Saturday, February 16, 2013

DURIAN : PEMASARAN

DURIAN (Durio zibethinus Murr) merupakan buah-buahan bermusim yang popular di kawasan Asia Tenggara sebagai 'Raja Segala Buah Tropika'. Kenapa buah durian layak mendapat gelaran tersebut?. Antara sebab yang mungkin saya boleh fikirkan adalah kerana baunya yang amat kuat sehingga peminat durian tidak tahan untuk makannya, mungkin juga bila buah durian sudah keluar, maka buah lain tidak laku atau pun sebab keenakannya menyebabkan ia layak digelar raja segala buah. Tahukah anda pemilik pokok durian juga mempunyai masaalah didalam menguruskan kebun durian dan menjual buah durian ?. Buah durian di Malaysia lazimnya telah 'masak ranum' baru gugur kebumi dan dikutip untuk dimakan atau dijual. Buah durian ini tidak tahan lama untuk dijual dalam pasaran segar tempatan dan tidak boleh dibawa jauh dalam masa lama kerana kualitinya akan menurun. Ramai rakan saya 'SERIK' membeli durian longgok murah (RM 10.00 satu longgok 3 - 10 biji) yang dijual kerana dari beberapa biji tersebut katanya, hanya beberapa ulas yang boleh dimakan - lainnya busuk. Artikel pagi Ahad ini saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai pemasaran buah durian berdasarkan pemerhatian sendiri, pengalaman dan rujukan dari beberapa buah buku teknikal.


Pengeluaran dan penghasilan buah durian segar tertumpu di kawasan Asia Tenggara sahaja dan ianya adalah bermusim. Hanya Thailand yang mampu menghasilkan durian untuk pasaran domestik dan juga ekspot dengan kuantiti banyak. Sementara itu Malaysia mampu hasilkan durian untuk pasaran domestik dan ekspot khususnya ke Singapura dan hanya ada kuantiti sedikit diekspot ke China dan Hong Kong. Bagaimana pun Malaysia juga banyak mengimpot durian Siam setiap tahun. Pemilik pokok durian sama ada dia membuat jualan sendiri (kebun yang tidak luas) atau memberi pajakan kepada peraih tempatan (Kebuh luas atau sedikit) bagi urusan pemasaran hasil setiap musim durian. Buah durian yang baru gugur perlu segera dikutip, dibersihkan, digredkan, disusun dan dihantar kelokasi jualan dengan segera untuk setiap kali musim durian. 


Pasaran Tempatan (domestic market) merupakan tumpuan utama peraih durian untuk memasarkannya sama ada perlu dihantar ke bandar-bandar utama atau pun perlu diekspot ke Singapura. Beberapa isu dalam pemasaran buah durian tempatan adalah seperti isu KUALITI, HARGA , PENGANGKUTAN dan KURANG MAKLUMAT PEMASARAN. Paling utama dalam penjualan buah durian adalah Kualiti Buah Durian itu sendiri. Ramai pembeli atau pun peminat durian tidak tahu kualiti buah yang dijual di mana-mana lokasi tepi jalan, pasar malam, pasar lambak, gerai sementara kecuali mereka membukanya (Kena bayar dulu!).  Lazimnya apabila membeli mereka akan membawa pulang kerumah untuk dimakan bersama keluarga, kalau nasib kurang baik akan dapat buah yang mengkal, busuk, terlalu masak, berulat dan tidak boleh dimakan. Maka disebabkan kualiti buruk ini menjadikan pembeli akan serik membeli durian pada masa akan datang dan bila di siasat, penjual durian sudah tiada dilokasi. Mereka yang bijak dan ada kenalan boleh pergi kedusun durian untuk mendapatkan kualiti terbaik dengan jaminan pulangan harga jika tidak berkualiti. Jangan lihat kualiti durian daripada bentuk dan kulit durian sahaja!.


Pengangkutan buah durian daripada kebun durian yang jauh dikawasan kampong dan dusun perlu cekap. Peraih tempatan perlu mengumpul, menghantar dan memeriksa setiap buah durian dan ini ambil masa agak lama di peringkat awal. Buah durian akan dihantar kepada pusat pengumpulan dan di buat penggredan lagi mengikut kualiti sebelum dihantar ke lokasi khusus seperti di Kl, JB, Ipoh, Penang dan sebagainya untuk diedarkan kepada penjual. Perjalanan yang jauh dan cuaca panas menyebabkan buah akan cepat masak dan menjatuhkan lagi kualiti buah. Belum banyak lori berhawa dingin digunakan untuk membawa buah durian bagi pasaran domestik. Di lokasi jualan juga buah durian terdedah kepada sinaran matahari sebelum pembeli membeli buah durian.


Harga Durian merupakan satu perkara yang penting untuk dibincangkan. Buah durian adalah bermusim dan ada waktu harga jualan awal musim (lazimnya agak tinggi), waktu kemuncak (tidak menentu) dan waktu hujung (juga agak tinggi semula). Buah durian yang cepat rosak perlu dijual dengan segera sama ada mahu atau tidak kecuali untuk di proses. Harga durian segar banyak bergantung kepada kualiti dan varieti atau klon yang popular. Durian Raja Kunyit atau Musang King yang sangat popular kini mencecah RM 25.00 sekilogram (Lihat foto sebelah) berbanding dengan klon lain sederhana popular seperti D24 sekitar RM 8.00 sekilogram. Durian bukan klon atau durian kampong hanya laku sekitar RM 1.00 - RM 2.00 sekilogram itu pun jika ada jaminan kualiti. Penjual ditepi jalan dilaporkan lagi dahsyat dalam menentukan harga, jika yang singgah menaiki BMW atau Mercedes, maka harganya akan automatik naik dan sebaliknya jika yang singgah naik kereta Kancil pula harganya boleh tolak ansur.


Maklumat mengenai pemasaran durian di Malaysia masih kurang lengkap dimana peraih, pemborong, pengedar dan peruncit masih menggunakan konsep 'trial and error'. Apa yang pasti mereka perlu ambil risiko besar akan buah durian yang hendak dijual terutamanya risiko buah rosak yang tidak laku dijual atau dijual murah sahaja (Lihat foto sebelah - RM 1.00 sekilogram). Kekalutan akan berlaku apabila buah durian gugur serentak pada masa sama akibat cuaca atau ribut berlaku dan perlu dipasarkan dengan segera. Maklumat berapa banyak pengeluaran, dimana buah durian sedang gugur, dimana lokasi sesuai untuk jualan dan anggaran harga jualan tidak mudah diperolehi dari mana-mana sumber rasmi dan tidak rasmi. Bagaimana pun setiap tahun pemasaran durian diperkatakan kerana buah durian adalah 'Raja Segala Buah'!.

PASARAN DURIAN .... UNIK CARANYA...
CEPAT ROSAK.... SEGERA HANTARANNYA...
KUALITI TIDAK TENTU... HARGA BAGAIMANA...
BALIK KAMPONG ... DAPAT FREE SAHAJA....

By,
M Anem
Dusun Durian, Jementah,
Segamat, Johor,
Malaysia.
(26 Muharram 1034H)
      


No comments: