Wednesday, March 20, 2013

TIKUS SAWAH - 10 CARA KAWALAN (Part 3)


TIKUS SAWAH (Rattus argentiventer) merupakan haiwan perosak yang penting dalam industri tanaman padi yang mana dalam setiap tahun kadar serangannya lebih dari 17 % dari jumlah keluasan tanaman padi. Perkara ini adalah disebabkan oleh cara pesawah mengawal atau bagaimana petani mengendalikan perosak tikus selalu terlambat kerana masa mengawal dilaksanakan setelah terjadi serangan dan kurangnya pemantauan rapi oleh petani. Mungkin juga kadar pemahaman oleh petani mengenai maklumat atau aspek-aspek mengenai populasi tikus yang menjadi asas dalam cara pengendalian tikus sawah masih kurang. Kecenderungan petani atau pesawah ada yang masih kurang mengambil berat dalam menyediakan kaedah kawalan tikus. Saya juga fikir yang terdapat organisasi di peringkat Jabatan dan tempatan (Kelompok atau Ketua-ketua Blok) masih lemah dan juga kadang-kadang mengamalkan cara pelaksanaan kawalan yang tidak konsisten. Akibatnya akan meningkatnya kadar serangan perosak oleh  tikus sawah yang mampu membiak dengan cepat dan boleh merosakan tanaman padi dengan teruk. Artikel subuh Isnin ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai 10 cara untuk mengawal serangan tikus dalam sawah padi untuk bacaan dan rujukkan semua.


Dalam masyarakat pesawah dan petani tempatan, ramai yang percaya tikus merupakan haiwan yang agak cerdik. Meraka kadang-kadang tidak berani memarahi tikus kerana ada beberapa insiden dimana jika mereka marah tikus sawah, tanaman padinya akan diserang dengan lebih teruk lagi. Dikalangan sesetengah komuniti pula, mereka tidak panggil haiwan tersebut dengan tikus sebaliknya digelar 'Cik Ti' dan kalau di Indonesia ada yang panggil 'Den Bagus' iaitu satu lagi kepercayaan mistik. Dalam satu kes benar berdasarkan pengalaman penulis di Sawah Sg Kesang Muar, seorang pesawah telah marah dengan tikus yang menyerang sedikit tanamannya tetapi hendak menjadi cerita, beberapa hari kemudian pokok padinya hampir 80% musnah teruk akibat diserang tikus sedangkan tanaman padi jiran-jirannya tidak diserang. Adakah ini satu kebetulan atau memang berlaku 'serangbalas' oleh tikus sawah, satu kajian saintifik perlu dijalankan untuk mempastikannya.   

Dimana-mana rujukkan saya baca, kebanyakannya membuat pengesyoran kaedah kawalan tikus dengan Konsep Kawalan Perosak Bersepadu (Intergrated Pest Managemant). Kalau di Indonesia ia dikenali sebagai PHTT (Pengendalian Hama Tikus Terpadu) yang dilaksanakan berdasarkan pemahaman ekologi tikus dan dijalankan secara kemas, intensif dan terus menerus (berkelanjutan) dengan teknologi pengendalian yang sesuai dan tepat waktu. Disamping itu kegiatan cara kawalan diutamakan pada waktu sebelum menanam. Cara ini dapat  menurunkan populasi tikus serendah mungkin sebelum terjadi proses pembiakan tikus yang cepat. Apa yang saya sering nyatakan dalam kempen kawalan tikus adalah pentingnya  peranan komuniti dimana pelaksanaan cara kawalan perlu dilakukan oleh petani secara bersama-sama (berkelompok) dan kerjasama erat dikalangan semua pesawah. Ini kerana jika ada yang tidak mahu bekerja sama dalam kawalan akan menyebabkan ia menjadi perumah (host) kepada perosak ini.

Berikut adalah 4 lagi dari 10 cara kawalan tikus yang saya paparkan untuk dijadikan panduan oleh semua pesawah:


7. Kawalan Biologi - Musuh alami. 
Cara termudah ini adalah dengan tidak mengganggu atau membunuh musuh alami tikus sawah, khususnya pemangsa, seperti burung hantu, burung helang, kucing, anjing, ular tikus, dan lain-lain. Teknologi memasang sarang burung pungguk Jelapang Padi (Tyto alba) seperti di jalankan oleh Jabatan Pertanian dengan kerjasama semual pesawah adalah amat berkesan. Sarang burung pungguk (Lihat foto sebelah) yang dipasang akan dihuni oleh sepasang burung pungguk yang mana ianya akan memakan tikus sawah pada malam hari dengan aktif. Pasangkan kayu 'T' ditengah sawah untuk memudahkan burung BJP ini melihat pergerakan tikus dan menyambarnya. Sepasang burung pungguk mampu mengawal antara 5 -10 hektar kawasan sawah. Masaalah terkini yang saya jumpa adalah burung pungguk yang dibunuh oleh pemilik premis burung walit dengan menembak pada petang hari (Baca artikel berkaitan - Klik disini).

8. Penggunaan Racun Tikus
Racun tikus (Rodentiside) yang merupakan cara kawalan tikus paling praktikal digunakan pada masa ini. Terdapat banyak jenis racun tikus yang djual dipasaran daripada jenis murah dan jenis mahal bergantung kepada kualiti produk. Antara yang popular seperti MATIKUS dan KING KONG yang mudah dibeli dipasaran. Cara menggunakan racun tikus sebaiknya hanya apabila populasi tikus sangat tinggi terutama pada saat awal penanaman dan apabila padi hampir matang. Cara kita hendak menggunakan racun tikus mesti mengikut kadar doa yang dinyatakan pada label. Jika ia berbentuk umpan perlu  ditempatkan di lokasi tepat populasi tikus seperti pada sarang dibatas sawah,  jalan sawah, pematang besar atau tepi jalan dikawasan kampung.

9. Petua Tradisional menggunakan Jering
Terdapat beberapa petua yang mungkin boleh diamalkan untuk mengurangkan kadar serangan tikus. Diantaranya yang saya tahu adalah menggunakan jering (Archidendron jiringga) sebagai menghalau kelompok tikud disawah. Pesawah boleh makan sebanyak mana jering dan kencing di lubang tikus serta potong buah jering dan rendam sehingga bau busuk dan tabur dikawasan sarang tikus. Cara ini berjaya menghalau tikus sawah kerana bau busuk semulajadi dari Asid jirinnga memang tidak disukai oleh tikus.

10. Cara Kawalan Lain.
Cara pengendalian lokal lainnya dengan memanfaatkan cara pengendalian tikus yang biasa digunakan petani setempat, seperti pemusnahan sarang tikus, pebasmian bersepadu, merangkap tikus, ujudkan bunyi-bunyian yang tikus tidak suka, dan cara-cara lainnya. Tikus yang telah terbunuh atau pun ditangkap yang berkurangan hanya merupakan satu petanda turunnya populasi. Apa yang kita perlu awasi adalah jumlah tikus yang masih hidup kerana tikus ini akan terus beranak dengan pesat selama musim tanam padi. Disamping itu pemantauan populasi dan aktiviti tikus sangat penting diketahui sejak dari peringkat awal musim penanaman sehingga mendapat berhasil padi. Cara pemantauan antara lain adalah dengan melihat lubang tikus yang masih aktif, menjejak kesan laluan tikus seperti pada jalur jalan tikus, memeriksa najis atau kotoran tikus atau tanda kerosakan awal oleh serangan tikus pada tanaman. Penting juga agar kita sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya kes  migrasi (perpindahan tikus) secara tiba-tiba dari kawasan lain  lain dalam jumlah yang besar.
Semuga 3 artikel mengenai kawalan tikus sawah ini akan dapat membantu semua pihak. Wasallam!



KAWALAN BIOLOGI...MURAH KOSNYA...
GUNAKAN RACUN...NAMPAK KESANNYA...
BAHAN JERING....PETUA YANG LAMA...
KURANG POPULASI...HASIL KETARA..

By,
M Anem
Kaki Gunung Merapi (Active volcanic),
Jogjakarta, Jawa Tengah,
Indonesia
(15-17 March 2013)
Lawatan keluarga ke Jawa Tengah.

No comments: