Monday, March 18, 2013

TIKUS SAWAH - 10 CARA KAWALAN (Part 1)


TIKUS SAWAH (Rattus argentiventer) merupakan haiwan perosak yang penting dalam industri tanaman padi yang mana dalam setiap tahun kadar serangannya lebih dari 17 % dari jumlah keluasan tanaman padi. Perkara ini adalah disebabkan oleh cara pesawah mengawal atau bagaimana petani mengendalikan perosak tikus selalu terlambat kerana masa mengawal dilaksanakan setelah terjadi serangan dan kurangnya pemantauan rapi oleh petani. Mungkin juga kadar pemahaman oleh petani mengenai maklumat atau aspek-aspek mengenai populasi tikus yang menjadi asas dalam cara pengendalian tikus sawah masih kurang. Kecenderungan petani atau pesawah ada yang masih kurang mengambil berat dalam menyediakan kaedah kawalan tikus. Saya juga fikir yang terdapat organisasi di peringkat Jabatan dan tempatan (Kelompok atau Ketua-ketua Blok) masih lemah dan juga kadang-kadang mengamalkan cara pelaksanaan kawalan yang tidak konsisten. Akibatnya akan meningkatnya kadar serangan perosak oleh  tikus sawah yang mampu membiak dengan cepat dan boleh merosakan tanaman padi dengan teruk. Artikel subuh Isnin ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai 10 cara untuk mengawal serangan tikus dalam sawah padi untuk bacaan dan rujukkan semua.


Dalam masyarakat pesawah dan petani tempatan, ramai yang percaya tikus merupakan haiwan yang agak cerdik. Meraka kadang-kadang tidak berani memarahi tikus kerana ada beberapa insiden dimana jika mereka marah tikus sawah, tanaman padinya akan diserang dengan lebih teruk lagi. Dikalangan sesetengah komuniti pula, mereka tidak panggil haiwan tersebut dengan tikus sebaliknya digelar 'Cik Ti' dan kalau di Indonesia ada yang panggil 'Den Bagus' iaitu satu lagi kepercayaan mistik. Dalam satu kes benar berdasarkan pengalaman penulis di Sawah Sg Kesang Muar, seorang pesawah telah marah dengan tikus yang menyerang sedikit tanamannya tetapi hendak menjadi cerita, beberapa hari kemudian pokok padinya hampir 80% musnah teruk akibat diserang tikus sedangkan tanaman padi jiran-jirannya tidak diserang. Adakah ini satu kebetulan atau memang berlaku 'serangbalas' oleh tikus sawah, saya fikir perlu dijalankan satu kajian saintifik kita dapat  mempastikannya.


Dimana-mana rujukkan saya baca, kebanyakannya membuat pengesyoran kaedah kawalan tikus dengan Konsep Kawalan Perosak Bersepadu (Intergrated Pest managemant). Kalau di Indonesia ia dikenali sebagai PHTT (Pengendalian Hama Tikus Terpadu) yang dilaksanakan berdasarkan pemahaman ekologi tikus dan dijalankan secara kemas, intensif dan terus menerus (berkelanjutan) dengan teknologi pengendalian yang sesuai dan tepat waktu. Disamping itu kegiatan cara kawalan diutamakan pada waktu sebelum menanam. Cara ini dapat  menurunkan populasi tikus serendah mungkin sebelum terjadi proses pembiakan tikus yang cepat. Apa yang saya sering nyatakan dalam kempen kawalan tikus adalah pentingnya  peranan komuniti dimana pelaksanaan cara kawalan perlu dilakukan oleh petani secara bersama-sama (berkelompok) dan kerjasama erat dikalangan semua pesawah. Ini kerana jika ada yang tidak mahu bekerja sama dalam kawalan akan menyebabkan ia menjadi perumah (host) kepada perosak ini.

Berikut adalah 3 daripada 10 cara kawalan tikus yang saya paparkan untuk dijadikan panduan oleh semua pesawah:


1. Musim Penanaman
Paling asas dalam menanam padi dalah mengikuti Jadual Penanaman Padi yang mana semua pesawah perlu dan mesti menanam serempak. Dalam satu kawasan jelapang padi (Granary area) atau Skim Sawah Padi Kecil (Non granary area), amat penting dilaksanakan waktu penanaman padi mengikut jadual dengan jadual yang selisih sedikit waktu penanaman (Tidak boleh melebihi 2 minggu). Perbezaan untuk masa menuai (panen)  tidak boleh lebih dari 2 minggu. Ini adalah untuk mengelakkan potensi tikus membiak dengan cepat secara berterusan. Tikus betina mampu mengandung dalam masa 21 hari dan boleh membiak sebanyak 80 ekor dalam satu musim penanaman. Kalau ada sebanyak 50 ekor tikus betina, kira sahaja berapa banyak jumlah tikus dalam 3 bulan , mungkin lebih 4,000 ekor.


2. Sanitasi Sawah
(Habitat Tikus perlu diganggu). 
Kawasan sawah pasi perlu sentiasa dalam keadaan bersih dan tidak semak. Sanitasi kebun perlu dilakukan sepanjang musim tanam padi iaitu dengan cara membersihkan belukar dan semak-semak pada habitat utama tikus yang meliputi ban taliair sawah, jalan sawah, batas atau ban tanah, pematang, parit dan lain-lain. Kalau boleh saiz ban sawah atau batas sawah dikecilkan saiz atau diminimakan (tinggi dan lebar batas atau pematang) sebaiknya berukuran kurang dari 30 cm agar tidak digunakan sebagai tempat sarang tikus.


3. Gerakan bersama 
(Gotongroyong Kawalan Tikus). 
Gerakan Gotong Royong ini dilakukan serentak pada awal tanam melibatkan seluruh petani dalam blik sawah yang sama. Gunakan berbagai cara untuk menangkap atau membunuh tikus seperti menggali sarang tikus, pemukulan, penjeratan, memburu waktu malam, perburuan dengan anjing, dan sebagainya. Terdapat beberapa negara yang menjalankan kempen dengan membeli tikus-tikus sawah yang ditangkap untuk mengurangkan populasi tikus. Tikus yang ditangkap atau dibunuh ini akan diberikan insentif berbentuk kewangan dan lain-lain bentuk dan ianya sangat berkesan.
Bersambung pada artikel Part 2 berikutnya. Wassalam!



KAWALAN TIKUS... BANYAK CARA...
CARA AGRONOMI...BOLEH DIGUNA...
PESAWAH LAMA....GUNAKAN PETUA...
RACUN TIKUS... PALING KETARA...

By,
M Anem
Dataran Tinggi Dieng,
Kota Wonosobo,
Jawa Tengah,
Indonesia
(15-17 March 2013)
Lawatan keluarga ke Jawa Tengah.

No comments: