Sunday, June 2, 2013

HELICONIA

BUNGA HELICONIA (Heliconia spp) merupakan sejenis tumbuhan kumpulan bunga (ornamental plants) dari keluarga Heliconiaceae yang cantik dan mendapat perhatian peminat landskap. Dahulu tumbuhan ini adalah dalam kumpulan keluarga Musaceae iaitu sama dengan kumpulan tanaman pisang. Tumbuhan ini mempunyai antara 100 - 200 spesis dimana kebanyakan spesis terdapat didalam hutan malar hijau tropika. Bunga dari tumbuhan ini juga di panggil sebagai Bunga Sepit Udang (Lobster- Claw), Burung Tiruan Syurga (False bird-paradise) dan sebagainya. Saya kenal akan bunga ini kerana banyak melihat banyak nurseri swasta di Daerah Muar, Johor yang menjual pokok ini dengan kuantiti yang banyak ke Singapura. Kini banyak taman-taman bunga Maljis Perbandaran, Kawasan Taman Kompleks membeli belah dan kawasan taman pejabat kerajaan menanam pokok ini sebagai pokok hiasan. Industri tumbuhan heliconia kini telah mencapai tahap industri penting didalam industri florikulltur semenjak 10 tahun kebelakangan ini. Berbagai spesis dengan bentuk, warna, saiz dan keunikan mengenai heliconia kini menjadi koleksi penting dalam industri ini. Artikel petang ini sambil melihat pokok heliconia depan bilik di IKPK RISDA, Kg Awah, Temerloh, Pahang, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis tanaman ornamental Heliconia untuk menambahkan ilmu kita semua.


Tumbuhan heliconia adalah jenis renek yang tumbuh menegak dengan ketinggian sekitar 0.5 - 5.0 meter bergantung kepada spesis dan faktur persekitaran. Ia mempunyai ciri pertumbuhan cara berumpun dan mempunyai perdu dibahagian bawahnya. Daunnya berwarna yang tumbuh dari batang berwarna hijau dengan panjang diantara 20 - 300 cm bergantung kepada varieti heliconia dan juga penjagaan tanaman. Daun terbit daripada batang yang tidak berkayu dimana kebanyakan panjang batang melebihi panjang daun. Susunan daun adalah bertentangan diantara satu sama lain dengan tumbuh menegak atau sendeng. Daun ini akan membentuk rimbunan terutama apabila menjadi daun tua jika tidak dibuang. Pokok Heliconia sesuai ditanam untuk melihat susunan daun dan bunga yang menjadikan ia amat menarik untuk dijadikan tanaman landskap.


Bunga Heliconia merupakan aset penting tanaman ini kerana ramai orang akan terpikat adak kecantikkannya dengan warna, bentuk dan keunikannya (Lihat foto sebelah). Bunga ini keluar dari celah tangkai yang tumbuh menegak atau melendut seakan paruh burung dengan mempunyai pelindung berlilin yang berwarna terang. Warna merah terang dengan bahagian tepi yang kuning putih menyebabkan kuntuk bunga amat jelas dikalangan daun yang berwarna hijau. Jumlah kelopak atau kuntuk ini bersusun bersilang dengan dari atas kebawah dan paling bawah membentuk hala ketanah. Kombinasi wara merah, jingga, ungu, kuning, putih dan sebagainya pada bunga heliconia yang ditanam bercampur untuk banyak varieti di taman keliling rumah akan menaikan lagi keindahan pokok ini.


Heliconia merupakan sumber makanan penting kepada beberapa jenis burung seperti kelicap hutan, terutamanya (hermit - hummingbird)) dan beberapa spesis lain seperti Rufous-breasted Hermit. Ada beberapa jenis burung memang saya dapati amat suka untuk menjadikannya pokok heliconia sebagai tempat bagi membuat sarang. Heliconia semakin popular dalam industri landskap, bunga keratan, tanaman berpasu dan hiasan. Heliconia mempunyai kepelbagaian jenis dan warna. Ianya mudah ditanam dan dibiakkan walaupun di dalam tanah yang tidak berapa subur seperti gambut dan berpasir. Boleh digunakan dalam ’functional landscape’ -’ feature planting’, mass planting. Potensi penanaman amat luas kerana masih banyak varieti yang belum diterokai. Selain digunakan sebagai bunga dalam perlandskapan, heliconia sesuai digunakan sebagai bunga keratan ‘foliage’ untuk bunga gubahan kerana mempunyai nilai komersial yang tinggi.


Heliconia dikategorikan tumbuhan senang hidup kerana hanya memerlukan tanah yang mengandungi bahan organik tinggi serta mempunyai pengairan baik. Selepas berbunga, tangkai yang mengeluarkan bunga matang serta daun akan menjadi kuning seterusnya kering. Bunga heliconia mempunyai biji berwarna hitam kecil yang boleh digunakan sebagai biji benih (Lihat foto sebelah). Akar akan mengeluarkan anak baru untuk membesar dan seterusnya mengeluarkan tangkai bunga baru. Penjagaan serta pengurusan tanaman heliconia perlu untuk memastikan kekemasan serta pembesaran pokok kerana ia memberikan visual impak yang agak besar. Sering kali berlaku masalah penggemar landskap suka menanam pokok ini di dalam pasu atau kotak penanaman. Pada satu peringkat, pembesaran pokok akan terhad kerana akar akan padat dan terhad (memenuhi ruang media). Antara penyelesaiannya adalah dengan membuat pemangkasan.

Dan, bagi mereka yang berminat untuk menanam di dalam pasu bolehlah mengikut langkah langkah berikut. Langkah mudah penyediaannya dengan mencabut pokok dengan akar dan tanahnya sekali sebelum ditanam dalam pasu (Lihat gambar sebelah). Gunakan pasu pecah untuk menjadikan lapisan saliran air. Masukkan tanah dalam pasu selepas lapisan saliran air. Potong batang heliconia bagi menggalakkan pertumbuhan pokok. Bagi pokok Heliconia yang ingin dipindahkan untuk ditanam dalam pasu, sediakan pasu bersaiz sesuai dan masukkan media tanaman. Media tersebut sebaiknya adalah campuran tanah terutama bahan organik (Peatgro). Keperluan peralatan pertanian seperti sudip tanah, pisau, gunting pokok, penyodok dan bahan seperti serpihan pasu dan sabut kelapa disiapkan. Jika kita hendak memindahkan atau mencabut pokok, pastikan ketika kita hendak mengalihkan pokok, akar masih ada dan tidak terlalu mencederakan akarnya.

Seterusnya kita boleh memulakan proses menanam dengan menyediakan pasu besar bagi pokok heliconia. Pastikan ada disediakan lapisan saliran (drainage layer) didalam pasu agar akar pokok tidak terendam. Gunakan bahan seperti serpihan pasu atau batu dan sabut kelapa (cocoa fiber) dibahagian bawah pasu besar. Susun serpihan pasu sebanyak empat hingga lima lapisan atau sabut kelapa setebal tiga hingga empat inci bagi tujuan pengudaraan dan saliran. Seterusnya kita perlu masukkan campuran tanah 3 : 2 : 1. (Tanah:pasir dan Baja Organik) pada kadar sesuai dalam pasu iaitu sekitar 1/3 paras pasu dengan paras pasu. Masukkan anak benih keratan heliconia dalam pasu dibahagian tengah pasu sebelum kita lakukan kerja pemadatan tanah dan kemudian diratakan tanah. Siram pokok dan buat penjagaan sehingga pokok hidup dan berbunga.


BUNGA SEPIT UDANG...ITU HELICONIA...
WARNA MERAH...CANTIK RUPANYA...
BANYAK VARIETI... PILIH YANG CERIA...
MUDAH DITANAM...MUDAH DIJAGA...


By,
M Anem
Senior Agronomist
IKPK RISDA
Kg Awah, Temerloh,
Pahang, Malaysia.
(12 JamadilAhkir 1434H)

No comments: