Saturday, June 29, 2013

TUMBUHAN - PENGKELASAN (Part 1)


Hidupan didunia terdiri daripada Kumpulan Haiwan (Animal) dan Tumbuhan (Plants) yang ujud sama ada diatas tanah, didalam air atau pun di udara. Saintis sejak zaman dulu telah berjaya membahagikan kategori hidupan ini mengikut kaedah pengkelasan tersendiri untuk tujuan pengasingan taksonomi bagi memudahkan membuat kajian sains. Manusia telah menama dan mengkategorikan tumbuhan sejak dari zaman purba lagi dimana pada peringkat awal, tumbuhan dikelaskan kepada tumbunan yang berguna dan yang memudaratkan. Asasnya dua kategori pengkelasan tumbuhan adalah dari jenis TUMBUHAN BERBUNGA dan jenis TUMBUHAN TIDAK BERBUNGA. Tumbuhan berbunga pula dikelaskan kepada dua iaitu Monokotilidon dan Dikotilidon. Bagi tumbuhan tidak berbunga pula dibahagikan kepada 4 kelas iaitu Algae, Kulat, Lumut dan Paku Pakis. Sebagai tambahan, saya dapati tumbuhan juga dikelaskan mengikut kegunaannya. Sistem pengkelasan kemudiannya berkembang dengan menggunakan sifat-sifat pertumbuhan dan ciri-ciri fisiologi sebagai asas. Secara kasarnya, pengkelasan tumbuh-tumbuhan hortikultur boleh dibahagikan kepada dua iaitu cara (a) Pengkelasan botanikal dan cara (b) Pengkelasan hortikultur yang akan saya bincangkan didalam beberapa artikel berikutnya.Artikel pagi Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pengkelasan tumbuhan untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan anda.

Semua tahu bahawa terdapat berjuta-juta jenis tumbuhan di dunia ini dan para saintis merasakan memang perlu satu sistem pengkelasan yang saintifik dan sistematik. Proses mengklasifikasi dan menamakan tumbuhan telah dimulakan sejak 4,000 tahun dahulu. Sebagai amalan biasa, tumbuhan diberi nama tempatan berdasarkan kepada kegunaan, tabiat pertumbuhan, ciri-ciri unik, habitat tumbuhan dan sebagainya. Amalan ini menimbulkan masalah kerana nama yang sama diberi kepada tumbuhan yang berbeza-beza di tempat yang berlainan. Sebagai contoh saya ambil satu tanaman yang berbau busuk di Malaysia iaitu bunga tahi ayam diberikan kepada pokok lantana (Lantana camara) dan Marigold (Tagetes sp.) (Lihat foto sebelah). Oleh itu untuk mengatasi kekeliruan, saintis antarabangsa telah menggubal serta mengamalkan beberapa sistem pengkelasan. Secara kasarnya, pengkelasan tumbuh-tumbuhan hortikultur boleh dibahagikan kepada dua iaitu cara (a) Pengkelasan botanikal dan cara (b) Pengkelasan hortikultur yang akan saya bincangkan didalam beberapa artikel berikutnya.


a. PENGKELASAN BOTANIKAL

Sistem Pengkelasan Botanikal saya dapati menggunakan asas-asas saintifik dimana cara pengkelasan ini juga dikenali sebagai kaedah pengkelasan saintifik. Sistem ini telah pun diperkenalkan oleh ahli biologi Carl Linnaeus (1707 - 1778). Kaedah ini telah digunakan diseluruh dunia sejak beratus tahun dulu dan didapati mudah digunakan serta praktikal. Kaedah ini dicipta dengan mengambilkira yang tumbuh-tumbuhan akan dikenali dan dikumpulkan berasaskan kepada ciri tertentu seperti saiz, bentuk, warna, sifat-sifat bunga, makanan simpanan atau pertalian genetik dan sebagainya. Secara umumnya, pengkelasan botanikal melibatkan dua tugas utama iaitu  (a) Pengekelasan (taxonomy) dimana ia akan mengkategorikan sesuatu tumbuhan dalam kumpulan tertentu dan (b) Penamaan (nomenclature) dimana ia akan memberikan nama saintifik yang betul (mengikut peraturan tertentu) kepada tumbuhan yang telah dikategorikan'.

Pengkelasan (Taxonomy) merupakan cara pengkelasan yang akan mengkategorikan sesuatu tumbuhan itu mengikut kumpulannya. Dalam kerja-kerja pengkelasan, sesuatu tumbuhan dikaji dan dikumpulkan mengikut urutan taxa berhirarki seperti berikut (dengan tumbuhan mangga sebagai contoh) ia dibahagikan kepada Pengkelasan Kingdom - Plantae (tumbuhan) diikuti dengan Division - Spermatophyta (tumbuhan berbiji benih). Class - Angiospermae (biji benih tertutup), Subclass - Dicotyledonae (dua kotiledon), Order - Sapindales, Family - Anacardiaceae, Genus - Mangifera Species - indica. Susunan tersebut daripada kategori pengkelasan paling atas sehingga unit yang paling bawah iaitu spesis. Saya rasa ini amat mudah kerana telah dipelajari semenjak peringkat sekolah lagi. Kategori-kategori dari order ke bawah adalah penting dalam bidang hortikultur. Apa yang dikatakan sebagai 'order' dimana ia akan menentukan sesuatu tumbuhan boleh dibiakkan secara 'asexsual' seperti kaedah cantuman (Budding) dan Tut (Marcotting). Bagi 'famili' pula  ia akan menentukan keserasian untuk melakukan pembiakan asexual antara dua tumbuhan seperti cantuman mata tunas, cantuman baji dan juga cantuman sandingan. Bagi 'genus' ia akan menentukan sama ada kacukan boleh dilakukan di antara dua spesies atau varieti tumbuhan. Paling bawah adalah 'spesies' iaitu kumpulan organisma yang mempunyai pertalian rapat dan boleh berkacukan sesama sendiri menghasilkan keturunan yang boleh membiak. 

Bagaimana kita hendak mengetahui cara Penamaan Tumbuhan atau dipanggil sebagai  'Plant nomenclature?.  Sistem pemberian nama saintifik kepada tumbuhan yang diamalkan kini adalah sistem binomial. Dalam sistem ini, setiap nama tumbuhan (dan haiwan) terdiri daripada dua perkataan (binomial). Perkataan pertama ialah nama genus tumbuhan dan nama kedua adalah nama spesies. Kebanyakan nama tumbuhan adalah dalam bahasa Latin atau bahasa lain yang di Latinkan, Arab dan juga Yunani. Contoh: Bunga raya (nama genus: Hibiscus, dan nama spesies rosa-sinensis. Jadi nama saintifik yang penuh bagi bunga raya ialah Hibiscus rosa-sinensisNama saintifik yang diberi kepada tumbuh-tumbuhan adalah nama yang diterima seluruh dunia. Setiap nama yang diberi (terutamanya nama spesies) biasanya berbentuk fonetik dan memberi gambaran tentang ciri-ciri tumbuhan itu atau juga keadaan habitat atau negara asalnya atau untuk mengenang orang yang awal-awal mengkajinya.

Sebenarnya nama yang diberi untuk menghuraikan ciri-ciri tumbuhan ialah berdasarkan kepada ciri daun contohnya folius, phyllon atau phylla yang merupakan tambahan imbuhan awalan atau akhiran kadangkala diberikan. Contohnya ialah Macrophylla (daun besar), Microphylla atau Microfolius (daun kecil atau daun halus). Seterusnya adalah bentuk bunga atau flora iaitu tambahan imbuhan awalan 'grand' menjadi grandiflora. Warna bunga atau warna daun juga ada digunakan seperti contohnya albus atau leuco (putih), argentus (perak), aureusatau chryso (emas), rubra, rubrons atau coccineus (merah) dan croceus, flavus atau inteus (kuning). Bentuk atau ciri tumbesaran tumbuhan; contohnya altus atau alta (tinggi), aboretus (berupa pokok), compactus (padat), nanus atau pumilis (katik atau kerdil), repens atau reptans (menjalar) danscandens (melilit). 

Lazimnya nama-nama spesies juga memberitahu tentang tempat asal tumbuhan, seperti australis (selatan),borealis (utara), canadensis (Kanada), chinensis atau sinensis (China), chilensis atau chileonsis.( Chile), japonica, nipponica atau nipponicus (Jepun), campestris (ladang), insularis (pulau) dan montanus (gunung). Ada kalanya nama orang digunakan seperti Rudbeck (Rudbeckia), Dahl (Dahlia) dan sebagainya. Seterusnya untuk memberikan autoriti kepada orang yang mula-mula menamakan sesuatu tumbuhan, huruf atau ringkasan nama individu berkenaan ditambah di akhir nama saintifik tumbuh-tumbuhan itu. Contohnya, ubi kentang - Solanum tuberosum L. dimana huruf "L." adalah ringkasan nama bagi Carl Linnaeus. Ringkasan nama ini juga merupakan sumber maklumat sejarah yang penting bagi nama tumbuhan tersebut. Bersambung...
Wasallam!

NAMA TUMBUHAN...BANYAK CARA...
SISTEM SEKARANG..LAMA DICIPTA...
TAHU KONSEP... MUDAH BICARA...
CARA BONTANIKAL...TERSEDIA...

By,
M Anem
Precint 11, Putrajaya,
Malaysia
(7 Rejab 1434H)
















No comments: