Thursday, January 10, 2013

POKOK BAKAU

POKOK BAKAU (Rhizophora spp) merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Rhizophoraceae yang tumbuh di kawasan muara sungai dimana tempat tersebut merupakan pertemuan diantara air tawar daripada daratan dan air masin daripada laut. Ramai diantara kita yang kenal akan hutan pokok bakau di Malaysia kerana ianya banyak tumbuh dikawasan pesisir muara sungai di Sabah, Sarawak dan sebahagian lagi ada di Semenanjung Malaysia. Semasa saya bertugas di Daerah Muar Johor dulu, rumah sewa saya memang terletak berhampiran hutan bakau di Kesang yang jauhnya cuma 1 km sahaja dari rumah. Keluasan hutan bakau di Malaysia sekitar 580,000 hektar dimana hampir 60% berada diSabah, 26% di Sarawak dan bakinya di Semenanjung. Terdapat banyak spesis pokok bakau di negara kita dan ada beberapa spesis yang popular seperti R. mangle, R, apiculata, R. racemosa, R. mucronata dan R. stylosa. Artikel malam ini saya menulis sedikit informasi dalam 'Anim Agro Technology' mengenai tumbuhan pokok bakau dan kepentingannya didalam pertanian dan alam sekitar.


Hutan Bakau di Manjung, Perak
Pokok Bakau merupakan sejenis tumbuhan yang cepat membesar dan mudah membiak. Pokok bakau juga mempunyai batang dan akar tunjang serta akar yang berceracak naik keatas. Banyak laporan menyatakan pokok kayu bakau sangat penting dalam ekosistem kerana peranannya sebagai tempat pembiakan anak ikan, krustacea dan juga menghalang hakisan pantai. Akar bakau yang berceracak mampu mengumpulkan sampah sarap dan ini akan mampu memperbesarkan kawasan tepi laut apabila pembiakan kawasan bakau di tambah. Kayu bakau juga merupakan sumber bahan kayu balak yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan. Kayu bakau juga digunakan sebagai ceracak dalam asas dalam tanah untuk pembinaan bangunan kerana ketahanan kayu ini tidak mudah reput walau pun tidak ada rawatan. Hutan bakau juga sangat penting untuk banyak jenis kehidupan semulajadi seperti burung, haiwan kecil dan besar yang menjadikannya sebagai tempat untuk hidup. 


Pokok Bakau naik menegak dengan akarnya yang berceracak dan banyak cabang dengan ketinggian pokok antara 4 - 30 meter.Paling unik adalah akarnya yang naik keatas sehingga setinggi 2 meter dari paras tanah lumpur dengan ukurlilit akar sehingga 50 cm besarnya. Bentuk akar pokok bakau ini dapat membantu menghalang ombak laut untuk merosakan pesisiran pantai. Bentuk daun adalah epiliptik yang berkumpul dibahagian hujong ranting dengan susunan bertentang iaitu single. Daunnya berwarna hijau tua atau hijau muda berukuran 7 cm x 12 cm panjang dan mempunyai hujung yang tirus serta mudah gugur. Apa yang saya perhatikan bunga pokok bakau keluar dalam kambak yang keluar dari ketiak dengan bilangan 2-4 kuntum atau  8-16 kuntum. Buah bakau seperti bentuk telur memanjang seperti buah 'pear'  yang berwarna coklat hijau.


Spesis 'Bakau Minyak'
Beberapa buku yang saya baca menyatakan ada 3 jenis pokok bakau yang ada dikawasan Asia Tenggara iaitu Bakau Minyak (Rhizophora apiculata), Bakau Kurap (Rhizophora mucronata) dan Bakau Kecil (Rhizophora stylosa). Bakau minyak merupakan jenis bakau yang mana dikenali dengan mempunyai daun yang berwarna kemerahan pada pangkal dan bawah daun. Spesis ini mudah tumbuh dikawasan tanah berlumpur dimana teksturnya halus dan dalam. Spesis ini banyak tumbuh dipantai Malaysia, Indonesia , Sri Lanka sehingga sedikit di Australia. Spesis Bakau Kurap mudah dikenali kerana batangnya berwarna hitam dan bertompok macam kurap. Jenis ini sering bercampur dengan bakau minyak dan tumbuh dikawasan pantai yang agak keras, sedikit berpasir dan kawanan banyak humus organik. Bakau Kecil ini berbeza antara dua jenis diatas kerana saiz pokoknya kecil dengan ketinggian maksima sekitar 10 meter sahaja (Dua spesis diatas mampu capai ketinggian 30 meter). Spesis ini paling mudah tumbuh walau pun ditempat kering yang tidak ada air pasang surut.


Kayu bakau banyak digunakan dalam kehidupan harian dimana hutan bakau merupakan sumber alami yang penting untuk dikawal penebangannya. Kerajaan sentiasa mengawal lesen pembalakan hutan bakau kerana kepentingannya dalam mengekalkan sistem ekologi semulajadi. Kayu bakau adalah jenis kayu keras yang sesuai dijadikan bahan bangunan, kayu bakar dan paling asas adalah untuk dijadikan 'Kayu Arang'. Kayu arang dari pokok bakau mempunyai kualiti tinggi dari segi penghasilan haba dan ketahanan arang yang dibakar. Kulit kayu bakau dikutip dan diproses untuk mendapatkan bahan 'Tanin' bagi tujuan menyamak walau pun ianya semakin kurang dijalankan. Terdapat juga kayu bakau yang diproses untk dijadikan kertas yang berkualiti tinggi. Pokok Bakau merupakan satu aset semulajadi yang penting di jaga dan dikawal pemusnahannya dengan kawalan sempurna.


Arang dari kayu bakau.

POKOK BAKAU .... TEPI LAUT TUMBUHNYA....
AKAR BERCERACAK.... CANTIK BENTUKNYA...
DI BUAT CERUCUK... SOKONG BANGUNANNYA...
PERLU DIKAWAL... ELAKKAN KEPUPUSANNNYA...

By,
M Anem
No 30, Taman Kesang Jaya,
Kesang, Ledaang,
Johor, Malaysia - Rumah sewa dulu.
(12.12.2012)

No comments: