Thursday, April 25, 2013

RUMPAI - APA DIA?

RUMPAI (WEEDS) adalah tumbuhan yang tumbuh dikawasan tanaman atau tanah yang tidak dikehendakki. Ini kerana rumpai akan bersaing dengan tanaman dari segi perebutan bahan nutrien, ruang, cahaya matahari serta selalunya menjadi pesaing dalam pengeluaran hasil tanaman. Umum juga kenal akan istilah rumpai ini yang sering tumbuh dengan agresif atau cepat tumbuh tanpa apa-apa bantuan daripada manusia. Selain daripada rumpai tumbuh dan mengganggu dikawasan pertanian (kebun pengeluaran bahan makanan), rumpai juga menganggu ditaman bunga, halaman rumah, kawasan tepi jalan, padang permainan terbuka dan belukar. Rumpai adalah jenis tumbuhan dari spesis penceroboh yang tumbuh sendiri dan lazimnya mempunyai daya tahan hidup yang tinggi serta sangat effisien dalam proses sebaran dan pembiakannya. Keadaan ini menyebabkan tanaman kita (sama ada tanaman makanan, ornamental, landskap dsb) akan terencat pertumbuhannya akibat tewas dalam merebut sumber pertumbuhan dan akibatnya pokok akan menjadi kurang penghasilan atau lebih teruk pokok akan mati. Dalam beberapa definasi mengenai rumpai, ada yang mengatakan rumpai sebagai 'tumbuhan yang menganggu dengan matlamat  pengurusan pada kawasan tertentu bagi masa yang tertentu'. Ini bermakna mungkin ia merupakan tanaman yang kita perlu tetapi oleh kerana ia tumbuh semasa kita tidak mahu akan dianggap sebagai rumpai juga dan perlu dimusnahkan. Artikel subuh Ahad ini saya gembira menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai apa dia yang dikatakan rumpai dan kesannya terhadap aktiviti pertanian untuk dijadikan bacaan dan rujukkan rakan-rakan semua.


Rumpai mungkin tumbuhan yang kita tidak ingini kerana ia tidak cantik (tumbuh dikawasan landskap), tumbuh dengan menghimpit tanaman kita, mengambil bahan nutrien dari tanah yang banyak, menjadi perumah kepada patogen atau vektor perosak tanaman (plant hosts) dan cepat membiak. Sesetengah rumpai juga kadang-kadang mengandungi bahan yang berbisa atau menyebabkan luka atau gatal-gatal apabila terkena dengan kulit. Rumpai seperti Semalu (Mimosa spp) juga adalah berduri dan boleh mencederakan kita serta sesetengannya melekat pada pakaian kita seperti kemuncup. Bagaimana pun jenis rumpai seperti Lalang (Inperata cylindrica) merupakan jenis rumpai yang cepat membiak dan memang sukar untuk dimusnahkan kerana ia mempunyai akar rizom yang berada didalam tanah dan bunganya yang mudah terbang jauh untuk membiak apabila matang.


Dalam sains pertanian yang saya belajar semanjak di universiti dulu , rumpai boleh kita bahagikan kepada tiga kumpulan. Lazimnya rumpai akan dikategortikan sebagai RUMPAI BERDAUN LEBAR (Broad leaf weeds), RUMPAI RUSIGA dan RUMPUT (grasses). Dengan cara ini kita akan dapat mengenali kategori rumpai mengikut tabiat pertumbuhannya, cara pembiakannya dan paling penting ialah bagaimana kaedah untuk kita hendak menghapuskannya. Rumput berdaun lebar adalah jenis rumpai yang mempunyai daun yang bersaiz lebar dengan nyata ada urat daun dipermukannya. Daun rumpai jenis ini boleh dibahagikan pula kepada Monokotilidon, Dwikotilidon dan juga Rumpai Air. Secara amnya rumpai jenis daun lebar dari kumpulan monokotilidon adalah rumpai yang mempunyai daun yang lebar dengan batang yang lembut dan juga berair. Jenis rumpai ini sering tumbuh dikawasan yang agak berair dan juga kawasan lembab. Rumput Cabai Kera (Sphenoclea zeylanica) adalah satu jenis rumpai jenis ini (Lihat foto diatas). Rumpai jenis dwikotilidon juga mempunyai daun lebar yang tumbuh menjalar atau menegak dengan mempunyai batang yang keras seperti pokok Seduduk (Melastoma malabatricum).  Rumpai Air pula adalah rumpai yang tumbuh dalam air atau pun terapong diatas permukaan air.


Rumput Rusiga merupakan tumbuhan yang berbatang bersegi, berbuku, beruas dan batangnya seperti buluh. Helaian daunnya pula panjang dan mempunyai upih serta terbit dari bahagian buku. Rusiga biasanya tumbuh dengan tegak dan berkelompok, daunnya kecil menirus dan batangnya bersegi tiga tanpa mempunyai buku yang bengkak. Antara contoh rumput kumpulan rusiga adalah seperti Rumput Lingsing (Cyperus javanicus) yang mudah didapati ditebing sungai dan kawasan lembab (Lihat foto sebelah). Ia merupakan sejanis rumpai saka yang tumbuh tegak dengan ketinggian 50 hingga 80 cm dan berwarna hijau muda. Daun kasar dan hampir sama panjang dengan batangnya. Infloresen umbel (bunga) berdiameter 6 cm hingga 15 cm dengan spika yang padat. Buah berwarna perang kehijauan dan sering tumbuh dikawasan Sawah Padi, pinggir tali air dan sungai. Rumpai jenis ini boleh dibunuh dengan menggunakan racun rumpai khusus untuk jenis rumpai rusiga.


RUMPUT (Weeds) merupakan kumpulan rumpai paling banyak dijumpai sama ada ia dikategorikan sebagai rumpai atau tidak. Sesetangah rumput menjadi rumpai kepada rumput yang lain kerana ia tidak dikehendaki. Sebagai contoh lalang yang tumbuh dikawasan padang bola yang penuh dengan rumput kerbau merupakan rumpai dan perlu dimusnahkan. Begitu juga rumput kerbau yang tumbuh diatas green padang golf adalah dianggap sebagai rumpai kepada rumput turf yang ditanam. Terdapat juga rumput yang sangat berguna dan ditanam untuk dijadikan bahan makanan atau rumput ragutan untuk ternakan seperti kambing, lembu dan sebagainya. Rumput Napier, Rumput Guinea (Lihat foto sebelah), Rumput Star, Rumput Gajah, Rumput Signal, Rumput Palisade, Rumput Koroniva dan sebagainya adalah diantara rumput yang ditanam. Bagaimana pun jika rumput ini tidak dijaga dengan baik akan menjadi perosak kepada habitat disekelilingnya. Apa yang pasti rumpai merupakan tumbuhan yang tidak dikehendakki oleh petani dan memerlukan kos untuk menghapuskannya. Melihat kepada ladang betik yang penuh rumput (Lihat foto dibawah) kita boleh bayangkan kos yang bakal dikeluarkan oleh petani bagi meningkatkan hasilnya. Bagaimana pun ladang ini mengamalkan kawalan rumpai terkawal kerana ia ditanam idkawasan bukit yang perlukan kawalan hakisan dan kelembapan. Wasallam!


Rumpai dikeliling pokok betik yang terkawal?
NAMANYA RUMPAI...BANYAK JENISNYA...
CEPAT TUMBUH... TANPA DIPELIHARA...
KURANGKAN HASIL...MUSNAHKAN SEGERA...
GUNAKAN RACUN...ATAU LAIN-LAIN CARA...

By,
M Anem
Room 726, Hotel Classic,
Jalan Ali, Muar,
Johor
Malaysia.
(12 JamadilAkhir 1434H)

No comments: