Monday, October 1, 2012

TANAMAN ORKID


ORKID adalah tanaman yang tergolong dalam keluarga Orchidaceae iaitu satu keluarga yang mempunyai banyak perbezaan dari segi bentuk dengan banyak bunga lain. Orkid mempunyai banyak genus dan spesies daripada yang mudah sehingga yang komplikated. Terdapat lebih daripada 111 genus dan 808 spesies orkid yang dikenalpasti di Malaysia. Industri Orkid pada tahun 2011 di Malaysia melibatkan sebanyak 40,401,776 bilangan pokok yang di tanam berbanding hanya sebanyak 12,143,907 pokok orkid ditanam pada tahun 2005 (meningkat melebihi 3 kali ganda). Sebanyak 173,666,522 keratan atau pasu bunga orkid telah dihasilkan pada tahun 2011 bernilai sebanyak RM 104,119,913. Kawasan utama untuk penanaman orkid adalah di Johor diikuti dengan Selangor, Perak dan Pahang. Kebanyakan keratan orkid yang dihasilkan adalah untuk pasaran ekspot. Artikel malam ini saya menulis mengenai tanaman orkid dalam 'Anim Agro Technology' untuk bacaan anda semua. 


Antara orkid yang banyak ditanam di Malaysia adalah sepertiNoorah Aishagoff Pink, Orkid Mokara Chark Kuan, Orkid Mokara Red, Orkid Phalaenopsis, Pakis, Patthayya Beauty White, Peacock Pink, Peacock Purple, Peacock White, Sabine, Sharifah Fatimah Kuning, Solidago Golden Red, Sonia Bom Pink, Statice, Sumala dan Wah Chark Kuan. Orkid paling mahal dipasaran pada 2011 adalah Jenis Orkid Sumala dengan harga sebanyak RM 3.00 satu keratan. Ini diikuti dengan Jenis Orkid Mokara Chark Kuan dan Jenis Orkid Phalaenopsis dengan purata harga runcit RM 2.20 satu unit keratan diikuti dengan jenis Sharifah Fatimah Kuning dengan harga Runcit RM 2.05 satu keratan. Orkid Mokara Red adalah jenis paling murah dipasaran dengan purata harga runcit cuma RM 1.20 satu unit.


Pada amnya, pokok orkid boleh dikenali melalui bentuk bunga, akar, daun dan batangnya. Walau bagaimanapun apa yang saya belajar, bunga orkid adalah bahagian pokok yang paling sesuai digunakan atau dilihat untuk mengenal pasti genus tanaman orkid. Secara umum, orkid komersil boleh dikelaskan kepada dua jenis kumpulan yang besar, iaitu Orkid Simpodium dan Monopodium. Kaedah pengelasan ini telah lama digunakan oleh saintis agar mudah dilaksanakan. Persatuan Penanam Orkid Malaysia merupakan satu kumpulan yang sangat aktif dalam membangunkan industri penanaman dan penjualan orkid di Malaysia selain daripada aktif dalam menjalankan aktiviti pembiakbakaan (Plant breeding).

Simpodium adalah satu cara pertumbuhan yang berakhir dengan pengeluaran bunga. Orkid dalam kumpulan ini boleh tumbuh sama ada diatas pokok (epifit) atau di atas tanah (terestrial). Batang pokok berbentuk seperti bebawang semu, menjalar dan mempunyai pertumbuhan dua atau berbagai hala. Ia mempunayi bebawang semu yang panjang beruas-ruas atau pendek tanpa beruas. Akar dan daun akan terbit daripada bebawang semu manakala tunas baru pula akan mengeluarkan bunga apabila matang. Setelah bunganya layu, daun-daun akan menjadi kuning dan gugur. Dengan makanan ynag tersimpan di dalamnya, bebawang semu tua akan mengeluarkan tunas baru di pangkal rumpun sebelum mengecut dan mati. Setelah tunas baru ini membesar, bebawang semu tua tersebut akan pupus. Genus-genus orkid komersil yang terdapat di dalam kumpulan simpodium ialah Oncidium, Cattleya dan Dendrobium. Pada kebiasaannya orkid simpodium yang baik akan mengeluarkan 1 atau 2 tangkai bunga pada setiap bebawang semu. Potensi pengeluaran bunga bagi setiap rumpun pula bergantng kepada pengwujudan bebawang semu yang baru. Keadaan ini walau bagaimanapun tidak berlaku pada orkid Dendrobium.


Monopodium adalah cara pertumbuhanyang tidak berakhir dengengan pengeluaran bunga. Batangnya kecil dan diliputi oleh upih-upih daun. Batang orkid monopodium tidak bercabang dan boleh mengeluarkan tunas-tunas baru setelah dipotong. Keratin batang kemudiannya ditanam di dalam pasu diatas tanah yang tidak lembab. Variety yang aktif akan mempunyai tabiat pengeluaran bunga setiap hari setiap aksil daun tersebut akan terbiar dormant.


Jangkamasa matang bagi setiap jenis orkid juga berbeza-beza antara genus, sepsis, hybrid dan jenis bahan tanaman yang digunakan. Ia bergantung kepada sifat-sifat semulajadi bahan genetik yang terdapat dalam setiap jenis varieti. Pada kebiasaannya pokok-pokok yang dihasilkan dari biji benih mengambil masa antara 1-3.5 tahun untuk matang, manakala pokok-pokok yang dihasilkan dari bahan keratan tampang mengambil masa antara 4 hingga 12 bulan bergantung kepada saiz dan pokok induk dari mana keratan tersebut diambil. Diharap artikel ini dapat menambahkan ilmu kepada pembaca didalam blog 'Anim Agro Technology' untuk entry kali ini. Wasallam!



BUNGA ORKID...AMBOI CANTIKNYA...
PELBAGAI WARNA...JUGA BENTUKNYA...
JADI HIASAN... LETAK DIMANA-MANA...
BANYAK GELARAN...ORANG TERNAMA...

By,
M Anem
Frazers Hill Resort,
Raub, Pahang,
Malaysia.
(5 Zulkaedah 1433H).

No comments: