Tuesday, April 23, 2013

GOOSEBERRY

GOOSBERRY (Ribes uva-crispa synonim Ribes grossularia) merupakan sejenis tumbuhan yang menghasilkan buah berry dari keluarga Grossulariaceae. Tumbuhan ini dipercayai natif dari kawasan Eropah dan kini banyak ditanam dikawasan Afrika Utara, Asia Selatan dan Asia Tenggara. Tanaman ini adalah dalam kumpulan yang sama dengan Blackcurrants, Redcurrants dan Whitecurrants (Sila rujuk artikel saya - klik disini). Terdapat beberapa jenis gooseberry iaitu European Gooseberry, Cape Gooseberry, Chinese Gooseberry dan Indian Gooseberry yang mempunyai kriteria berbeza antara jenis tersebut. Tulisan ini saya hanya merujuk kepada European gooseberry sahaja berdasarkan buku yang saya baca dan buat rujukkan iaitu berjudul "Temperate and Sub-tropical fruit production" terbitan CABI International (2011). Rujukkan dari beberapa sumber mendapati tidak ada maklumat mengenai keluasan dan pengeluaran buah gooseberry ini dilaporkan kerana mungkin tanaman ini dianggap sebagai buah kurang penting (minor fruits). Artikel malam Ahad ini saya menulis sejenis lagi buah-buahan beriklim temperate iaitu buah gooseberry dalam "Anim Agro Technology" untuk bacaan dan rujukkan anda semua.


Tumbuhan gooseberry adalah jenis renek yang tumbuh menegak dengan ketinggian sehingga 1.0 - 1.2 meter (Lihat foto sebelah). Terdapat banyak dahan dan kadang-kadang mempunyai duri. Bagaimana pun penanaman cara komersil ia disokong dengan sistem para untuk mendapatkan batang (vine) yang lebih panjang dan tahan lama. Penanaman dijalankan dengan menggunakan bahan keratan batang yang dipilih dari pokok induk yang berkualiti. Kawasan beriklim temperate sangat sesuai untuk tanaman ini seperti di Eropah terutama di Scotland Utara yang menghasilkan buah berkualiti tinggi.  Kesesuaian dengan salji (frosts) adalah sederhana dimana jika terkena semasa bunga akan menyebabkan keguguran. Tanah jenis loam berpasir dengan pH 6.0 - 6.5 adalah sesuai dengan mempunyai sistem saliran yang baik.


Keratan batang yang mempunyai 2 atau 3  matatunas (nodes) amat sesuai untuk digunakan sebagai bahan tanaman walau pun ada kajian yang menggunakan bijibenih. Jarak penanaman adalah 2.5 - 3.0 meter antara baris dan 0.5 - 2.0 m antara pokok. Penanaman sering dijalankan semasa musim luruh (autumn) dan akan hidup subur dengan penjagaan yang baik. Bunga akan keluar 4 - 6 minggu tunas (bud burst) iaitu pada awal musim bunga (early spring). Cara pendebungaan adalah dengan sendiri (self pollination) walau pun ada juga berlaku proses pendebungaan bersilang. Cantasan perlu dijalankan untuk mendapatkan cabang pokok yang seimbang dengan membuang tunas sulur yang menegak keatas atau menjulur kebawah. Kawalan rumpai dijalankan dengan semburan racun kimia atau cara manual. Pembajaan dengan baja kimia dan baja organik diberikan mengikut kadar dan umur pokok. 


Antara masaalah penanaman gooseberry adalah serangan ulat makan daun iaitu Kupu-kupu Magpie (Abraxas glossuraliata) dimana larvanya akan makan daun. Cara kawalan adalah dengan memungut larva pada daun dan mengutip telur yang melekat pada bawah daun. Perosak lain adalah seperti Kupu-kupu -V (Macaria wauaria) dan juga Gooseberry Sawfly (Nematus ribesii). Semburan dengan racun serangga mampu mengurangkan kadar serangan dan menghapuskannya. Perosak lain seperti nematod, aphids, ulat pengulung daun, rasperry mozaic virus dan juga bintik daun terutama jika cuaca lembap. Lazimnya dengan pengurusan yang baik, hasil akan dituai selepas 2 tahun ditanam. Kaedah menuai adalah dengan menggunakan tangan iaitu memilih buah yang telah matang dengan warna kemerahan dan kulit yang berkilat. Buah gooseberry perlu dikumpulkan dan dijual atau diproses. Penyimpanan pada suhu bilik didapati buah tahan selama 2 minggu dengan kualiti baik. 


Kaedah menuai dikawasan penanaman gooseberry komersil boleh menggunakan jentera dibeberapa negara maju (Lihat foto sebelah). Jentera khas ini akan mengutip hasil dari pokok mengikut barisan dan buah dikumpulkan melalui 'conveyor' kepada bekas. Hasil optima lazimnya pada musim penuaian ke 3 dan musim keempat. Anggaran hasil musim kedua sekitar 2 mt sehektar, musim ke 3 sebanyak 6 - 12 mt sehektar dan musim ke 4 sebanyak 7.5 - 15 mt sehektar. Beberapa laporan menunjukkan bahawa tanaman gooseberry mampu hidup selama 10 - 15 tahun jika dijaga dengan baik. Kita di Malaysia jarang dapat membeli buah gooseberry ini kerana bekalan yang agak berkurangan untuk sampai ke Malaysia. 




BUAH GOOSEBERRY... LEMBUT TEKSTURNYA...
DIMAKAN SEGAR... MUNGKIN MANIS RASANYA...
DIBUAT JEM... PELBAGAI PRODUK LAINNYA...
MEMBACA ARTIKEL... TAMBAH LAGI ILMUNYA...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Putrajaya
Malaysia
(24 Rabiulawal 1434H)

No comments: