Sunday, August 18, 2013

AYAM SERAMA

AYAM SERAMA merupakan sejenis ayam jenis katek yang sangat cantik dan diminati oleh ramai peminat yang gemar memelihara ayam. Ayam Serama bukan dari sejenis spesis asli ayam tetapi hasil kacukan ayam katik. Saya dapati Ayam Serama (juga dikenali sebagai Ayam Serama Malaysia) adalah sejenis baka ayam katik yang berasal dari Malaysia semenjak 50 tahun lepas. Ayam Serama Malaysia juga merupakan sejenis baka yang agak baru. Sejarah dan asal usul ayam serama juga kurang jelas. Terdapat juga kisah atau lagenda yang mengatakan ia merupakan keturunan dari pembiakan silang tidak sengaja di antara burung merpati dengan ayam. Cerita lain juga ada mengisahkan asal bermula dari pemberian hadiah ayam katik oleh Raja Siam kepada sultan tempatan pada zaman dahulu. Serama dipercayai berasal dari Kelantan, sebuah negeri dalam persekutuan Malaysia (berdekatan bersempadanan dengan sempadanThailand di pantai timur). Ayam serama juga banyak didapati di negeri tersebut dan selatan Thailand dengan mempunyai pelbagai warna, saiz, keunikan dan juga harga yang banyak varian. Walau pun saya kurang kenal akan aayam serama tetapi apabila ada pemeran berkaitan ayam serama, saya amat suka menelitinya sebagai satu keunikan semulajadi yang harus kita nikmati. Artikel subuh Rabu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai ayam serama berdasarkan pemerhatian dan membaca beberapa bahan rujukkan.


Terdapat laporan menyatakan baka moden Ayam Serama dipopularkan oleh seorang penternak ayam dari Kelantan yang telah memberi nama "Serama" bersempena dengan Raja Sri Rama, sebuah watak di dalam Wayang Kulit. Baka ini pertama kali dipamerkan pada tahun 1990. Laporan tidak rasmi menyatakan pada tahun 2000 merupakan kemuncak popularitinya di Malaysia. Baka ini terjejas teruk semasa wabak selselema burung pada tahun 2004 apabila lebih dari 50,000 ekor serama telah dihapuskan atau mati. Walau bagaimanapun, baka ini mendapat kembali kemahsyurannya di Malaysia kerana ramai kalangan peminat ayam serama sehingga banyak kelab atau persatuan ayam serama bergiat aktif. Saya dapati tidak terdapat penulisan piawaian bagi baka di Malaysia, mahu pun sebarang tradisi persatuan ayam. Kebanyakan maklumat yamg kini difahami oleh penternak akan disebarkan secara lisan. Ramai juga penternak memiliki stail atau jenis yang mereka ternakkan, tetapi sering kali penternak menyimpan beberapa stail. Stail ini sering kali dinamakan sempena gambaran darah keturunan jaguh (contohnya. Husin, Mat Awang) dan juga bentuk umum, ciri-ciri atau kelakuan (contoh. bentuk kurus, bentuk bola, bentuk naga, teleng, stail robot). Terdapat banyak kepelbagaian mengenai gelaran jenis ayam serama di Malaysia. Kesemua stail atau cara berlainan berlawan sesama sendiri dalam pertandingan meja terbuka (sering kali digambarkan sebagai "pertandangan cantik") dan pengadilan akan dihakimi oleh para hakim tempatan dan foto pemenang akan dijadikan bukti dengan hadiah yang lumayan.


Ayam Serama Malaysia tidak terhad oleh satu set piwaian di negara asalnya, ini adalah mengapa Serama Malaysia telah berubah begitu banyak dalam tempoh singkat dan masih terus berubah sehingga sekarang. Terdapat usaha bagi mengesa satu badan rasmi menentukan set piwaian bagi pelbagai stail ayam serama oleh peminatnya. Sesetengah orang Malaysia menegaskan bahawa piwaian tidak patut ditentukan kerana ia akan menghadkan perkembangan didalam pembiakan baka ayam serama. Ada dikalangan penternak ayam Serama yang berpengaruh telah pun menyamakannya perkembangan ayam serama dengan perkembangan model kereta dimana katanya 'Reka bentuk bagi kereta sempurna tidak ditetapkan oleh kerajaan, jadi kenapa mereka perlu menetapkannya bagi ayam Serama. Teknologi sentiasa maju dan kita belajar dan mereka benda baru. Jadi kenapa ia perlu berbeza bagi ayam'. Ramai peminat fanatik juga menubuhkan persatuan sendiri yang juga ada yang berdaftar atau tidak berdaftar dengan ROS untun memajukan perkembangan industri Ayam Serama di negara kita.


Ayam Serama juga merupakan ayam paling ringan di dunia. Biasanya bawah dari 500g seekor tetapi ayam serama yang lebih kecil bawah 250g selalunya telah dibiakkan di negara asalnya Malaysia. Ayam Serama bercirikan oleh bentuk badan tegak mereka, dada penuh, bulu ekor ditegakkan dan rapt pada badan dengan sayap mendatar dipegang hampir mencecah tanah (Lihat foto sebelah). Di Malaysia jika ayam ini berdiri, ia dapat digambarkan sebagai pahlawan berani atau juga digelar dengan 'ayam malaikat', kerana penampilan mereka berdiri menyerupai manusia. Secara keseluruhan ayam Serama adalah ayam yang agak mudah untuk membiak. Selepas bertelur ia mengambil masa lebih kurang 19 - 21 hari untuk anak ayam terbentuk dan menetas. Anak ayam lebih lemah pada suhu sejuk berbanding baka lain kerana bandingan saiz badannya yang kecil. Selepas menetas ia mengambil masa 16 - 18 minggu untuk ayam matang dan mencapai titik di mana ia sendiri sudah boleh mula bertelur. Telur Serama bukanlah baka yang mudah untuk menetas dari telur dan ada beberapa hipotesis mengenai hal ini dimana pembiakbakaan dalam sesama sendiri mungkin salah satu sebabnya. Hipotesis yang lain dikatakan iaitu kemungkinan saiz telur agak kecil (mungkin menghampiri had terendah yang mungkin bagi menghasilkan telor yang mampu menetas). Kebersihan reban dan telur yang baik dengan kaedah cara pengeraman dan penternakan stok induk adalah kritikal bagi kejayaan. Saya dapati saiz biasa telur tidak terlalu besar dimana saiz telur biasanya antara 2 - 3 biji telur puyuh biasa berbanding dengan sebanyak 4 - 6 biji bagi telur Ayam Serama yang menyerupai saiz dan ketumpatan dengan sebiji saiz telur ayam piwaian. Ayam Serama yang lebih kecil ada kemungkinannya menghasilkan telur yang lebih kecil dimana kadar penetasannya juga agak rumit.


Seperti umum tahu, ayam serama adalah hasil kacukan (hybrid) atau proses penyilangan dari beberapa jenis baka ayam. Penyilangan (kacukan) ini mungkin diantara ayam katik (Japanese Bantam), Ayam Kapan, Ayam Sutera (Silkie Bantam) dan juga dengan juga Ayam Hutan. Ada juga bergurau iaitu banyak kali kita dengar orang berkata "hendak beli serama tetapi dapat Kapan" yang maksudnya mendapat ayam serama jenis Ayam Kapan. Terdapat pertandingan serama kategori Ayam Kapan semenjak dulu dijalankan tetapi ia adalah juga seiring dengan perubahan masa dan citarasa manusia. Kini ayam serama juga mengalami perubahan yang ketara dari segi pemeliharaan dan pertandingan. Ayam serama jenis 'Ayam Katik' yang kecil dan berdada besar seperti 'cutting Epel'  meniru gaya Syarifah Aini telah pun jadi rebutan, Hari ini ramai peminat serama sudah melihat bentuk tubuh serama yang berbeza. "Cutting" slim tinggi lonjak dan selam menjadi pilihan dengan gaya untuk pilihan dalam pertandingan "lawan meja" yang mecetuskan kegilaan baru di dalam setiap pertandingan kecantikan ayam serama. Evolusi ayam serama akan terus bergerak seperti dunia fesyen yang kerap berlaku pengulangan trend dan adakah serama juga boleh berlaku begitu?. Sama-sama kita lihat perkembangan ini. Wasallam!


Makanan Khas ayam serama.
AYAM TERINGAN... AYAM SERAMA...
HARGA MAHAL.... ISI TIDAK SEBERAPA...
BULU CANTIK... .PANDAI BERGAYA...
RAMAI PEMINAT... AHLI KELAB TERUJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Duyong, Air Molek,
Melaka Tengah,
Melaka, Malaysia.
(7 Syawal 1434H)
.

No comments: