Friday, May 25, 2012

VARIETI KELAPA MATAG

KELAPA (Cocos nucifera) merupakan sejenis tanaman popular yang dikenali di negara-negara tropika. Kelapa MATAG kini menjadi satu varieti yang di syorkan untuk penanaman baru oleh Jabatan Pertanian Malaysia bagi menggantikan beberapa varieti kelapa sedia ada kerana beberapa ciri kelebihan yang ada pada varieti ini. Beberapa jenis varieti kelapa yang telah ditanam semenjak lama dulu seperti varieti Malayan Tall (MT), Malayan Green Dwarf (MGD), Malayan Yellow Dwarf (MYD), Malayan Red Green (MRD), Rennel, MAWA, Kelapa Pandan dan banyak lagi. Semasa permulaan kelapa MATAG di promosikan pada awal tahun 2000, ramai petani kurang percaya dengan prestasi kelapa ini. Beberapa tahun kemudian apabila banyak pokok kelapa MATAG yang di tanam di Johor (Daerah Batu Pahat), Selangor (Daerah Sabak Bernam) dan Perak (Daerah Bagan Datok) mula mengeluarkan hasil, baru ramai petani yang memohon untuk menanam kelapa ini daripada Jabatan Pertanian. Artikel malam ini saya menulis mengenai kelapa Matag untuk pengetahuan bersama.


Kenapa ia diberi nama kelapa MATAG?... Mungkin ramai diantara kita yang tidak tahu. MATAG adalah singkatan kepada Kelapa MALAYAN DWARF (MA) dan digabung dengan TAGNANAN (TAG). Kelapa jenis Malayan Dwarf adalah varieti kelapa yang native dari Malaysia atau kelapa tempatan sementara varieti Tagnanan (pokoknya tinggi) dipercayai native dari Filipina. Pengalaman saya dalam projek penanaman semula kawasan kelapa semasa bertugas di Johor selama 14 tahun memberikan peluang kepada saya untuk mengetahui jawapannya. Kelapa MATAG adalah jenis kelapa hibrid (Kacukan) diantara Kelapa Tinggi jenis TAGNANAN dengan Kelapa Renek Tempatan (Sama ada Malayan Dwarf Yellow atau Malayan Dwarf Red). Kaedah pembiakan bagi menyediakan kelapa Matag adalah dimana debunga bunga kelapa Tagnanan (Pollen) akan di kacuk dengan stigma bunga betina dari kelapa MRD/MYD. 


Kelapa MATAG ialah kelapa hibrid yang dihasilkan daripada pendebungaan silang Kelapa Rendah Malaya dan Kelapa Tagnanan. Ketinggian pokok MATAG boleh mencapai 15 meter. Daun, bunga dan buahnya berwarna sama ada hijau atau jingga pucat, bergantung kepada jenis pokok induk Kelapa Rendah Malaya. Hasil purata bilangan buah kelapa dan berta kopra adalah lebih tinggi daripada hibrid MAWA. Kelapa MATAG boleh mengeluarkan antara 25 hingga 30 ribu biji buah setahun sehektar. Buah kelapa yang dihasilkan sesuai untuk pelbagai kegunaan seperti untuk air kelapa muda, pengeluaran santan dan juga untuk kelapa (kopra). Varieti ini mempunyai ciri-ciri agronomi yang baik seperti pertumbuhan yang 'robust' dan 'vigorous' di ladang. Dengan pengurusan ladang yang baik dan hujan yang mencukupi, kelapa MATAG mula berbunga pada tahun ke 3 dan proses penuaian bolehlah dilakukan pada tahun ke 4.


Kelapa MATAG sesuai ditanam mengikut sistem penanaman tiga segi sama atau 'double hedge row pattern' sekiranya mengutipan hasil dirancangkan secara mekanisasi. Kepadatan optimum yang disyorkan ialah 178-180 pokok sehektar. Berbanding dengan kelapa MAWA, kelapa MATAG mengeluarkan buah yang lebih besar daripada MAWA walaupun isinya sama tebal. Hasil MATAG pada enam tahun pertama didapati agak rendah sedikit (61-139 biji sepokok) daripada MAWA (75-151 biji sepokok). Walau bagaimanapun, hasil kelapa MATAG meningkat mulai tahun ke tujuh ke atas, iaitu 153 biji sepokok dan boleh mencapai sehingga 161 biji sepokok berbanding dengan 157 biji bagi kelapa MAWA.


Pokok Kelapa MRD
Dari segi pengeluaran kopra pula, MATAG mengeluarkan hasil kopra yang rendah pada enam tahun pertama iaitu 12.1 - 36.4 kg. berbanding dengan 16.4 - 33.0 kg. kopra bagi kelapa MAWA. Selepas tahun ke 7 dan ke atas, hasil kopra daripada kelapa MATAG lebih tinggi, iaitu 42.2 kg. berbanding 34.3 kg. kopra daripada kelapa MAWA. Secara keseluruhannya, kelapa varieti MATAG memberikan hasil buah kelapa yang tinggi dalam jangka masa panjang. Saiz buah MATAG yang besar, bukan sahaja memberi kelebihan dari segi kos mengutip dan mengopek kulit, tetapi juga popular di kalangan pengguna domestik. Ramai penanam kelapa Matag di kawasan Batu Pahat, Bagan Datok dan Sabak Bernam yang gembira dengan pendapatan dari penanaman kelapa tersebut. Kini ada diantara mereka yang menerima purata pendapatan bersih dari kebun kelapa Matag sehingga RM 2,500 - RM 3,000 sebulan dari keluasan kebun sebanyak 1 hektar.
Sekian. Wasallam.


KELAPA MATAG....VARIETI BARU....
HASIL TINGGI...BAJA DI PERLU...
BENIH DAH MAHAL...KINI RM 25 TAU...
BENIH DISAHKAN...TANAM DAHULU...


Related articles:
1. Kelapa Matag (Klik disini)
2. VCO Technology (Click here)
3. Air Nira Kelapa (Klik disini) 
4. Gula Melaka (Klik disini)
5. Benih Kelapa Matag (Klik disini)
6. Air Kelapa Muda (Klik disini)
7. Kegunaan Kelapa (Klik disini)


By,
M Anem
Room 112, Air Hitam Hotel,
Jalan Air Hitam-Kluang,
Air Hitam, Johor,
Malaysia.
(4 Rejab 1433H)

No comments: