DIENG PLATEAU merupakan satu kawasan dipergunungan tanah tinggi di Kompleks Pergunungan Dieng, dalam kawasan Kabupaten Wonosobo, Jawa Tengah , Indonesia. Ketinggian kawasan ini lebih dari 2,000 meter (6,600 kaki dari aras laut) dengan cuaca agak sejuk dimana ia juga merupakan kawasan pertanian yang sangat aktif dan sangat subur. Terdapat juga kawasan rata di puncak gunung ini yang merupakan bekas letusan gunung berapi (Volccanic crater) dahulu. Saya dan keluarga telah berpeluang melawat kawasan ini pada 16 Mac 2013 dan melihat sendiri bagaimana kawasan sekitar gunung ini sangat aktif didalam pengeluaran bahan makanan seperti padi, sayur-sayuran, kentang, buah-buahan serta banyak tarikan untuk pelancong tempatan dan luar negara. Apa yang menarik adalah bagaimana petani dikawasan ini telah pun menggunakan dengan maksima tanah dikawasan lereng gunung yang subur dengan sistem pengairan yang sempurna mengalir dari atas gunong. Antara tarikan pelancong adalah seperti adanya 8 buah Kuil Hindu yang dibina pada tahun 750 tahun masihi, kawah gunung berapi yang berasap dan beberapa buah tasek pelbagai warna (akibat belerang) dan kawasan gunung yang dingin. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai hasil kunjungan ke Dieng Plateau untuk di kongsi bersama pembaca terutama dari aspek pertanian dan pelancongan.
Tarikan pelancong di kawasan Dieng Plateau terdiri daripada beberapa lokasi seperti Candi Arjuna, Candi Setyaki, Candi Bima, Candi Gatotkaca, Candi Drawawati, Candi Damasala dan beberapa kuil lagi. Kelompok candi Arjuna paling banyak meninggalkan batu-batu kuil yang masih utuh setelah beratus tahun berada dikawasan tersebut. Selain itu ada Telaga Balek Kambang dan Telaga Warna yang amat cantik untuk kita dikunjungi. Perjalanan selama lebih dari 4 jam dari Jogjakarta melalui jalan kampong yang sempit amat berbaloi kerana kami dapat lihat kecantikan kawasan perkampongan pertanian yang padat penduduk dengan banyak kelihatan Menara Masjid atau surau disetiap kampong yang dilalui. Azan berkumandang dan bersahutan setiap kali masuk waktu solat dikawasan yang dingin ini amat melapangkan fikiran.
Kawasan kompleks Candi Arjuna merupakan satu lokasi ditengah-tengah kawasan plateau yang berumur beribu tahun. Kuil batu yang masih ada yang terdiri dari batu granit dan disusun dan diukir dengan halus oleh penganut hindu zaman dahulu. Selain daripada kuil, terdapat beberapa penduduk tempatan yang membuat pertunjukkan kebudayaan Jawa Kuno dengan pakaian seperti 'Barongan' dan peliknya kami jumpa 3 ekor Teletubies dikawasan kuil untuk sessi bergambar dengan pelancong. Bayaran cuma Rp 5,000 sahaja dan amat menarik sekali aksi Teletubies disini. Dari sini akan kelihatan puncak Gunung Prahu setinggi 2,565 meter dari aras laut apabila cuaca cerah.
Kawasan Sikidang Crater atau Kawah Sikidang adalah paling popular di kawasan Dataran Dieng kerana ia sentiasa mengeluarkan asap belerang (sulfur) berterusan tetapi tidak beracun. Kata Bapak Bin (Pemandu pelancong), kawasan yang keluar asap ini sentiasa berpindah-pindah (dalam bahasa jawa sebagai 'kidang') dalam satu kawasan yang luas. Asap putih belerang yang keluar berbau sangat kuat. Setelah mendekati dengan kawah (gambar foto diatas), hujan gerimis turun menyebabkan kami memakan baju plastik nipis agar tidak basah. Kelihatan asap dan air kelodak mengelegak berwarna kelabu naik dengan asap panas. Menyentuh kepada lelehan air yang mengalir, terasa amat panas sekali sehingga senang-senang telur ayam yang diletakkan akan masak. Selain daripada kawah Sekidang, terdapat beberapa kawah lain yang aktif didalam kawasan berhampiran lain seperti Kawah Sibanteng, Kawah Sileri, Kawah Sinila, Kawah Chandraluka, Kawah Siglagah dan Kawah Timbang (Ada gas beracun). Suhu udara di sini pernah dilaporkan turun hingga mencapai kepada 0 °C di pagi hari pada waktu tertentu . Keadaan sama juga akan memunculkan embun beku yang oleh penduduk setempat disebut bun upas (embun racun) kerana ia boleh menyebabkan kerosakan pada tanaman pertanian. Perkara seperti ini sangat membahaya kepada penduduk tempatan yang tinggal di wilayah itu dimana terbukti dengan adanya bencana letusan gas semenjak ratusan tahun lalu. Terdapat catatan sejarah dimana Kawah Dringo pernah meletus pada tahun 1786 yang jumlah korbannya tidak diketahui. Menyusul kemudian adalah letusan Kawah Pakuwojo (1825,1826), Kawah Timbang (1928 dan 1939), Kawah Sileri (1944) dengan 114 mangsa korban. Catitan juga menunjukkan Kawah Sileri meletus lagi (1964), Sinila (1979) dimana mangsa korban seramai 152 orang.
Kawasan Telaga Warna merupakan sebuah tasek yang mana airnya berwarna hijau, merah, lembayung, putih dan biru akibat belerang yang keluar dari dasar tasek tersebut. Tasek ini terletak dipuncak gunung dimana ia adalah berada bersebelahan dengan tasik air tawar biasa yang digunakan sebagai sumber pengairan. Bayaran masuk sebantak Rp 6,000 seorang memang berbaloi apabila melihat bagaimana indahnya warna air yang bercampur dengan belerang ini. Rasanya ini kali pertama kami dapat melihat tasek sebegitu rupa dengan air pelbagai warna tetapi tidak boleh digunakan untuk minuman. Pada zaman dulu air tasek ini dikatakan akan disapu pada rambut bayi atau kanak-kanak perempuan menyebabkan rambut mereka akan berpintal-pintal semacam rambut orang Afrika yang dipanggil sebagai "Anak Gimbal" - (Lihat fotoo dibawah sekali).
Kawasan lereng bukit disekeliling gunung kepada puncak Dataran Dieng amat subur sekali dan diusahakan dengan pelbagai tanaman makanan. Sistem tanaman teres dan kontour menggunakan teknologi tenaga manusia dan sedikit gunakan jentera moden. Mereka menggunakan cangkul dan alatan kecil pertanian untuk mengemburkan tanah, membuat batas dan menggali sistem aliran parit. Hanya jalan kecil digunakan untuk mengangkut hasil tanaman dilereng gunung yang sangat curam. Apa yang saya paling takjub adalah bagaimana air dari puncak gunung dapat dikawal dan diagihkan kepada semua petani disekeliling gunong dengan cekap dan effisien. Boleh dikatakan sejarah untuk sistem pengairan ini beratus-ratus tahun dulu dijaga dan dirangka pengagihannya. Boleh dikatakan dengan kerajinan orang jawa, kesuburan tanah dan amalan agronomi baik membolehkan pengeluaran bahan makanan mencukupi untuk negara Indonesia.
Saya dapati boleh dikatakan tiada sejengkal tanah pun yang tidak ditanami sayuran di kawasan Dieng. Itu adalah keungulan dataran tinggi subur seperti di kawasan pegunungan Dieng di dua kabupaten yakni Wonosobo dan Banjarnegara. Hampir semua tanah dataran ini dipenuhi tanaman sayur dan juga tanaman makanan holtkultur lain. Jika melihat fakta ini memang agak jelas seolah-olah kita berada ditengah surga sayuran dan holtukultur yang menjadi kebun untuk kehidupan penduduk Dieng. Penduduk Dieng sebahagian besar adalah sebagai petani. Tanaman utama adalah tanaman sayuran seperti kobis, kacang, lobak (wortel), labu siam, jenis bawang dan paling popular adalah juga Kentang. Tanaman lain seperti jangkapendek umumnya mereka menanam jagung dan keledek. Gunung Dieng memiliki ketinggian 2.565 dari aras laut mempunyai suhu sejuk sekitar 15-20 °C di siang hari dan 10 °C di malam hari. Udara di sini lazimnya sangat dingin jika musim kemarau antara Julai dan Ogos. Inilah catitan yang saya dapat kongsi dengan pembaca blog semua. Semuga dapat memberikan maklumat berguna. Wasallam!
DIENG PLATEAU... TINGGI TEMPATNYA...
KELILING SUBUR... DINGIN UDARANNYA...
ADA CANDI... BATU STRUKTURNYA...
SEKIDANG CRATER...ASAP BAHAYA...
TASEK WARNA... BIRU HIJAU AIRNYA...
TANAMAN SUBUR... RAJIN PETANINYA...
Rambut Anak Gimbal - unik.
By,
M Anem
Dieng Restoran
Kabupaten Wonosobo,
Jawa Tengah
Indonesia
(16 March 2013)
No comments:
Post a Comment