijadikan agar-agar yang liat dan kenyal. Warnanya akan menjadi warna putih jernih. Jangkamasa rebusan ini mengikut kesesuaian sekitar 30 minit dengan menggunakan air rebusan yang bersih. Hasilnnya kita akan dapat agar-agar yang sesuai untuk diproses menjadi bahan berkhasiat untuk diproses seterusnya. Ia kemudian dimasak dengan air gula selama beberapa jam. Apabila sejuk ia akan dibungkus dan sedia untuk dipasarkan. Apa yang saya tahu, isi kabong yang baru dimasak dan yang dibeli dipasaran boleh dimasak dalam air gula dengan diberi pelbagai pewarna. Antara yang popular adalah warna hijau, merah, kuning, oren dan sebagainya menggunkana bahan perwarna. Kini pelbagai perisa boleh diletakkan antaranya laici, mangga, strawberi dan sebagainya.

Kabung warna warni.
Buah Kabong ternyata kaya kalsium yang baik bagi pertumbuhan gigi kanak-kanak dan mereka yang menderita masaalah Osteoporosis atau pun bahasa kita masaalah Tulang yang Rapuh. Kajian makmal menunjukkan buah kabung didapati memang kaya kandungan serat dan mineral. Setiap 100 g kabung mengandung tenaga 27 kkal, protein 0.4 g, lemak 0.2 g, karbohidrat 6 g, serat 1.6 g, kalsium 91 mg, Fosforus 243 mg dan zat besi 0.5 mg. Saya dapati dengan tingginya kandungan mineral seperti kalsium, zat besi dan unsur Fosforus akan menjaga tubuh menjadi sihat terutama jika dimakan pada bulan puasa. Kandungan karbohidrat isi buah kabung boleh memberikan rasa kenyang bagi orang yang memakannya. Ia juga menghentikan nafsu makan dan mengakibatkan pengambilan makanan berkurangan daripada biasa. Sistem pencernaan makanan dalam perut juga akan menjadi sempurna dengan memakan buah kabung. Saya juga dapati buah kabung sering digunakan sebagai bahan campuran beraneka jenis makanan atau minuman misalnya halwa manisan, Pengat, Minuman Lai Chee Kang, Air Batu Campur, Minuman berkhasiat dan banyak lagi. Wasallam!

Buah kabong dalam Lai chee kang...enaknya.
BUAH KABONG... MURAH HARGANYA...
DALAM AIR GULA... PELBAGAI WARNA...
ENAK DIMAKAN... BEGITU SAHAJA...
PELBAGAI RAMUAN...'ABC' ANTARANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room, 309 Hotel De Spring,
Jalan Hj Abd Rahman,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(19 Syawal 1434H)

No comments: